Skip to main content

Singapura

Anggota kerahan NS dapat kredit S$100 sempena ulang tahun ke-55 Perkhidmatan Negara

Kesemua anggota kerahan Perkhidmatan Negara (NS) yang masih belum menamatkan tempoh pengerahan khidmat dan mereka yang sudah berbuat demikian akan menerima kredit digital bernilai S$100 dan keahlian percuma SAFRA atau HomeTeamNS selama setahun, sedang Singapura meraikan ulang tahun ke-55 Perkhidmatan Negara (NS).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 26 Mar 2022 05:46PM Dikemas Kini : 26 Mar 2022 09:23PM

SINGAPURA: Kesemua anggota kerahan Perkhidmatan Negara (NS) yang masih belum menamatkan tempoh pengerahan khidmat dan mereka yang sudah berbuat demikian akan menerima kredit digital bernilai S$100 dan keahlian percuma SAFRA atau HomeTeamNS selama setahun, sedang Singapura meraikan ulang tahun ke-55 Perkhidmatan Negara (NS).

Ini sebagai mengucapkan terima kasih kepada kesemua anggota kerahan NS atas sumbangan mereka kepada pertahanan dan keselamatan Singapura.

Demikian menurut Kementerian Pertahanan (MINDEF) hari ini (26 Mac).

Pakej Pengiktirafan NS55 terdiri daripada kredit bernilai S$100 yang diagihkan secara maya menerusi aplikasi mudah alih LifeSG.

Kredit yang hanya sah digunakan dalam tempoh setahun itu, boleh digunakan di mana-mana kedai online atau fizikal yang menerima bayaran menerusi proses Imbas and Bayar melalui PayNow UEN QR atau NETS QR.

"Ini termasuk kedai-kedai kejiranan, pusat penjaja dan penjual e-komersil, dan untuk membuat bayaran kepada agensi-agensi pemerintah dan institusi pendidikan," menurut MINDEF.

Sekitar sejuta anggota kerahan NS yang layak dari Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Home Team akan menerima surat makluman mulai pertengahan Jun, yang mengandungi butiran tentang bagaimana untuk mengakses kredit itu dan membuat pendaftaran bagi keahlian SAFRA atau HomeTeamNS secara percuma.

Anggota kerahan NS layak bagi pakej itu berdasarkan status perkhidmatan negara mereka setakat Mei 2022, menurut MINDEF.

Kesemua anggota kerahan NS sepenuh masa yang dikerah sebelum 31 Disember 2022, juga layak mendapat manfaat itu selepas mereka dikerah masuk.

Anggota kerahan NS yang layak akan mendapat kredit NS55 itu mulai Julai. Satu makluman menerusi SMS akan dihantar kepada nombor telefon bimbit yang berdaftar sebaik sahaja kredit itu sudah diberikan.

ULANG TAHUN KE-55 PERKHIDMATAN NEGARA

Sabtu ini (26 Mac) menandakan permulaan kempen NS55 selama setahun bagi meraikan detik bersejarah ini.

"Tema 55 Tahun Perkhidmatan Negara (NS55): Keteguhan Rentas Generasi, mencerminkan tekad dan dedikasi bersama oleh anggota kerahan NS dari generasi ke generasi yang menyumbang kepada pertahanan dan keselamatan Singapura, dan memberi inspirasi kepada rakyat Singapura untuk terus membina sebuah Singapura yang lebih teguh," menurut MINDEF.

Ia juga mengiktiraf sokongan keluarga, para majikan dan orang awam kepada Perkhidmatan Awam.

"Sokongan berterusan kepada NS kekal penting dalam memastikan tugas mempertahankan negara dan masa hadapan kita dapat diturunkan dari satu generasi ke generasi yang lain," menurut MINDEF.

"Sistem NS ini akan terus berubah bagi memenuhi keperluan operasi Angkatan Bersenjata Singapura Generasi Seterusnya dan Home Team, serta generasi anggota kerahan NS yang baru."

Dalam mengumumkan permulaan kempen NS55 semasa lawatan ke sebuah latihan pengerahan di Kem Maju hari ini, Menteri Negara Kanan Pertahanan Zaqy Mohamad menekankan pentingnya perkhidmatan negara dalam melindungi kedaulatan Singapura.

"Kita berdiri bersama NS selama 55 tahun, di mana lebih sejuta rakyat Singapura sudah menjalani NS, dan kita ingin memberi pengiktirafan kepada mereka atas sumbangan yang diberikan.

"Terdapat keperluan penting untuk mempertahankan Singapura bagi memastikan kita bersedia menghadapi sebarang potensi ancaman," katanya.

"Pada masa yang sama, kita perlu membina keyakinan rakyat supaya kami boleh mempertahankan diri kita dan mempertahankan kedaulatan kita."

Acara-acara utama yang menandakan sambutan ulang tahun ini termasuk paparan NS55 yang diadakan sempena Rumah Terbuka SAF pada Mei dan di beberapa lokasi kejiranan pada Jun serta lawatan jejak interaktif yang terdiri daripada beberapa tempat penerokaan yang mempunyai signifikan kepada Perkhidmatan Negara, menurut MINDEF.

Satu gabungan Perbarisan Tamat Latihan Asas Tentera dan Perbarisan Askar Kerahan MINDEF juga akan dianjurkan pada Disember.

Selain itu, tema NS55 akan diterapkan dalam beberapa acara sepanjang tahun ini termasuk sambutan Hari SAF dan Hari Kebangsaan.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita