Ani Yudhoyono tabah jalani rawatan leukemia di S'pura
"Setelah hati saya, Bapak dan keluarga mula meresapi dan menerima (saya menghidapi leukemia), sedarlah saya bahawa Allah Yang Maha Kuasa akan menguji siapa saja hambanya yang dikehendaki. Kali ini saya dipilih."
(Gambar: aniyudhoyono/Instagram)
SINGAPURA: "Setelah hati saya, Bapak dan keluarga mula meresapi dan menerima (saya menghidapi leukemia), sedarlah saya bahawa Allah Yang Maha Kuasa akan menguji siapa saja hambanya yang dikehendaki. Kali ini saya dipilih."
Itulah luahan hati isteri mantan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono sedang beliau menjalani rawatan di Hospital Universiti Nasional (NUH).
Cik Kristiani Herrawati, 66 tahun, atau lebih dikenali ramai sebagai Ibu Ani Yudhoyono, dimasukkan ke hospital sejak 2 Feb lalu.
Sejak awal bulan Feb, Ibu Ani sering memuat naik gambar di Instagram untuk mengemas kini tentang perkembangannya sedang beliau menjalani rawatan bagi penyakit leukemia.
Menurut Ibu Ani, tiada dalam kalangan keluarganya yang sebelum ini terkena leukemia.
"Menderita sakit, pasti pernah dialami oleh setiap orang, termasuk saya. Wajar saja.. Namun, ketika doktor di Singapura menyatakan saya terkena Blood Cancer, rasanya seperti palu godam menimpa saya. Kaget, tak menyangka sama sekali. Rasanya tak ada riwayat dalam keluarga yang pernah terkena penyakit itu," luah Ibu Ani.
Dalam satu gambar, kelihatan Encik Susilo Bambang Yudhoyono berada di sisi isterinya sementara Ibu Ani mencatat sesuatu dalam buku dalam sebuah bilik wad.
"Setiap hari saya mencatat pengubatan apa saja yang harus saya jalani, ubat, suntikan kemo, transfusi darah dll. Saya jalani dengan tabah, tegar, penuh disiplin."
Ibu Ani menambah, beliau melakukan semua itu bagi menghindari diserang penyakit lain.
Meskipun diduga, beliau tetap positif berdepan dengan penyakitnya.
"Saya boleh lawan penyakit ini. Dengan sokongan orang ramai dari Indonesia dan dunia. Terima kasih atas kasih sayang dan keprihatinan anda, suami tersayang dan keluarga. Bismillahirrahmanirrahim I can do this! (Saya boleh lakukannya!)".
Ibu Ani mendirikan rumah tangga dengan mantan Presiden Indonesia itu pada 1976 dan dikurniakan dua orang anak.
Semasa mendedahkan tentang keadaan isterinya itu, Encik Susilo Bambang Yudhoyono mengimbas kembali tentang isteri yang selalu berada di sampingnya sepanjang menyandang jawatan presiden dari Okt 2004 hingga Okt 2014.
"Sebagai seorang suami, sudah tentu, saya akan kekal berada di sisi. Saya tahu dia kuat. Saya akan terus menemaninya," kata beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.