Anggota PSP Ang Yong Guan tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum akan datang
Penolong Setiausaha Agung Parti Kemajuan Singapura (PSP) Ang Yong Guan tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum akan datang, menurut partinya pada Rabu (5 Feb) selepas tempoh penggantungannya sebagai pakar psikiatri dilanjutkan.

Pakar psikiatri Dr Ang Yong Guan adalah Penolong Setiausaha Agung PSP. (Gambar: Facebook/Ang Yong Guan)
Dr Ang, 70 tahun, dikenakan tempoh penggantungan khidmat selama tiga tahun oleh Mahkamah Tiga Hakim setelah didapati bersalah atas salah laku profesional. Dia sebelum ini telah merayu terhadap keputusan tribunal disiplin untuk menggantung khidmatnya selama dua tahun.
Seorang jurucakap PSP berkata pada Rabu (5 Feb) bahawa parti itu menerima keputusan mahkamah dan tidak mempunyai komen lanjut.
"Dr Ang Yong Guan telah maklumkan kepada parti pada Januari lalu bahawa apabila penggal CECnya (jawatankuasa eksekutif pusat) tamat pada bulan depan, dia tidak akan mohon bagi pelantikan semula mahupun bertanding dalam Pilihan Raya Umum," kata jurucakap itu.
Dr Ang didapati bersalah pada Mei tahun lalu kerana menyimpang daripada piawai relevan apabila memberi preskripsi ubat kepada seorang pesakit.
Kesnya itu berkaitan preskripsi ubat yang diberikan kepada seorang pesakit bernama Quek Kiat Siong, yang meninggal dunia empat hari selepas preskripsi terakhir diberikan pada 2012.
Dr Ang telah bertanding dalam tiga pilihan raya umum sebelum ini.
Dia merupakan anggota pasukan Parti Demokratik Singapura pada 2011 yang bertanding di GRC Holland-Bukit Timah dan meraih 39.92 peratus undi.
Pada 2015, dia merupakan sebahagian daripada pasukan Parti Warga Diutamakan (Singaporeans First Party) yang mendapat 22.29 peratus undi di GRC Tanjong Pagar.
Dia juga adalah pengerusi parti tersebut pada ketika itu.
Lima tahun kemudian, dia bertanding di SMC Marymount di bawah PSP dan meraih 44.96 peratus daripada keseluruhan undi.
Menurut laman PSP, Dr Ang telah berkhidmat sebagai seorang pakar psikiatri selama lebih 35 tahun.
Ketika diumumkan sebagai calon PSP pada 2020, Dr Ang dilaporkan telah berkhidmat sebagai ketua pakar psikiatri di Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) selama 17 tahun sehingga 2003.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.