Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Angka korban di tempat kerja cecah 30 mangsa susuli kematian pekerja depot kontena

Satu insiden maut di sebuah depot kontena minggu ini membawa angka korban keseluruhan di tempat kerja pada 2021 kepada 30 mangsa, perangkaan sama yang dilaporkan sepanjang 2020.

Anggaran Waktu Membaca:
Angka korban di tempat kerja cecah 30 mangsa susuli kematian pekerja depot kontena

Seorang lelaki berusia 49 tahun maut di tempat kerja di Pioneer pada 1 Okt 2021. (Gambar hiasan: iStock)

Diterbitkan : 03 Oct 2021 09:28PM Dikemas Kini : 03 Oct 2021 09:36PM

SINGAPURA: Satu insiden maut di sebuah depot kontena minggu ini membawa angka korban keseluruhan di tempat kerja pada 2021 kepada 30 mangsa, perangkaan sama yang dilaporkan sepanjang 2020.

"Ini adalah satu peristiwa suram yang tiada seorang pun antara kita mahukan," kata Penolong Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) Melvin Yong pada Ahad (13 Okt).

Dalam catatan Facebooknya, Encik Yong berkata beliau "amat berdukacita mendengar tentang satu lagi kematian di tempat kerja".

Seorang lelaki berusia 49 tahun meninggal dunia pada Jumaat (1 Okt) di sebuah tapak binaan di Pioneer, menurut polis sambil menambah seorang lelaki berumur 42 tahun kemudian ditangkap kerana menyebabkan kematian akibat tindakan melulu.

Pekerja itu, seorang warga Singapura, meninggal dunia selepas dihempap sebuah kontena, lapor Straits Times.

Menurut laporan itu, insiden berlaku ketika kontena tersebut sedang dipunggah oleh sebuah pemuat sisi.

Penghuni tapak binaan itu dan majikan kepada pekerja yang maut - Allied Container (Engineers and Manufacturers) - sudahpun diarahkan supaya menghentikan kerja-kerja memunggah dan mengangkut kontena dan berhenti menggunakan pemuat sisi, lapor Straits Times.

"Nyawa yang terkorban dalam kemalangan di tempat kerja bukan sekadar satu statistik," kata Encik Yong pada Ahad.

"Para pekerja itu meninggalkan orang tersayang, keluarga untuk ditanggung dan tanda tanya yang perlu dijawab."

Beliau turut menarik perhatian kepada kematian terkini itu yang berlaku di tengah-tengah satu siasatan yang sedang dijalankan ke atas letupan di sebuah bengkel di Tuas pada Februari, yang meragut nyawa tiga pekerja.

Siasatan itu "membangkitkan amalan-amalan yang membimbangkan seperti tidak mengendahkan isyarat bahaya dan penggunaan jentera yang tidak betul", kata Encik Yong.

Beliau menggesa syarikat-syarikat, terutamanya dalam sektor binaan serta logistik dan pengangkutan, supaya mengambil iktibar daripada insiden baru-baru ini dan "segera melaksanakan langkah-langkah... untuk mengatasi sebarang kelemahan keselamatan".

Sektor-sektor binaan serta logistik dan pengangkutan membentuk lebih separuh daripada kematian di tempat kerja tahun ini, garis Encik Yong. Seramai sembilan dan lapan pekerja maut masing-masing dalam industri binaan serta industri logistik dan pengangkutan.

NTUC akan bekerjasama dengan kesatuan-kesatuan untuk "mengeluarkan lebih banyak peringatan dan nasihat" kepada para pekerja untuk mengingatkan mereka supaya berwaspada ketika bekerja serta saling menjaga keselamatan satu sama lain, kata Encik Yong.

"Kita boleh, dan kita mesti, melakukan lebih banyak lagi untuk menghentikan peningkatan yang merisaukan ini dalam kematian di tempat kerja kerana Setiap Pekerja Penting dan Setiap Nyawa Berharga." 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan