Anggur Shine Muscat dijual di SG selamat untuk dimakan: SFA
Anggur Shine Muscat yang dijual di Singapura selamat untuk dimakan, dengan buah itu tertakluk kepada ujian bagi racun serangga dan langkah-langkah kawalan mutu yang lain, menurut Agensi Makanan Singapura (SFA) pada Rabu (30 Okt).
Keprihatinan mengenai buah-buahan popular itu muncul pada minggu lalu di tengah-tengah laporan dari Thailand yang menyatakan bahawa racun serangga pada tahap luar biasa tinggi ditemui pada pelbagai sampel anggur berkenaan.
Dalam respons kepada pertanyaan Mediacorp, SFA menyatakan ujiannya bagi mengesan racun serangga dalam anggur Shine Muscat tidak mengesan sebarang tahap sisa yang menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan makanan.
"SFA akan terus menguji dan memantau situasi bagi melindungi kesihatan awam."
SFA menambah bahawa ia mempunyai peraturan bagi menghad jumlah sisa bahan kimia yang dibenarkan seperti racun serangga yang dibenarkan dalam makanan.
Ia juga secara rutin akan menjalankan ujian bagi racun serangga dalam makanan, termasuk buah-buahan seperti anggur Shine Muscat.
Makanan itu tidak dibenarkan untuk dijual jika ia gagal ujian keselamatan makanan dan pemeriksaan SFA.
Produk makanan, termasuk anggur Shine Muscat, harus diimport oleh pengimport yang diluluskan oleh SFA.
"Para penjual harus pastikan bahawa makanan yang dijual diperolehi dari sumber yang dikawal selia SFA, disediakan atau diproses secara selamat dan bersih serta tidak menjejas keselamatan makanan," tambahnya.
Menurut laporan The Bangkok Post, Rangkaian Amaran Racun Serangga Thai memberi amaran berlaku pencemaran anggur Shine Muscat pada minggu lalu selepas ia mendapati sebahagian besar sampel yang diuji mengandungi kesan racun serangga melebihi tahap yang dibenarkan.
Daripada 24 sampel yang diambil daripada beberapa lokasi termasuk kedai-kedai online dan pasar raya, 23 sampel mengandungi sisa serangga perosak yang melebihi had dibenarkan.
Sembilan daripada sampel berkenaan diimport dari China, manakala negara asal bagi 15 lagi anggur tidak dapat dikenal pasti.
Dalam kenyataannya, SFA mendedahkan anggur Shine Muscat yang dijual di Singapura sebahagian besar diimport dari negara-negara seperti China, Korea Selatan dan Jepun.
Dalam respons kepada pertanyaan Mediacorp, seorang jurucakap FairPrice Group berkata pemeriksaan mutu secara kerap dijalankan terhadap kesemua hasil tanaman termasuk anggur Shine Muscat bagi memastikan ia memenuhi "piawai menyeluruh" untuk kebersihan dan keselamatan.
"Menyusuli insiden baru-baru ini di Thailand, jabatan keselamatan makanan kami sedang memantau situasi dengan teliti dan akan terus menyemak semua maklumat relevan bagi memastikan keselamatan terhadap produk-produk kami.
Rangkaian pasar raya itu menjual anggur Shine Muscat yang diperolehi dari Jepun, Korea dan China.
SFA menyatakan para pelanggan "boleh memainkan peranan masing-masing" bagi memastikan buah-buahan yang dibeli selamat untuk dimakan.
"Basuh buah-buahan itu sebelum ia dimakan," menurut SFA sambil menambah dengan menggosok secara perlahan-lahan kulit buah-buahan itu sambil membasuhnya juga dapat bantu mengikiskan sisa racun serangga.
"Mengopek kulit buah-buahan juga dapat menghapuskan sisa racun serangga kerana kebanyakan daripada sisa itu ditemui pada permukaan buah-buahan."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.