Anda terima mesej mencurigakan di WhatsApp? Aplikasi bot ini boleh bantu periksa jika ia satu penipuan
Jika anda menerima kiriman mesej yang mencurigakan sama ada di WhatsApp, Telegram atau menerusi pesanan khidmat teks, tidak lama lagi anda boleh periksa sama ada ia satu helah skim penipuan atau tidak.
(Gambar: Unsplash)
SINGAPURA: Jika anda menerima kiriman mesej yang mencurigakan sama ada di WhatsApp, Telegram atau menerusi pesanan khidmat teks, tidak lama lagi anda boleh periksa sama ada ia satu helah skim penipuan atau tidak.
Anda hanya perlu menghantar petikan gambar mesej atau hantar salinan teks itu kepada bot WhatsApp iaitu satu produk baru yang dikendalikan oleh aplikasi anti penipuan pemerintah, ScamShield.
Bot itu diumumkan Menteri Bertanggungjawab bagi inisiatif Negara Bijak, Josephine Teo di parlimen semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan pada Jumaat (24 Feb). Ia dijangka dilancarkan pada lewat tahun ini.
Dalam jawapan kepada pertanyaan Mediacorp, seorang jurucakap bagi Produk Pemerintah Terbuka berkata Bot ScamShield mungkin meminta butiran lanjut seperti ID Penghantar mesej atau sumber mesej.
Ia kemudian memaklumkan kepada pengguna sama ada mesej itu mungkin satu penipuan, berdasarkan jumlah laporan pengguna bagi mesej serupa dan sama ada mesej tersebut sudah pun disemak dan disenarai hitam oleh Pasukan Polis Singapura (SPF) sebelum ini.
Ia juga boleh menerima aduan mesej tentang skim penipuan dalam bahasa lain, selain Bahasa Inggeris, namun hanya boleh menjawab mesej dalam Bahasa Inggeris.
Semua orang termasuk para pengguna aplikasi ScamShield boleh mengakses bot itu dengan menambah nombor rasmi Bot ScamShield menerusi pautan rasmi atau kod QR.
"Walaupun aplikasi dan bot itu boleh digunakan secara berasingan, kami menyarankan para pengguna supaya mempunyai kedua-duanya agar lebih mudah untuk melaporkan dan memeriksa sebarang mesej skim penipuan menerusi bot itu selain mempunyai perlindungan anti skim penipuan menerusi aplikasi tersebut," menurut jurucakap itu.
ScamShield yang dihasilkan Majlis Pencegahan Jenayah Kebangsaan dan Produk Terbuka Pemerintah, membantu untuk menyekat panggilan penipuan serta mengesan skim penipuan menerusi khidmat pesanan ringkas SMS menggunakan algoritma pada peranti.
Ia dilancarkan di iOS pada 2020 dan di Android pada 2022 dan mempunyai sekitar 500,000 pengguna.
Antara tahun 2022 hingga kini, aplikasi itu telah menyekat 200,000 panggilan skim penipuan dan mengesan lebih 3.5 juta mesej penipuan.
"Setiap laporan yang dibuat menerusi Bot atau aplikasi ScamShield meningkatkan ketepatan mengesan mesej penipuan sebagai sistem pertahanan anti penipuan keseluruhan dan bantu menghalang penipu daripada menghubungi lebih ramai mangsa," kata jurucakap itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.