Angka edaran SPH Media ditokok tambah hingga 12%; siasatan Pemerintah dijalankan
Angka pengedaran harian akhbar terbitan SPH Media, termasuk The Straits Times dan Lianhe Zaobao, didapati ditokok tambah sebanyak 85,000 hingga 95,000. Ini termasuk salinan akhbar yang dicetak, diambil kira untuk pengedaran dan kemudian dihapuskan.

(Gambar fail: TODAY)
Terdapat juga kedaaan di mana langganan "dihitung dua kali" dalam beberapa keadaan dan sebuah akaun projek "disuntik dengan dana tambahan sepanjang satu tempoh waktu untuk membeli pengedaran rekaan", lapor The Straits Times pada Isnin (9 Jan).
Sesetengah angka pengedaran juga "diperolehi secara sewenang-wenangnya", tambah akhbar itu.
Susulan penemuan itu,beberapa kakitangan kanan SPH Media sudah meninggalkan pertubuhan berita itu atau "dikenakan tindakan" selepas satu semakan dalaman mendapati masalah pada pelaporan data pengedarannya.
SPH Media bagaimanapun tidak menyatakan berapa lama amalan tersebut sudah berlarutan.
Dalam industri media, perangkaan pengedaran adalah satu kayu ukur yang penting bagi menetapkan harga pengiklanan.
Menjawab pertanyaan Mediacorp, seorang jurucakap Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) berkata kementerian itu sudah meminta SPH Media untuk mengongsikan dapatan penuhnya. Baru-baru ini, MCI sudah menerima laporan dalaman oleh SPH Media berhubung perkara itu.
"MCI akan menjalankan semakan kami sendiri untuk menentukan sama ada percanggahan dalam data pengedaran ini menjejas keputusan pembiayaan dan jumlah yang Pemerintah peruntukkan untuk membiayai SPH Media. MCI berharap SPH Media akan bekerjasama sepenuhnya dengan semakan kami," kata jurucakap itu.
SPH Media menjadi sebuah syarikat berhad dengan jaminan pada Disember 2021 selepas ia berpisah daripada Singapore Press Holdings.
Sebagai pemegang amanah, ia akan menerima dana awam sehingga S$180 juta setiap tahun selama lima tahun dan syarikat itu dikehendaki untuk menyediakan kemas kini setiap enam bulan kepada Pemerintah.
Menjawab pertanyaan Mediacorp, jurucakap SPH Media berkata beberapa percanggahan dalam pelaporan data ditemui tatkala semakan dijalankan, yang bermula dari Mac tahun lalu.
"Kami sudah mengambil langkah-langkah segera untuk memperkukuhkan proses. Kakitangan terlibat sudah dikenakan tindakan atau sudah meninggalkan pertubuhan," tambah jurucakap berkenaan.
Namun, beliau tidak mendedahkan nama kakitangan yang terlibat.
Menurut The Straits Times, data termasuk kontrak yang mempunyai luput tetapi terus diambil kira dalam angka pengedarannya.
Sebuah akaun projek disuntik dengan dana tambahan sepanjang satu tempoh waktu untuk membeli pengedaran rekaan dan "sesetengah" angka pengedaran diperolehi secara sewenang-wenangnya, lapor akhbar itu.
Akibatnya, terdapat percanggahan antara 85,000 hingga 95,000 salinan purata harian bagi semua akhbar, yang membentuk 10 hingga 12 peratus pengedaran purata harian yang dilaporkan, tambah jurucakap itu.
Kedua-dua laporan The Straits Times mahupun jurucakap SPH tidak mengesahkan akhbar yang terjejas oleh data penerbitan yang palsu itu.
Pertubuhan media itu menerbitkan akhbar The Straits Times dan The Business Times, di samping Lianhe Zaobao, Shin Min Daily News, Berita Harian dan Tamil Murasu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.