Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Anggota PSP Hazel Poa fail usul gantung Menteri Pengangkutan, S Iswaran dari Parlimen di tengah siasatan CPIB

Anggaran Waktu Membaca:
Anggota PSP Hazel Poa fail usul gantung Menteri Pengangkutan, S Iswaran dari Parlimen di tengah siasatan CPIB

Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NMP) Hazel Poa. (Gambar fail: TODAY/Leonard Leong)

Diterbitkan : 08 Sep 2023 02:06PM Dikemas Kini : 08 Sep 2023 02:07PM
SINGAPURA: Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NMP), Hazel Poa telah memfailkan satu usul meminta agar kedudukan Menteri Pengangkutan, S Iswaran sebagai Anggota Parlimen digantung.

Ia kerana Encik Iswaran sedang disiasat oleh Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB).

Dalam satu catatan di Facebook pada Jumaat (8 Sep), AP dari Parti Kemajuan Singapura (PSP) itu berkata beliau memfailkan usul pada Khamis, agar Encik Iswaran digantung "untuk baki sesi Parlimen ke-14".

Menurutnya, ini supaya beliau "tidak lagi boleh menerima elaun sebagai AP sebanyak S$192,500 setahun sedang beliau diminta oleh Perdana Menteri untuk tidak menjalankan sebarang tugas rasmi semasa siasatan CPIB", tambahnya.

Catatannya itu dibuat selepas Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata dalam satu kenyataan menteri di Parlimen pada 2 Ogos bahawa Encik Iswaran dilarang bertugas dengan gaji dikurangkan kepada S$8,500 sebulan sehingga notis lanjut.

Jumlah itu membentuk kira-kira 15 peratus daripada paras penanda aras gaji bulanan seorang menteri sebanyak S$55,000, menurut Divisyen Perkhidmatan Awam.

Selain itu, Encik Iswaran juga masih menerima elaun AP tahunan sebanyak S$192,500.

Menjawab soalan AP Parti Pekerja Dennis Tan, Encik Lee berkata bahawa Encik Iswaran boleh terus mendapat elaun AP kerana ia berbeza daripada gaji menteri dan tidak tertakluk di bawah budi bicara Perdana Menteri.

Dalam catatannya pada Jumaat, Cik Poa berkata usul itu difailkan untuk sidang parlimen seterusnya, yang dijadualkan pada 18 Sep menurut laman web parlimen. Usul itu sendiri mungkin dibahaskan pada atau selepas 19 Sep, katanya.

Tambah Cik Poa, beliau juga akan memperkenalkan Rang Undang-undang Persendirian untuk meminda Akta Parlimen (Keistimewaan, Kekebalan dan Kuasa) untuk memastikan Encik Iswaran dibayar balik sekiranya beliau kemudiannya didapati bebas daripada sebarang salah laku oleh CPIB.

Undang-undang tersebut menetapkan keistimewaan, kekebalan dan kuasa Speaker, Anggota dan jawatankuasa di parlimen dan juga mengawal tingkah laku AP.

Encik Iswaran ditahan oleh Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) pada 11 Jul. Beliau kini diikat jamin dan diarahkan untuk mengambil cuti ketidakhadiran hingga siasatan selesai.

Siasatan CPIB terhadap Encik Iswaran juga melibatkan jutawan Ong Beng Seng, lelaki yang dipuji secara meluas membawa perlumbaan F1 ke Singapura.
Sumber : CNA/SU/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan