Skip to main content

Singapura

Anjung@WGS perlu inklusif, diakses pelbagai masyarakat selain cerminkan warisan unik kaum Melayu

Pembangunan Anjung@Wisma Geylang Serai (WGS) bukan saja penting dalam mencerminkan warisan unik sesuatu masyarakat tetapi perlu inklusif dan dapat diakses masyarakat umum.

Anggaran Waktu Membaca:
Anjung@WGS perlu inklusif, diakses pelbagai masyarakat selain cerminkan warisan unik kaum Melayu
Diterbitkan : 16 Jul 2021 11:33AM Dikemas Kini : 16 Jul 2021 11:35AM

SINGAPURA: Pembangunan Anjung@Wisma Geylang Serai (WGS) bukan saja penting dalam mencerminkan warisan unik sesuatu masyarakat tetapi perlu inklusif dan dapat diakses masyarakat umum.

Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee berkata demikian dalam ucapan beliau semasa majlis pecah tanah projek Anjung@WGS pada Jumaat (16 Jul).

Anjung@WGS akan dibangunkan di tapak yang kini merupakan sebidang tanah lapang bersebelahan WGS.

Bangunan tambahan itu akan menjadi sebuah dewan serba guna yang boleh diguna bagi menganjurkan pelbagai kegiatan sukan, budaya, masyarakat dan acara khas anjuran pertubuhan-pertubuhan tempatan.

Seluas 1,820 meter persegi, bangunan Anjung@WGS dijangka siap dibina menjelang pertengahan tahun 2022.

Lantaran itu, Encik Lee mengharapkan pelibatan masyarakat yang pelbagai di Anjung@WGS kerana usaha itu penting dalam menjaga serta menyuntik kesegaran kepada jalur budaya seperti Geylang Serai.

Beliau menambah tanpa usaha untuk menggalakkan pergaulan antara kaum, Singapura mungkin menyaksikan senario yang mana setiap masyarakat tinggal di kawasan berlainan.

"Kami tidak akan jumpa satu sama lain dengan kerap dan kami akan mempunyai kurang peluang untuk menjalinkan hubungan peribadi antara satu sama lain atau mempelajari sendiri kebudayaan satu sama lain," kata Encik Lee.

Perkara itu kata Encik Lee, akan menyukarkan untuk kepercayaan terbina antara kaum dan mungkin boleh mencetuskan perselisihan faham yang serius.

Encik Lee menambah: "Geylang Serai bukan saja ruang yang mana sesuatu kaum saja berjaya dan memanfaatkannya tetapi juga ruang yang mana pelbagai kaum boleh berinteraksi dan mempelajari untuk menghargai budaya satu sama lain."

SOKONGAN BAGI PELIHARA FABRIK MASYARAKAT

Sementara itu, Menteri Kedua Pendidikan merangkap Ehwal Luar Dr Mohd Maliki Osman berkata pembangunan Anjung@WGS satu usaha penting dalam memelihara fabrik masyarakat pelbagai kaum negara ini.

"Fabrik pelbagai budaya kita amat berharga dan kita mesti berusaha sedaya upaya untuk memeliharanya - membina ruang bagi setiap masyarakat menampilkan warisan yang kaya mereka untuk dihargai dan diraikan masyarakat lain," ujar beliau.

Dr Maliki yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa yang menerajui projek Jalur Budaya Geylang Serai juga mengalu-alukan sokongan masyarakat untuk menggunakan kemudahan berkenaan apabila ia siap kelak, bagi melengkapi gaya hidup mereka.

PEMBAHARUAN KEPADA KAWASAN GEYLANG

Di majlis pecah tanah itu juga, Dr Maliki mengumumkan pemenang bagi pertandingan rekaan kawasan Geylang Serai.

Tiga rekaan utama terpilih dengan tempat pertama dimenangi oleh para arkitek dari BDP Architects (Southeast Asia) Pte Ltd.

Selama tiga bulan, para arkitek tempatan dijemput untuk memikirkan bagaimana untuk menyuntik kesegaran bagi tiga mercu tanda utama di situ iaitu ruang di luar pusat beli-belah Joo Chiat Complex, laluan pejalan kaki di luar Pasar Geylang Serai dan persimpangan ikonik kawasan itu.

Rekaan baru yang dipilih menampilkan rekaan yang mempamerkan nilai-nilai jati diri serta masyarakat Melayu, dengan tafsiran moden.

Inisiatif itu adalah sebahagian daripada projek Jalur Budaya Geylang Serai yang bertujuan untuk membuat kawasan tersebut "bernyawa" dengan kebudayaan masyarakat Melayu.

"Membangunkan Jalur Budaya Geylang Serai adalah lebih daripada usaha naik taraf secara fizikal dan dari sudut arkitek. Ruang fizikal mesti diaktifkan melalui program kebudayaan yang dinamik dan yang meraikan warisan tempat itu yang kaya dan terus menyuntik nyawa kepada budaya Melayu," tambah beliau. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita