Anggota NS dipenjara 12 tahun 9 bulan, 12 sebatan kerana rogol remaja 13 tahun
Lelaki Singapura berusia 24 tahun itu mengaku bersalah atas tuduhan rogol statutori berat dan tidak hadir bertugas tanpa kebenaran. (Gambar: iStock)
Lelaki Singapura berusia 24 tahun itu, yang tidak boleh dinamakan bagi melindungi identiti mangsa, mengaku bersalah atas satu tuduhan rogol statutori berat dan satu tuduhan tidak hadir bertugas tanpa kebenaran (AWOL).
Dua lagi tuduhan diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.
Lelaki itu mengenali mangsa kerana pernah bersekolah menengah bersama abang mangsa.
Mangsa pula rapat dengan isteri lelaki tersebut.
Pada 2 November 2024, ibu mangsa mengaturkan supaya anaknya bermalam di flat dua bilik pasangan itu kerana beliau perlu menghadiri satu acara.
Keesokan paginya, isteri tertuduh yang ketika itu hamil empat hingga lima bulan keluar untuk menguruskan beberapa perkara, meninggalkan mangsa bersendirian bersama suaminya.
Lelaki itu kemudian mengajak mangsa ke bilik tidur dan meminta untuk melakukan hubungan seks dengannya, meskipun mengetahui usianya.
Mangsa menolaknya, namun lelaki itu terus mendesaknya menerusi mesej yang ditaip pada telefon.
Mangsa kemudian secara senyap menghantar mesej kepada isteri lelaki itu untuk meminta bantuan.
Lelaki tersebut kemudian merogol mangsa meskipun dia cuba melawan dan melepaskan diri.
Serangan itu terhenti apabila isterinya kembali ke flat.
Mangsa tidak memberitahu isteri lelaki itu mengenai kejadian tersebut kerana tidak mahu menjadi punca pasangan berkenaan berpisah.
Ibu mangsa membuat laporan polis pada 3 November 2024 dan lelaki itu ditangkap pada hari yang sama.
Lelaki tersebut turut mengaku bersalah tidak hadir bertugas tanpa kebenaran.
Dia sepatutnya melaporkan diri di Akademi Pertahanan Awam pada 23 Oktober 2023 tetapi tidak berbuat demikian sehingga ditangkap.
HUJAH HUKUMAN
Timbalan Pendakwa Raya Sarah Siaw memohon hukuman penjara antara 12 tahun empat bulan hingga 13 tahun serta 12 sebatan.
Beliau berkata mangsa berusia bawah 14 tahun dan tidak memberikan persetujuan.
Pihak pendakwaan turut berhujah bahawa keadaan mangsa yang pekak dan bisu menjadikannya lebih terdedah kepada serangan seksual.
Peguam bela Harjeet Kaur pula memohon hukuman penjara antara 10 tahun hingga 10 tahun enam bulan serta lapan sebatan.
Hakim Andre Maniam berkata hujah pihak pembelaan memperkecilkan kesan ketidakupayaan mangsa.
Menurutnya, mangsa mungkin tidak dapat mendengar orang yang berjalan di luar flat kerana pekak dan tidak dapat menjerit meminta pertolongan kerana bisu.
Hakim Maniam turut menolak hujah bahawa tiada hubungan kepercayaan antara mangsa dengan tertuduh.
Tertuduh dalam rayuannya berkata dia tidak hadir bertugas kerana menghadapi masalah kewangan dan mengambil pekerjaan sebagai tukang cuci.
Hakim Maniam berkata anggota NS yang menghadapi masalah kewangan sepatutnya memaklumkan kepada pegawai atasan dan mendapatkan bantuan, bukannya tidak hadir bertugas tanpa kebenaran untuk bekerja.
Tertuduh turut memohon maaf kepada mangsa, isterinya dan anaknya serta meminta mahkamah memberikan hukuman lebih ringan.
Namun, Hakim Maniam berkata keadaan kes itu tidak mewajarkan sebarang pengurangan hukuman.
Bagi kesalahan rogol statutori berat, tertuduh boleh dipenjara antara lapan hingga 20 tahun dan dikenakan sekurang-kurangnya 12 sebatan.
Kesalahan tidak hadir bertugas tanpa kebenaran pula membawa hukuman penjara sehingga dua tahun.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.