Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Anggota Parlimen PSP akan lawat ke rumah penduduk bagi sesi MPS jika mereka menang

SINGAPURA: Calon-calon Parti Kemajuan Singapura (PSP) bagi Kawasan Undi Berkumpulan (GRC) Tanjong Pagar dan Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Kebun Baru memberi jaminan kepada para penduduk kawasan itu bahawa mereka mempunyai kebolehan untuk mengendalikan kawasan berkenaan.

Anggaran Waktu Membaca:
Anggota Parlimen PSP akan lawat ke rumah penduduk bagi sesi MPS jika mereka menang

Ini janji pilihan raya calon-calon PSP. Jika mereka menang pilihan raya, Sesi Bertemu Penduduk (MPS) akan diubah. Iaitu, para AP yang akan datang bertemu penduduk di rumah-rumah mereka sendiri, bukan sebaliknya. (Gambar: Facebook/Abas Bin Kasmani)

SINGAPURA: Calon-calon Parti Kemajuan Singapura (PSP) bagi Kawasan Undi Berkumpulan (GRC) Tanjong Pagar dan Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Kebun Baru memberi jaminan kepada para penduduk kawasan itu bahawa mereka mempunyai kebolehan untuk mengendalikan kawasan berkenaan.

Pada masa yang sama, mereka berikrar untuk membawa suara rakyat di Parlimen agar dapat membawa huraian kepada masalah dihadapi mereka.

Perkara ini dibentangkan semasa rapat online yang diadakan di akaun Facebook PSP hari ini (7 Jul). Calon-calon PSP bagi GRC Tanjong Pagar terdiri daripada Michael Chua, Harish Pillai, Terence Soon, A'bas Kasmani dan Wendy Low.

Antara isu yang diketengahkan semasa rapat online itu termasuklah tentang pekerjaan.

Calon-calon PSP turut mempersoalkan sasaran Parti Tindakan Rakyat (PAP) untuk mewujudkan 100,000 pekerjaan dalam masa setahun.

A'BAS: PERLUKAN MASA UNTUK WUJUDKAN PEKERJAAN BERMUTU, BAKAT TEMPATAN

Encik A'bas Kasmani berkata: "Jika saya dapat merujuk kepada satu buku yang saya pernah baca, pekerjaan tidak dapat diwujudkan oleh pemerintah. Hanya rakyat yang mampu mewujudkan pekerjaan.

"100,000 pekerjaan seperti menjadi duta digital dan jaga jarak selamat? Untuk mewujudkan pekerjaan dan bakat yang bermutu memerlukan masa," katanya.

Bagi memastikan pekerjaan yang bermutu, Encik A'bas menjelaskan bahawa ia memerlukan bakat untuk ke luar negara dan membawa masuk syarikat-syarikat antarabangsa melabur di sini. Ini akan membawa kepada lebih banyak pekerjaan yang harus mengutamakan rakyat dan kurang bergantung kepada bakat asing.

KEMAMPUAN KENDALIKAN MAJLIS BANDARAN, PENDAPAT TENTANG NCMP DITANYA

Semasa sesi rapat itu juga, para peserta berpeluang bertanyakan soalan kepada calon-calon.

Salah satu soalan yang mendapat perhatian adalah jika PSP mampu mengendalikan sebuah majlis bandaran tanpa berulangnya "saga Majlis Bandaran Aljunied-Hougang" yang dialami Parti Pekerja (WP).

Calon PSP Encik Harish Pillai menjawab bahawa selain ketua PSP, Dr Tan Cheng Bock, terdapat beberapa anggota PSP lain yang berpengalaman mengendalikan sebuah majlis bandaran.

Malah, PSP sudah ada rancangan tentang cara-cara mengendalikan majlis bandaran mereka apabila menang nanti.

"Perlu diingatkan juga semasa WP mengambil alih Majlis Bandaran Aljunied, PAP menutup segala sistem IT sedia ada. Itu satu perkara yang saya rasa tidak harus dibenarkan sama sekali. WP perlu mengambil masa yang lama untuk mengendalikan majlis bandaran itu semula dengan baik.

"Bagi kami di PSP, saya sudah memberitahu Dr Tan bahawa saya akan sarankan sistem IT yang kukuh untuk digunakan dan PSP tidak akan lokek dan mengongsikan sistem itu kepada mana-mana parti yang memerlukannya nanti," tambah Encik Pillay.

Menyentuh isu Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) yang menjadi perbualan hangat baru-baru ini, calon PSP Michael Chua berharap rakyat juga dapat mempersoalkan isu penasihat akar umbi yang sedia ada.

"Ramai berbual tentang NCMP tetapi mereka juga harus ingat jika pihak pembangkang menang, para calon PAP yang kalah akan serta merta menjadi penasihat akar umbi kawasan undi itu.

"Bagaimana pihak pembangkang boleh menjalankan kegiatan akar umbi dengan baik jika ada pengaruh pihak lain di pertubuhan akar umbi," kata Encik Michael.

BAWA PEMBAHARUAN KEPADA SESI BERTEMU PENDUDUK

Salah satu pembaharuan yang ingin dibawa calon-calon PSP ke kawasan undi mereka adalah cara sesi bertemu penduduk (MPS) dilaksanakan.

Mereka mahu mengubah cara MPS, di mana para AP yang datang bertemu penduduk di rumah-rumah mereka sendiri.

Dengan zaman teknologi dan pengalaman dibawa COVID-19, calon-calon PSP mengatakan tidak hairan format tradisional itu boleh diubah.

"Yang pasti, saya akan terus berkhidmat dan berkhidmat demi sesuap nasi anda. Saya akan membawakan suara anda ke dalam Parlimen dan jika ada perkara dalam parti saya yang anda kurang senang, saya juga akan bersuara untuk anda," tegas Encik A'bas.

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan