Skip to main content

Singapura

Anggota SAF mengaku sebabkan kematian pelakon Aloysius Pang atas kecuaiannya

Seorang anggota Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) pada Selasa (19 Nov) mengaku bersalah kerana menyebabkan kematian askar kerahan Aloysius Pang.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 19 Nov 2019 02:46PM Dikemas Kini : 19 Nov 2019 08:50PM

SINGAPURA: Seorang anggota Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) pada Selasa (19 Nov) mengaku bersalah kerana menyebabkan kematian askar kerahan Aloysius Pang.

Sarjan Ketiga (Askar Kerahan) Hubert Wah, berusia 31 tahun, mengaku bersalah atas satu tuduhan menyebabkan kematian atas perbuatan cuai di bawah Kanun Keseksaan, dan satu lagi tuduhan perbuatan cuai yang membahayakan nyawa di bawah Akta SAF.

Mahkamah tentera diberitahu bahawa 3SG (NS) Wah, seorang komander detasmen, gagal memastikan Pang tidak berada di laluan pemampat meriam Howitzer buatan Singapura (SSPH), yang menyebabkannya dihimpit laras meriam itu, yang menyebabkan kematiannya.

Bagi satu lagi tuduhan, mahkamah diberitahu bahawa 3SG (NS) Wah gagal menekan butang kecemasan yang akan menghentikan laras meriam itu.

Sesiapa yang didapati bersalah kerana menyebabkan kematian akibat kecuaian boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun dan/atau dikenakan denda.

Dalam rayuan 3SG (NS) Wah, peguam belanya berkata bahawa keluarga mendiang Pang sudah meminta agar Mahkamah menjatuhkan hukuman ringan ke atas tertuduh.

Bagi tuduhan menyebabkan kematian, mahkamah diberitahu bahawa pihak pendakwa tidak akan menentang jika hanya denda dikenakan dan jika denda dikenakan, dengan maksimum seharusnya S$5,000.

Sementara itu, Teknisyen Persenjataan berpangkat ME2 Ivan Teo, berusia 35 tahun, juga mengaku bersalah terhadap dua tuduhan perbuatan cuai yang membahayakan nyawa di bawah Akta SAF dan satu lagi tuduhan tidak mematuhi perintah am di bawah Akta SAF.

Bagi kedua-dua tuduhan pertama itu, ME2 Teo gagal memberitahu 3SG (NS) Wah bahawa mendiang Pang berada di bahagian laras meriam itu, dan gagal menekan butang kecemasan yang mungkin akan menghentikannya, menurut mahkamah.

Bagi tuduhan ketiga pula, ME2 Teo melonggarkan bahagian luar penutup kotak di dalam meriam Howitzer meskipun larasnya tidak diletakkan dalam keadaan tidak bergerak, walaupun panduan penyenggaraan memerlukannya untuk berbuat demikian.

Mereka berdua sudah didakwa pada 31 Julai, meskipun tuduhan mereka sudah dipinda.

Mereka dijatuhi hukuman pada Selasa.  

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita