Skip to main content

Singapura

Anda merancang ke seberang tambak sempena cuti hujung minggu panjang ini? ICA nasihat elak tempoh sibuk ini

Anggaran Waktu Membaca:
Anda merancang ke seberang tambak sempena cuti hujung minggu panjang ini? ICA nasihat elak tempoh sibuk ini

Kenderaan beratur panjang di Pusat Pemeriksaan Woodlands di Singapura pada awal 1 April 2022 sebelum merentasi Koswe untuk ke negeri Johor. (Gambar fail: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 27 Apr 2022 11:39PM Dikemas Kini : 28 Apr 2022 01:13PM

SINGAPURA: Pegawai pemeriksaan Penguasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan (ICA), Qaisarah Mohamed Hata pernah berdepan dengan seorang pelawat yang begitu marah semasa cuti hujung minggu panjang Good Friday sehinggakan mencampak pasportnya ke arah beliau.

Pelawat berkenaan harus beratur panjang dengan masa menunggu yang lama.

"Apabila tiba di kaunter pemeriksaan kastam, lelaki itu tidak mahu keluar dari kereta," kata SGT Qaisarah yang kaunternya terletak di sebelah tempat duduk penumpang.

Berkongsi pengalamannya itu dengan wartawan pada Rabu (27 Apr), SGT Qaisarah berkata: "Selepas dia sedar dia yang bersalah, dia keluar dari kereta dan mengutip pasportnya dari lantai."

Lelaki itu adalah antara 436,800 pelawat yang melalui pusat pemeriksaan darat semasa cuti hujung minggu panjang Good Friday. Ia merupakan cuti panjang pertama sejak pembukaan semula sempadan darat antara Singapura dengan Malaysia.

Dalam satu makluman pada Rabu (27 Apr), ICA menyatakan ia menjangkakan lebih ramai orang akan merentas sempadan pada cuti Hari Buruh (1 Mei) dan cuti Hari Raya Puasa (2 Mei).

"Pegawai ICA akan menyesuaikan zon kereta dan motosikal secara fleksibel, berdasarkan permintaan pada masa nyata untuk setiap jenis kenderaan," kata SUPT Sim Chun Yong, penolong komander kanan di Pusat Pemeriksaan Woodlands.

"Untuk elak terperangkap dalam kesesakan trafik, kami menasihatkan pelawat untuk jarakkan masa perjalanan dan elak tempoh sibuk."

ICA akan mengerahkan lebih ramai pegawai semasa tempoh sibuk, tambah beliau. Pegawai tersebut akan melakukan pemeriksaan keselamatan serta pengurusan trafik di pusat pemeriksaan darat Singapura.

Jika perlu, ICA juga akan membuka semua lorong pelepasan automatik dan lorong manual di dewan penumpang.

ICA menyatakan bahawa aliran trafik menghala ke Malaysia dijangka sesak antara Jumaat (29 Apr) dengan Sabtu (30 Apr). Trafik menghala masuk ke Singapura pula dijangka sesak antara Selasa (3 Mei) dengan Rabu (4 Mei).

ICA juga menasihakan pelawat agar elak daripada bertolak dari Singapura antara 1.00 tengah hari pada Jumaat dan 1.00 pagi serta 5.00 pagi dan 3.00 petang pada Sabtu.

Bagi mereka yang tiba dari Malaysia, ICA menasihatkan agar mengelakkan melakukannya dari 8.00 pagi pada Selasa hingga 1.00 pagi pada Rabu.

"Sebelum melakukan perjalanan, pemandu dinasihatkan supaya memeriksa keadaan trafik di pusat pemeriksaan darat melalui lelaman One Motoring ataupun melalui sistem EMAS yang dipasang di BKE dan AYE," menurut ICA.

"Pemandu juga boleh memeriksa Facebook dan Twitter ICA bagi maklumat terkini mengenai keadaan trafik di kedua-dua pusat pemeriksaan darat."

Semasa cuti panjang hujung minggu Hari Kebangsaan Singapura dan Hari Raya Haji pada 2019, ICA memaklumkan bahawa masa menunggu untuk pelawat yang merentas sempadan Singapura melalui pusat pemeriksaan darat mengambil masa sehingga empat jam. Mereka yang memandu masuk terpaksa menunggu sehingga satu jam pada tempoh yang sama.

Sebelum pandemik COVID-19, kira-kira 415,000 pelawat menggunakan pusat pemeriksaan darat dalam sehari dengan jumlah tersebut meningkat semasa tempoh perayaan.

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita