Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Angkasawan UAE bakal lakar sejarah jadi Arab pertama berjalan di angkasa

Anggaran Waktu Membaca:
DUBAI: Pusat Angkasa Mohammed Bin Rashid (MBRSC) Amiriah Arab Bersatu (UAE) pada Khamis (6 Apr) mengumumkan pemilihan Sultan AlNeyadi sebagai angkasawan pertama Arab yang akan berjalan di angkasa. Ini akan dilakukannya semasa Ekspedisi 69 di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), yang dijadualkan pada 28 April.

Menurut Agensi Berita Emirates (WAM), UAE akan menjadi negara ke-10 untuk melakukan kegiatan berjalan di angkasa - yang juga dikenali sebagai Aktiviti Luar Kenderaan (EVA) - di ISS.

Sultan AlNeyadi akan menjadi sebahagian daripada EVA yang ke-262 dalam membantu pemasangan, penyenggaraan dan penambahbaiklan di stesen angkasa.

Pengerusi MBRSC, Hamad Obaid AlMansoori, berkata perjalanan angkasa lepas bersejarah Sultan AlNeyadi adalah bukti dedikasi UAE yang tidak berbelah bahagi untuk melangkah lagi ke depan dalam penerokaan angkasa lepas dan memupuk kerjasama antarabangsa.

“Sebagai angkasawan Arab pertama yang bersedia untuk melakukan EVA, AlNeyadi membawa aspirasi seluruh wilayah dan melambangkan kemungkinan tanpa had dalam pencapaian kami secara menyeluruh.

“Pencapaian ini juga merupakan penjelmaan visi jangka panjang kami untuk mengukuhkan kedudukan UAE sebagai peneraju global dalam angkasa, sains dan teknologi dan pada masa yang sama, dapat terus memberi inspirasi kepada generasi akan datang untuk mengejar pengetahuan dan inovasi tanpa henti,” kata Encik Hamad.

Angkasawan yang dipilih untuk berjalan di angkasa lepas di ISS menjalani proses pemilihan yang ketat berdasarkan kemahiran, pengalaman dan kebolehan mereka menyesuaikan diri dengan persekitaran ruang angkasa yang mencabar.

Mereka mesti menunjukkan kecekapan yang luar biasa dalam pelbagai bidang, seperti kejuruteraan, robotik dan sistem sokongan hayat serta kecergasan fizikal dan daya tahan mental yang sangat baik, menurut WAM.

Kegiatan berjalan di angkasa di ISS penting untuk mengekalkan, menaik taraf dan meningkatkan keupayaan makmal orbit.

EVA membolehkan angkasawan melaksanakan tugas seperti penyenggaraan dan pembaikan sistem-sistem penting, pemasangan teknologi dan perkakasan baru serta pemasangan dan pembinaan modul ISS.

EVA di ISS juga melambangkan kerjasama antarabangsa, dengan angkasawan dari pelbagai negara bekerjasama dan menggalak perkongsian pengetahuan serta sumber.
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan