Anggota keluarga, kenalan datang beri penghormatan terakhir buat Dr Lee Wei Ling
Lebih 50 kenalan dan orang awam datang ke Singapore Casket siang tadi (10 Okt) untuk memberi penghormatan terakhir mereka buat mendiang Dr Lee Wei Ling.

SINGAPURA: Lebih 50 kenalan dan orang awam datang ke Singapore Casket siang tadi (10 Okt) untuk memberi penghormatan terakhir mereka buat mendiang Dr Lee Wei Ling.
Anak perempuan Perdana Menteri pertama Singapura, Lee Kuan Yew itu meninggal dunia semalam di rumahnya pada usia 69 tahun.
Sejak 2 petang tadi, barisan beratur mula kelihatan di luar bangunan Singapore Casket di Lavender Street.
Orang ramai hadir untuk memberi penghormatan terakhir buat mendiang Dr Lee Wei Ling.
Antara mereka yang hadir ialah para anggota Persatuan Parkinson Singapura.
Badan itu telah banyak meraih manfaat daripada kepakarannya sebagai seorang pakar neurologi.
"Dr Lee sebenarnya sangat menyokong Persatuan Parkinson kami. Selama bertahun-tahun dia sebenarnya membantu kami dengan beberapa pengumpulan dana. Pada tahun-tahun awal, persatuan kami tidak begitu menonjol tetapi kerana bantuannya, ia membawa kami ke tahap sekarang," kata Anggota Jawatankuasa, Persatuan Parkinson Singapura, Edward Pang.
Beberapa individu yang datang juga mengenang kebaikan mendiang Dr Lee.
Antaranya ialah Cik Dass Rose dan Cik Oktisalfitri.
"Beliau seorang yang hebat. Dia sangat merendah diri dan dia bercakap dalam nada yang sangat lembut. Pada tahun 1986, saya pernah bertemu dengannya di bangunan Singapore Power di 111 Somerset Road dan dia akan datang ke sana untuk berenang. Jadi saya akan mengiringinya ke tingkat 17 dan dia akan mengucapkan 'terima kasih'. Apabila saya mendengar dia meninggal dunia semalam, saya benar-benar sedih," kata Cik Dass Rose.
Bagi Cik Oktisalfitri pula: "Saya rasa menyesal kerana selama saya di sini, saya belum pernah berjumpa dengannya, jarang berjumpa dengannya. Jadi inilah saat yang terakhir kali melihat dia."
Ada juga bas yang membawa kakitangan daripada Institut Neurosains (NNI).
Mendiang Dr Lee pernah berkhidmat selaku Pengarah NNI selama 11 tahun.
Dalam pada itu, beberapa tokoh politik termasuk Menteri Kanan Teo Chee Hean dan mantan anggota parlimen, Zainul Abidin Rasheed turut hadir.
Ramai yang datang pada hari pertama upacara juga datang tanpa jambangan bunga.
Ini bagi menghormati permintaan keluarga mendiang bagi tiada pemberian bunga tapi sebaliknya sumbangan kepada beberapa badan amal yang disokong mendiang.
Orang ramai boleh memberikan penghormatan terakhir mereka sehingga 1 tengah hari, Sabtu (12 Okt) ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.