Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Anda tidak sendirian: Pesanan bagi kanak-kanak berkeperluan khas dan ibu bapa mereka

Anggaran Waktu Membaca:
Anda tidak sendirian: Pesanan bagi kanak-kanak berkeperluan khas dan ibu bapa mereka

Gambar Fail: TODAY/Koh Mui Fong

SINGAPURA: Singapura harus menjadi sebuah masyarakat yang cuba "mendampingi" dan menyokong kanak-kanak berkeperluan khas dan ibu bapa mereka, kata Menteri Pendidikan Chan Chun Sing pada Isnin (14 Feb) ketika beliau membentangkan langkah-langkah di sekolah untuk membantu keluarga sedemikian.

Encik Chan berkata demikian sebagai menjawab soalan parlimen berikutan kematian adik-beradik berusia 11 tahun baru-baru ini yang dilaporkan berkeperluan khas. Bapa mereka, Xavier Yap Jung Houn, didakwa atas tuduhan membunuh salah seorang budak lelaki itu.

Anggota Parlimen Denise Phua (PAP-Jalan Besar) bertanya kepada Encik Chan pengajaran yang ditimba mengenai perlindungan kanak-kanak berkeperluan khas dan sokongan kepada penjaga mereka selepas kematian adik-beradik itu. AP He Ting Ru (WP-Sengkang) pula ingin tahu jumlah pelajar di sekolah arus utama yang didiagnosis memerlukan sokongan pembelajaran tambahan atau mempunyai keperluan khas.

Encik Chan menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi mengenai kejadian yang melibatkan adik beradik 11 tahun itu atau membuat kesimpulan tentang apa yang perlu dilakukan kerana ia kini kes di mahkamah.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan pendekatan Pemerintah dalam menyokong kanak-kanak berkeperluan khas dan penjaga mereka.

BACA: Kematian Upper Bukit Timah: Polis bawa bapa ke tempat mayat dua anaknya ditemui

“Matlamat kami ialah bagi kanak-kanak berkeperluan khas dapat mencapai potensi mereka, lebih yakin diri dan dilengkapi dengan kemahiran dan nilai hidup supaya mereka boleh membesar untuk menjalani kehidupan berdikari sebaik mungkin,” kata Encik Chan.

"Langkah ini bermula dari tahun-tahun awal, di mana pengesanan awal dan campur tangan tepat pada masanya adalah kritikal."

Encik Chan berkata beliau "berbesar hati" mendengar ibu bapa mendapat kekuatan daripada sokongan di sekeliling mereka dan seterusnya memberi sokongan kepada orang lain, membolehkan mereka menghadapi tekanan dan cabaran menjaga anak-anak mereka yang berkeperluan khas.

“Ayuh kita main peranan masing-masing untuk memberi sokongan kepada kanak-kanak ini dan ibu bapa mereka. Kita tidak boleh berkata: 'Biarlah jiran lain yang membantu. Biarlah saudara mara yang lain membantu. Biarkan syarikat lain menegambilnya bekerja,’” kata Encik Chan.

“Kita tidak perlu menunggu antara satu sama lain. Marilah kita semua membuat langkah pertama. Beritahu mereka kita menghargai mereka dan anak-anak mereka. Mari kita ingatkan mereka bahawa mereka tidak bersendirian.”

Sebagai contoh, jika ibu bapa perlu masa untuk berehat, orang di sekeliling mereka boleh bermain atau menemani anak-anak mereka, kata Encik Chan, sambil menggesa rakyat Singapura agar turut menjadi majikan dan rakan sekerja yang prihatin.

“Marilah kita menjadi sebuah masyarakat yang menghulurkan tangan menerusi perkataan dan tindakan kita untuk menunjukkan keprihatinan dan budi baik. Marilah kita menjadi masyarakat inklusif yang menyokong satu sama lain, yang tidak meninggalkan mana-mana pun warga Singapura ketinggalan di belakang, dan bergerak ke hadapan sebagai satu kumpulan,” kata Menteri Pendidikan itu.

SOKONG PELAJAR BERKEPERLUAN KHAS

Bilangan pelajar yang dilaporkan berkeperluan pendidikan khas meningkat kira-kira 5 peratus dalam tempoh tiga tahun lalu, sebahagian besarnya disebabkan kesedaran yang semakin meningkat dan pengenalan awal, kata Encik Chan.

Kira-kira 7,000, atau 20 peratus, daripada semua pelajar yang dilaporkan berkeperluan pendidikan khas menghadiri 22 sekolah pendidikan khas sedia ada, dan mereka mempunyai keperluan khas sederhana hingga teruk.

Lagi 27,000 pelajar berkeperluan pendidikan khas menghadiri sekolah aliran utama, tambahnya.

Untuk membantu ibu bapa membuat pilihan terbaik bagi menyokong keperluan pendidikan khas anak mereka, Kementerian Pendidikan (MOE) bekerjasama dengan hospital, sekolah pendidikan khas dan pusat intervensi awal untuk membangunkan piawai bersama membimbing penilaian dan menyelaraskan saranan kepada ibu bapa, kata Encik Chan.

“Berdasarkan penilaian dan cadangan ini, ibu bapa boleh memutuskan sama ada untuk mendaftarkan anak mereka ke sekolah rendah aliran utama atau sekolah SPED,” tambahnya.

Ibu bapa adalah "rakan utama" kerana mereka memberikan "pandangan berharga" tentang keperluan unik anak-anak mereka, itulah sebabnya sekolah melibatkan keluarga dari awal-awal lagi untuk mengetahui keperluan anak-anak mereka, kata Encik Chan.

“Sekolah kemudiannya memberikan butiran sokongan yang ada di sekolah, dan bagaimana sekolah serta ibu bapa boleh bekerjasama untuk menyokong anak mereka. Apabila sekolah dan keluarga berkomunikasi, mereka membina hubungan dan berkongsi strategi yang boleh digunakan di sekolah dan di rumah,” tambahnya.

Dalam sesetengah kes, ibu bapa kanak-kanak berkeperluan pendidikan khas itu mungkin mendapati bahawa persekitaran di sekolah biasa tidak sesuai dengan anak mereka, dan anak mereka akan mendapat sokongan lebih baik di sekolah pendidikan khas, kata Encik Chan.

Di sekolah pendidikan khas, guru bekerjasama rapat dengan ibu bapa untuk bertukar-tukar maklumat tentang kemajuan anak mereka dan menyokong cara menerapkan kemahiran di rumah dan dalam masyarakat, tambahnya.

Setiap sekolah juga mempunyai pekerja sosial yang boleh membantu keluarga dengan keperluan emosi atau kewangan tambahan jika perlu, kata Encik Chan.

Untuk membantu pelajar dan keluarga beralih dari sekolah pendidikan khas kepada kehidupan selepas sekolah, MOE bekerjasama dengan sekolah pendidikan khas untuk melaksanakan proses "perancangan peralihan" bagi pelajar semasa di sekolah menengah, tambahnya.

SOKONG PENJAGA

Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli pula bercakap mengenai sokongan yang disediakan untuk penjaga individu berkeperluan khas atau kurang upaya di luar persekitaran sekolah.

SG Enable, yang ditubuhkan pada 2013, menyediakan khidmat sokongan bagi orang kurang upaya dan penjaga mereka, serta program pendidikan awam, katanya.

Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan SG Enable juga tambah Encik Masagos bekerjasama dengan agensi perkhidmatan sosial untuk meningkatkan kesedaran tentang perkhidmatan mereka.

Dalam pada itu, Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA) sedang membangunkan panduan untuk ibu bapa kanak-kanak di peringkat prasekolah yang memerlukan intervensi awal, tambahnya.

Panduan itu, yang dijangka siap menjelang April, akan merangkumi maklumat tentang keperluan pembangunan, cara mengakses perkhidmatan intervensi awal, dan strategi serta sumber penjagaan diri.

Penjaga yang rasa tertekan boleh menghubungi talian bantuan masing-masing untuk mendapatkan sokongan. Beliau berkata Kementerian Kesihatan dan Agensi bagi Penjagaan Bersepadu juga bekerjasama dengan agensi perkhidmatan sosial untuk menubuhkan pasukan mendampingi penjaga.

Sumber : CNA/SU/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan