Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Anjing terbiar di Taman Bidadari akan ditangkap secara 'berperikemanusiaan' susuli maklum balas awam

Anggaran Waktu Membaca:
Anjing terbiar di Taman Bidadari akan ditangkap secara 'berperikemanusiaan' susuli maklum balas awam

Empat anjing ini dikenali sebagai Bidadari Dogs. (Gambar: Facebook/Jermaine Chua)

SINGAPURA: Lembaga Taman Negara (NParks) pada Selasa (11 Feb) menyatakan pihaknya sedang berusaha untuk menangkap secara "berperikemanusiaan" beberapa ekor anjing terbiar di Taman Bidadari.

Ini menyusuli maklum balas bahawa haiwan-haiwan tersebut telah menunjukkan "tingkah laku ganas" terhadap pengunjung di kawasan itu.

Kebimbangan mengenai nasib empat ekor anjing di taman itu semakin meningkat sejak beberapa minggu kebelakangan ini, dengan sesetengah pihak meminta supaya keempat-empat anjing itu dibiarkan sahaja.

Keempat-empat anjing tersebut - yang dinamakan Kalu, White Chest, Pointy, dan Floppy - dikenali sebagai 'Bidadari Dogs' atau Anjing Bidadari.

"Bagi memastikan keselamatan awam, NParks sedang menjalankan pemantauan dan berusaha untuk menangkap anjing-anjing tersebut secara berperikemanusiaan," jelas agensi itu pada Selasa (11 Feb) sebagai memberi respons kepada pertanyaan Mediacorp.

Papan kanvas sudahpun dipasang di dalam taman berkenaan untuk berfungsi sebagai "penghalang visual", sekali gus membantu mengurangkan interaksi antara anjing-anjing tersebut dengan pengunjung, seperti menyalak.

Tanda amaran juga telah dipasang untuk memberi nasihat kepada pengunjung tentang cara apabila bersemuka dengan anjing-anjing tersebut.

NParks menyatakan papan penghadang tersebut menghalang orang awam daripada memasuki kawasan yang tidak dilalui, sambil menambah bahawa anjing-anjing itu bebas untuk bergerak masuk dan keluar dari kawasan yang dihadang itu.

Beberapa catatan Instagram oleh akaun @the.doggie.mommy sebelum ini mendakwa bahawa kawasan itu telah "ditutup" oleh NParks, menyebabkan anjing-anjing itu "tiada jalan keluar".

PETISYEN

Petisyen online yang meminta supaya anjing-anjing tersebut dibiarkan sahaja di taman itu telah meraih lebih daripada 3,000 tandatangan setakat Selasa.

Pengguna Change.org Jermaine Chua, yang memulakan petisyen tersebut, menggambarkan anjing-anjing itu sebagai "malu-malu dan mudah takut" dan berkata anjing-anjing itu "tidak membahayakan sesiapa".






NParks menjelaskan anjing adalah haiwan yang mempunyai sifat 'territorial' dan boleh menyalak atau bertindak balas terhadap manusia atau haiwan lain yang berada dalam kawasan sama atau menghampiri ruang mereka.

"Selain itu, ia mungkin mempunyai naluri semula jadi untuk mengejar dan menangkap sesuatu. Tingkah laku ini berbeza mengikut intensiti dan tidak semua anjing akan mempamerkan ciri-ciri sebegini.

"Walaupun sesetengah anjing yang berkeliaran mungkin mengejar objek yang bergerak pantas, haiwan itu cenderung untuk berhati-hati terhadap manusia dan biasanya akan mengelak diri daripada manusia. Mereka juga boleh menghampiri manusia, menggunakan deria baunya untuk mengumpul maklumat tentang persekitarannya."

Orang ramai disarankan supaya berjalan perlahan-lahan tanpa membuat sebarang pergerakan mendadak, menurut NParks.

Mereka yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Pusat Respons Haiwan di talian 1800-476-1600 atau menghubungi AVS online.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan