Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Anggota pertama sindiket 5 orang tipu SkillsFuture $40 juta dipenjara

Seorang penganggur yang merupakan sebahagian daripada sebuah sindiket lima anggota yang menipu badan berkanun SkillsFuture Singapore (SSG) hampir S$40 juta dijatuhi hukuman penjara selama lima tahun dan lapan bulan pada Selasa (27 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Anggota pertama sindiket 5 orang tipu SkillsFuture $40 juta dipenjara

Petikan skrin laman SkillsFuture Singapore.

Diterbitkan : 28 Nov 2018 08:51AM Dikemas Kini : 28 Nov 2018 09:55AM

SINGAPURA: Seorang penganggur yang merupakan sebahagian daripada sebuah sindiket lima anggota yang menipu badan berkanun SkillsFuture Singapore (SSG) hampir S$40 juta dijatuhi hukuman penjara selama lima tahun dan lapan bulan pada Selasa (27 Nov).

Lee Chi Wai - orang pertama yang dijatuhi hukuman dalam kes penipuan itu bersubahat untuk memperolehi subsidi-subsidi latihan dari SSG menggunakan dokumen-dokumen palsu.

Mahkamah mendapati, Lee, 32 tahun, membantu untuk menyorokkan hasil kutipan jenayah sebanyak S$6.7 juta dalam bentuk wang tunai dan 11 kilogram emas di rumahnya. Sebahagian hasil kutipan itu pula dipindahkan secara haram.

Kes-kes terhadap empat anggota lain sindiket berkenaan terdiri daripada ibu, kakak, ipar lelaki dan teman ipar lelakinya, sedang menanti perbicaraan.

S$40 JUTA DALAM TEMPOH 6 BULAN

Sindiket itu melibatkan satu rangkaian yang terdiri daripada sembilan entiti berdaftar di Singapura - tiga penyedia latihan dan enam syarikat yang seharusnya menghantar kakitangan untuk menghadiri kursus-kursus - untuk menyerahkan 8,386 permohonan geran bagi yuran kursus serta tuntutan baginya kepada SSG antara Mei hingga Oktober tahun lalu.

Permohonan-permohonan itu mendakwa bahawa kursus-kursus latihan disediakan kepada sekitar 25,000 kakitangan daripada enam syarikat pemohon.

Hasilnya, SSG membayar S$39.9 juta kepada enam syarikat dan tiga penyedia latihan berkenaan.

Penipuan itu terbongkar selepas SSG mengesan kejanggalan pada tuntutan-tuntutan bagi geran-geran latihan pada hujung Oktober 2017 dan segera menggantung semua bayaran geran kepada sembilan entiti perniagaan tersebut. Kes itu kemudian dilaporkan kepada polis.

Sejak itu, SSG memperketatkan proses-prosesnya, termasuk menggunakan satu kaedah analitik bagi mencegah penipuan dan menjalankan semakan menyeluruh terhadap sistemnya.

PELIBATAN LEE DALAM PENIPUAN

Pada Mei tahun lalu, Lee menyedari kakaknya yang juga salah seorang tertuduh, Lee Lai Leng, 40, tiba-tiba menjadi kaya meskipun kedudukan kewangannya sebelum ini "tidak baik".

Pada Julai tahun lalu, kakaknya meminta izin untuk memindahkan wang berjumlah S$49,950 kepada Lee kerana akaunnya "tidak boleh ada wang". Lee sebaliknya meminta kakaknya untuk memindahkan wang "sedikit demi sedikit" supaya tidak meninggalkan jejak audit, menurut dokumen mahkamah.

Kakak Lee juga menyerahkannya wang tunai sebanyak S$930,000 pada September 2017 sebelum melancong dengan suaminya, Ng Cheng Kwee (42 tahun) yang juga salah seorang tertuduh.

Lee membawa pulang beg yang diisi wang itu lalu meletakkannya dalam sebuah laci. Keseluruhannya, dia menyembunyikan wang tunai bernilai S$6.7 juta dan 11 kilogram emas yang ditipu dari SSG di rumahnya.

Hanya beberapa jam sebelum Jabatan Ehwal Komersil memberkasnya, Lee membawa hasil kutipan jenayah dalam peti besi ke rumah rakannya supaya tidak dirampas, menurut pihak pendakwa.

Lee juga menggunakan sebahagian daripada hasil kutipan jenayah bernilai S$79,950 yang dimasukkan ke dalam akaun banknya untuk membeli sebuah kereta.

Lee mengaku bersalah awal bulan ini terhadap tiga dakwaan berkaitan hasil kutipan jenayah,

Kakaknya pula didakwa kerana memalsukan dokumen CPF untuk memperdaya SSG supaya membahagikan subsidi-subsidi yuran kursus di samping bersubahat dengan adiknya untuk menyembunyikan wang yang diperolehi.

Sumber : CNA/AQ/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan