Skip to main content

Singapura

Anggota tetap SAF dihukum penjara selepas pindahkan wang S$1.6 juta milik bapa untuk berjudi

Anggaran Waktu Membaca:
Anggota tetap SAF dihukum penjara selepas pindahkan wang S$1.6 juta milik bapa untuk berjudi

Mahkamah Negara Singapura. (Gambar fail: CNA/Jeremy Long)

Diterbitkan : 13 Aug 2026 03:44PM Dikemas Kini : 13 Aug 2026 03:45PM
SINGAPURA: Seorang anggota tetap Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun pada Khamis (13 Ogos) selepas memindahkan wang berjumlah S$1.6 juta milik bapa angkatnya untuk membiayai ketagihannya berjudi.

Tay Yi Cong, 29 tahun, mengambil wang tersebut, termasuk S$533,800 daripada Tabung Simpanan Pekerja (CPF) lelaki yang berusia 62 tahun itu.

Dia mengaku bersalah atas tujuh tuduhan mencuri atau menipu, dengan 28 tuduhan lain diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Mahkamah diberitahu bahawa Tay merupakan seorang mahasiswa Universiti Nasional Singapura (NUS).

Ketika melakukan kesalahan itu, dia merupakan pegawai tetap dan medik kanan SAF dengan pangkat ME1-2.

Tay sudah ketagih dengan permainan bakarat di kasino di Singapura sebelum dihantar ke Taiwan bagi menjalankan tugas SAF bermula hujung 2021.

Semasa berada di Taiwan, dia beralih kepada perjudian online dan kasino haram sehingga menanggung hutang sekitar S$60,000 dengan beberapa bank menjelang Disember 2023.

Walaupun hutangnya semakin menimbun, Tay mahu terus berjudi dan mula merancang untuk mendapatkan lebih banyak wang.

Ketika berada di Taiwan, Tay membuka akaun bank menggunakan butiran seorang rakan sebiliknya selepas meneka kod laluan Singpass lelaki tersebut.

Dia kemudian menggunakan akaun itu untuk memohon pinjaman S$25,000 yang disalurkan ke akaun banknya sendiri.

Wang tersebut digunakan bagi perbelanjaan peribadi dan perjudian, manakala hasil kemenangan judinya dibelanjakan untuk barangan mewah daripada Loewe, Balenciaga dan Burberry.

Selepas kembali ke Singapura pada Januari 2024, Tay terus berjudi di kasino tempatan.

Dia dilarang memasuki kasino Marina Bay Sands mulai 30 Januari 2024 selepas mencuri jam tangan Rolex Oyster Datejust bernilai S$11,900 daripada seorang lelaki.

Jam tangan itu berjaya dipulihkan semula, namun Tay kemudian pergi ke Kasino Resorts World Sentosa untuk terus berjudi.

Dia turut memindahkan S$25,000 daripada akaun bank adik lelakinya ke akaunnya sendiri menggunakan aplikasi perbankan dalam telefon adiknya.

TIPU BAPA ANGKAT

Selepas kembali ke Singapura, Tay memohon pinjaman bank dan kad kredit menggunakan butiran peribadi bapanya.

Dia berjaya mendapatkan pinjaman dan kad kredit daripada lima bank sebelum memindahkan wang yang diperolehi ke akaunnya sendiri.

Tay pada mulanya menipu bank untuk mengeluarkan pinjaman berjumlah sekitar S$380,558 atas nama bapanya, sekali gus menyebabkan bapanya perlu menanggung pembayaran balik wang tersebut.

Apabila perbuatannya tidak dikesan, Tay mula memindahkan wang daripada akaun bank bapanya sendiri untuk berjudi.

Dia kemudian merancang mengeluarkan simpanan CPF bapanya supaya dapat membuat pertaruhan lebih besar.

S$533,800 SIMPANAN CPF DIAMBIL

Pada 29 Januari 2024, Tay menghubungi bapanya dengan menyamar sebagai kakitangan CPF.

Dia mendakwa CPF sedang menjalankan pemeriksaan sistem yang memerlukan mereka menjalani imbasan wajah.

Tay kemudian menggunakan proses tersebut untuk mendapatkan pengesahan wajah bapanya sebelum mengubah had pengeluaran harian akaun CPF tersebut.

Sebanyak S$533,800 dipindahkan daripada CPF bapanya ke akaun bank lelaki itu sebelum Tay memindahkan keseluruhan wang tersebut kepada dirinya sendiri.

Dia menghabiskan semua wang berkenaan di Kasino Resorts World Sentosa.

Bapanya kemudian menyedari baki akaun banknya semakin berkurangan dan mendapati terdapat pemindahan wang ke akaun anaknya.

Bagi mengelakkan perbuatannya terbongkar, Tay menyamar sebagai pegawai beberapa bank ketika menghubungi bapanya dan mendakwa terdapat masalah dengan sistem perbankan.

Dia juga mendakwa Penguasa Kewangan Singapura (MAS) menghalang akaun bank bapanya daripada dipulihkan.

Tay kemudian menawarkan diri untuk membuat aduan polis bagi pihak bapanya tetapi sebaliknya memalsukan laporan tersebut dan menunjukkan salinannya kepada bapanya.

Perbuatannya akhirnya terbongkar pada 11 Mac 2024 apabila bapanya mengetahui mengenai pengeluaran wang CPF ketika bertemu ejen insuransnya.

Selepas mengetahui polis sedang menyiasat perkara itu, Tay menaiki penerbangan ke Taiwan dan melarikan diri.

Kesalahan melibatkan bapanya itu menyebabkan kerugian berjumlah S$1.6 juta.

TERUS LAKUKAN KESALAHAN DI TAIWAN

Semasa berada di Taiwan, Tay terus melakukan kesalahan terhadap kenalan dan rakan sekerjanya.

Antaranya, dia memindahkan sekitar S$11,900 menggunakan kad kredit bekas rakan sebiliknya.

Dia kemudian menggunakan telefon seorang lagi anggota tetap SAF untuk memindahkan wang dan memohon pinjaman tanpa pengetahuan lelaki tersebut.

Kesalahan melibatkan rakan sekerjanya itu berjumlah S$168,155.

Antara hujung Mei dengan pertengahan Jun 2024, Tay berada di Korea Selatan apabila dia bertemu seorang pekedai warga emas yang mengingatkannya kepada neneknya.

Selepas menceritakan kesalahannya kepada pekedai itu, Tay dinasihatkan supaya menyerah diri.

Dia kembali ke Singapura pada 17 Jun 2024 dan diberkas di Lapangan Terbang Changi.

Tay hanya membayar balik S$37,700 kepada bapanya.

Kesemua mangsa mengalami kerugian sekitar S$1.83 juta.

HAKIM: USAHA MENIPU 'TIADA BATAS'

Timbalan Pendakwa Raya Ariel Tan menyifatkan tindakan Tay menipu bapanya sendiri sebagai perkara paling tercela dalam kes tersebut.

Pihak pendakwa menekankan bahawa bapanya sudah menyimpan wang CPF bagi persaraan, tetapi Tay berulang kali menipunya untuk menyembunyikan perbuatannya.

Peguam bela C K Teo pula berkata anak guamnya mengaku bersalah, memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa dan secara sukarela kembali ke Singapura.

Hakim Daerah Kamala Ponnampalam menyifatkan kesalahan menipu dan mencuri itu sebagai antara yang paling buruk pernah ditemuinya sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata usaha Tay untuk menipu "tiada batas" dan kesalahan tersebut memerlukan hukuman berat bagi memberikan kesan pencegahan.

Mediacorp sudah menghubungi Kementerian Pertahanan (MINDEF) bagi mendapatkan maklumat lanjut.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita