Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Anda rancang bawa pulang beg mewah dari luar negara? Berikut ini 5 perkara yang perlu anda tahu

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Minggu lalu, seorang selebriti dan jurusolek dari Taiwan Xiao Kai, atau nama betulnya Chang Ching Kai memuat naik di media sosial untuk berkongsi kejadian yang tidak menyenangkan hati di Lapangan Terbang Changi Singapura.

Dalam satu video di Instagram, Xiao Kai berkata dia diminta membayar cukai bagi beg mewah terpakainya oleh pegawai Kastam Singapura ketika tiba di lapangan terbang.

Selebriti itu mendakwa dia diminta menunjukkan resit bagi beg Celinenya. Namun, dia tidak dapat berbuat demikian kerana beg itu dibeli di Taipei pada September lalu.

Xiao Kai menambah pegawai kastam memberitahunya beg tersebut dianggap baru kerana dibeli dalam tiga bulan lepas. Dia akhirnya membayar cukai sekitar NT$50,000 (S$2,205).

Pada Selasa (25 Okt), jurucakap dari Kastam Singapura memberitahu Mediacorp bahawa agensi itu sudah menghubungi Xiao Kai untuk mendapat lebih banyak butiran tentang kesnya.

Kastam Singapura menambah pegawai di pusat pemeriksaan akan "menilai setiap kes dengan teliti seperti keadaan barangan yang diisytiharkan untuk menentukan sama ada barangan itu akan dikenakan bayaran
Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Berikut adalah lima perkara yang perlu anda tahu jika bawa barangan mewah dari luar negara.

HARUSKAH SAYA BAYAR GST?

GST adalah cukai yang dikenakan pada barangan import dan semua bekalan barangan dan perkhidmatan di Singapura. Semua barangan yang dibawa masuk ke Singapura akan dikenakan GST 7 peratus.

Pengunjung yang tiba ke Singapura, termasuk penduduk yang pulang dari luar negara, harus membayar GST bagi pembelian berdasarkan keseluruhan nilai barangan yang melebihi lepasan GST yang diberikan.

GST bagi barang yang bernilai bawah S$100 tidak perlu dibayar bagi mereka yang keluar dari Singapura selama kurang 48 jam.

Bagi mereka yang berada di luar Singapura selama lebih 48 jam, mereka tidak perlu membayar GST bagi barang yang bernilai sehingga S$500.

Sebagai contoh, jika anda melancong ke luar Singapura selama seminggu dan membeli beg mewah bernilai S$10,000 untuk digunaan sendiri, beg anda akan dikenakan bayaran GST.

Anda dikehendaki membayar cukai 7 peratus bagi $9,500 (yakni S$10,000 tolak S$500 yang layak bagi pelepasan GST).

Anda boleh mengisytihar lebih awal dan membayar GST menggunakan aplikasi di laman Customs@SG. Anda juga boleh buat pengisytiharaan di pejabat bayaran cukai Kastam dan membayarnya di sana.

BAGAIMANA UNTUK DIKECUALIKAN BAYAR GST?

Anda dikecualikan daripada membayar GST jika nilai barangan anda lebih rendah daripada pelepasan GST.

Pemegang permit kerja, pas pekerjaan, pas pelajar, pas tanggungan atau pas jangka panjang yang dikeluarkan Pemerintah Singapura, serta pekerja syarikat penerbangan tidak layak mendapat pelepasan import GST.

HARUSKAH SAYA ISYTIHAR JIKA IA BARANG TERPAKAI ?

Bagi barangan peribadi yang sudah dipakai seperti pakaian, kasut, beg dan barang mandi, pelawat tidak perlu mengisytiharkan barang tersebut dan membayar GST, kata jurucakap Kastam pada Mediacorp.

Bagaimanapun, pegawai di pusat pemeriksaan akan memeriksa setiap kes termasuk keadaan barangan itu dan memutuskan jika barangan tersebut akan dikenakan GST.

APA AKAN TERJADI JIKA SAYA GAGAL ISYTIHAR BARANG YANG DIBAWA MASUK?

Pengimport boleh dikenakan denda jika mereka tidak mematuhi peraturan di bawah Akta Kastam dan Akta Peraturan Import dan Eksport (RIEA).

Ia adalah satu kesalahan jika seseorang tidak mengisytiharkan atau membuat pengisytiharan tidak benar atau tidak lengkap atas nilai barangan yang diimport atau dibuat di Singapura bagi tujuan penilaian cukai atau GST.

Jika disabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga S$10,000 atau jumlah GST yang sepatutnya dibayar, yang mana satu lebih tinggi. Pesalah juga boleh dipenjara sehingga 12 bulan, atau kedua-duanya.

JIKA SAYA BELI BEG MEWAH DI LAPANGAN TERBANG CHANGI SEBELUM BERTOLAK, ADAKAH SAYA DIKENAKAN GST APABILA PULANG?

Jika anda membeli barangan dari kedai bebas cukai di Lapangan Terbang Changi sebelum berlepas dari Singapura, anda akan dikenakan GST apabila pulang Singapura jika nilai barangan itu melebihi pelepasan GST yang ditetapkan.
Sumber : CNA/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan