Anggota bomba Marin SCDF jalani latihan intensif tangani insiden di laut
Kebakaran dan gerakan menyelamat di laut adalah antara beberapa insiden yang ditangani Pasukan Operasi Khas Marin dari Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).
SINGAPURA: Kebakaran dan gerakan menyelamat di laut adalah antara beberapa insiden yang ditangani Pasukan Operasi Khas Marin dari Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).
Pasukan itu memberi respons kepada 10 keadaan kecemasan sedemikian tahun lalu dan juga pada tahun 2016.
Jumlah tersebut adalah yang tertinggi sejak divisyen berkenaan ditubuhkan hampir enam tahun lalu.
Melawan kebakaran di atas kapal merupakan satu gerakan yang kian lebih sukar dan berbahaya.
Oleh itu, anggota bomba Marin menjalani latihan menggunakan simulator kapal bagi mewujudkan keadaan sebenar di laut.
"Dalam senario di darat, apabila berlaku kecemasan, mereka boleh dengan mudah keluar dari bangunan dan lari menyelamatkan diri. Bagaimanapun di laut, satu-satunya tempat mereka boleh menyelamatkan diri adalah sebuah platform terapung," jelas Mejar Neo Jia Qi, Komander Balai Bomba Marin West Coast.
Para anggota pasukan bomba Marin dipilih khas dan perlu menjalani program latihan tambahan selama lima minggu.
Selain melawan api, pasukan itu juga perlu menangani serangan kimia di atas kapal. Tugas mencabar demikian memerlukan mereka memakai pakaian khas sebagai melindungi para pegawai yang cuba membersihkan bahan kimia.
Mangsa-mangsa juga perlu dicuci bersih dengan pakaian perlindungan khas.
Dalam pada itu, anggota bomba Marin mengharungi banyak rintangan dalam tugas mereka seperti terpaksa mendaki tangga tujuh meter untuk naik ke atas kapal.
Mereka juga menjalani latihan terjunan seandainya berlaku keadaan di mana mereka perlu meninggalkan kapal.
Pendek kata, latihan intensif itu menyiapkan anggota bomba marin untuk mengharungi kecemasan dengan pantas dan cekap.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.