Skip to main content

Singapura

Ang Mo Kio satu-satunya majlis bandaran gagal capai rating warna hijau dalam laporan tadbir urus korporat

Semua majlis bandaran, kecuali Majlis Bandaran Ang Mo Kio, mencapai rating tertinggi warna hijau bagi tadbir urus korporat dalam laporan pengurusan estet terkini yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Negara (MND) pada Khamis (18 Dis).
Anggaran Waktu Membaca:
Ang Mo Kio satu-satunya majlis bandaran gagal capai rating warna hijau dalam laporan tadbir urus korporat
Papan tanda di Majlis Bandaran Ang Mo Kio. (Gambar fail: TODAY/Nuria Ling)
New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 18 Dec 2025 02:51PM
SINGAPURA: Semua majlis bandaran, kecuali Majlis Bandaran Ang Mo Kio, mencapai rating tertinggi warna hijau bagi tadbir urus korporat dalam laporan pengurusan estet terkini yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Negara (MND) pada Khamis (18 Dis).

Penilaian itu merangkumi 17 majlis bandaran dalam tempoh sebelum Pilihan Raya Umum (GE2025), bagi tahun kewangan dari April 2024 hingga Mac 2025.

GE2025 berlangsung pada 3 Mei 2025.

Majlis Bandaran Ang Mo Kio diberi rating warna jingga bagi Tahun Kewangan 2024 disebabkan oleh dua kes kelalaian pada pentadbirannya, menurut MND.

Majlis bandaran itu tidak menyiarkan perubahan berhubung pelantikan semula naib pengerusi dan anggota majlisnya dalam Warta Pemerintah menjelang tarikh akhir berkanun, seperti yang dikehendaki oleh Akta Parlimen Majlis Bandaran.

Ia sebaliknya hanya menyiarkan pelantikan semula itu selepas itu, menurut laporan tersebut.

Majlis bandaran itu juga tidak melengkapkan pemindahan dana yang diperlukan kepada akaun bank Dana Penggantian Lif dan Dana Terikat bagi suku pertama FY2024 sebelum tarikh akhir berkanun, diwajibkan oleh Peraturan Kewangan Majlis Bandaran.

Ia membuat pemindahan tersebut kemudian hari.

“Memandangkan ketidakpatuhan itu adalah kes kecuaian pentadbiran yang telah diperbetulkan, ia dianggap sebagai dua pemerhatian yang tidak begitu teruk,” menurut MND.

Lantaran itu, majlis bandaran tersebut memperoleh satu mata bagi penunjuk tadbir urus korporat dan diletakkan dalam kategori warna jingga.

Penilaian diberikan berdasarkan tiga jalur warna — hijau, jingga dan merah.

Jumlah mata diberikan berdasarkan tahap keterukan pemerhatian, dengan lebih banyak mata untuk pemerhatian yang lebih serius.

Majlis Bandaran Ang Mo Kio menguruskan estet Lembaga Perumahan di Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Ang Mo Kio, Kawasan Undi Perseorangan(SMC) Kebun Baru dan SMC Yio Chu Kang.

Anggota Parlimen bagi tempoh yang relevan dalam laporan itu, sebelum GE2025 adalah Menteri Kanan Lee Hsien Loong, Encik Darryl David, Cik Nadia Ahmad Samdin, Cik Ng Ling Ling, Encik Gan Thiam Poh; Encik Henry Kwek, yang merupakan Anggota Parlimen (AP) Kebun Baru; dan Encik Yip Hon Weng, AP Yio Chu Kang.

Tiga majlis bandaran lain - Nee Soon, Pasir Ris-Punggol dan Sengkang - masing-masing mempunyai satu kes ketidakpatuhan terhadap Akta Parlimen Majlis Bandaran yang dianggap sebagai “keterukan rendah”.

Mereka masing-masing menerima 0.5 mata, menempatkan mereka kategori warna hijau.

Setiap daripada tiga majlis bandaran itu tidak mendapatkan kebenaran daripada Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) sebelum memulakan kerja di hartanah bersama, menurut MND.

Kebenaran retrospektif HDB dimohon dan diberikan kemudian.

Bagi setiap daripada tiga majlis bandaran itu, MND menyatakan: “Memandangkan ketidakpatuhan itu adalah kecuaian pentadbiran pertama yang telah diperbetulkan, ia dianggap sebagai pemerhatian dengan keterukan yang rendah.”

MND menambah bahawa bagi Tahun Kewangan 2024, semua majlis bandaran secara amnya melaporkan kedudukan kewangan yang baik.

“Dengan mengekalkan kedudukan kewangan yang mampan, (majlis bandaran) dapat terus melaksanakan lebih banyak projek penambahbaikan bandaran yang memberi manfaat kepada para penduduk.”

Ia menambah bahawa pemerintah akan terus memantau kedudukan kewangan majlis bandaran dan bekerjasama dengan mereka untuk memastikan kemampanan kewangan bagi jangka panjang.

Laporan tadbir urus tersebut merupakan laporan kedua daripada laporan pengurusan majlis bandaran dwitahunan yang dikeluarkan oleh MND, dengan yang pertama merupakan laporan operasi berhubung empat petunjuk — kebersihan estet, penyenggaraan estet, prestasi lif serta pengurusan tunggakan yuran S&CC.

Dalam bahagian pertama laporan yang dikeluarkan pada 13 Jun, semua majlis bandaran menerima skor hijau untuk tahun kedua berturut-turut bagi keempat-empat petunjuk tersebut.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita