Anda merancang cuti ke luar negara? Pastikan anda bersedia bayar tiket pesawat lebih tinggi
(Gambar: CNA/Grace Yeoh)
SINGAPURA: Selepas dua setengah tahun sempadan ditutup dan perjalanan disekat, Mavis Tan tidak sabar untuk bercuti ke luar negara.
Menurut Cik Tan beberapa rakannya sudah pergi ke luar negara tahun lalu melalui Laluan Perjalanan Penumpang Sudah Divaksin (VTL) tetapi dia memilih untuk duduk di rumah kerana bimbang peraturan perjalanan dan ujian COVID-19 yang berubah-ubah.
Bulan lalu, dengan Singapura menarik balik keperluan bagi ujian sebelum berlepas dan semasa ketibaan, serta keperluan kuarantin untuk mereka yang sudah lengkap divaksin, Cik Tan yang berusia 34 tahun memutuskan masanya sudah tiba untuk dia melancong ke luar negara. Negara yang dipilihnya ialah Belanda, yang pernah dilawatinya pada 2019.
Namun, carian pantas online bagi tiket penerbangan mematahkan semangatnya.
Tiket penerbangan ulang alik kelas ekonomi ke Amsterdam melalui syarikat penerbangan Belanda KLM pada hujung Mei berharga S$2,200, jauh lebih mahal berbanding S$1,800 yang dibayarnya pada 2019.
Memikirkan harga tinggi itu disebabkan cuti sekolah tengah tahun, dia cuba pula bulan Julai tetapi tambang penerbangan ternyata lebih tinggi iaitu hampir S$2,500.
Pilihan lain ialah tiket penerbangan langsung Singapore Airlines (SIA).
"Tiket SIA lebih mahal, lebih S$3,000," kata Cik Tan. "Meskipun saya benar-benar ingin bercuti tetapi saya tidak pasti saya mahu membayar sebanyak itu."
Bagi yang mencari destinasi berhampiran, tambang penerbangan juga sudah meningkat.
Cik Rebecca Low membayar S$420 bagi penerbangan ulang alik ke Bali pada akhir April melalui SIA. Tiket penerbangannya itu adalah yang paling murah untuk tarikh perjalanannya. Waktu penerbangan lain berharga lebih S$150 hingga S$200 lebih tinggi , katanya.
Cik Low, 30 tahun bakal berangkat Bangkok bulan ini. Tiket penerbangan bagi kelas ekonomi dua hala berharga S$380.
Menurutnya tiket penerbangan bagi kedua-dua perjalanan itu "tinggi sedikit" daripada apa yang biasa dibayarnya semasa sebelum pandemik COVID-19.
"Kita semua tahu harga minyak naik dan pastinya ada kesan pada tambang penerbangan. Tetapi memandangkan kenaikan harga hanya beberapa puluh dolar, ia bukan masalah bagi saya dan rakan-rakan."
Dengan sekatan sempadan di Singapura dan rantau ini dilonggarkan, industri pelancongan mula menyaksikan pemulihan dengan tambang penerbangan melambung tinggi melebihi paras sebelum pandemik.
Platform perjalanan, Expedia, menyatakan data menunjukkan harga tiket penerbangan "secara amnya lebih tinggi" berbanding sebelum pandemik, dengan harga purata bagi lima destinasi popular pilihan rakyat Singapura meningkat 20 peratus daripada 2019.
Destinasi-destinasi ini ialah Bangkok, Bali, Kuala Lumpur, Phuket dan Seoul, kata ketua perhubungan awam Asia Expedia, Lavinia Rajaram.
Begitu juga aplikasi gaya hidup Traveloka.
"Tiga destinasi utama kami, Indonesia, Thailand dan Vietnam, menyaksikan peningkatan dalam tempahan walaupun purata kenaikan harga tiket sebanyak 20 peratus,” kata presidennya, Caesar Indra.
SEBAB TIKET PENERBANGAN SEMAKIN MAHAL
Menyusuli pembukaan semula sempadan yang dinanti-nantikan, permintaan bagi penerbangan melonjak lantas menyebabkan harga tiket turut meningkat.
"Sejak awal tahun ini, dengan setiap sekatan perjalanan dilonggarkan, kami mendapati pengguna menempah perjalanan dengan segera," kata Encik Indra.
Dengan syarikat penerbangan tidak lagi "terdesak", ia tidak perlu menawarkan lagi tambang yang sangat rendah seperti yang dilakukan semasa pandemik ketika sekatan perjalanan dilaksanakan, kata Penolong Profesor Terence Fan, seorang pakar pengangkutan dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU).
Dengan jumlah tempat duduk kosong berkurangan, syarikat penerbangan juga "meletakkan harga bagi baki tempat duduk pada harga yang lebih tinggi", tambahnya.
"Orang ramai dengan cepat menempah tambang yang lebih rendah sebaik sahaja mereka melihatnya dan syarikat penerbangan tidak berminat untuk menawarkan lebih banyak tempat duduk pada harga yang rendah, kerana ia melihat orang ramai akan kembali. Tidak guna memberi diskaun lagi."
ADAKAH HARGA TERUS NAIK?
Pengamat industri menjangkakan tambang pesawat akan menjadi sederhana apabila permintaan semakin reda.
"Kebanyakan kenaikan permintaan baru-baru ini datang daripada orang yang ingin bersatu semula dengan keluarga dan rakan-rakan mereka. Ini akan berkurangan dari semasa ke semasa, yang berpotensi menyebabkan harga menjadi sederhana,” kata Profesor Fan.
Harga juga akan turun apabila syarikat penerbangan mula menambah lebih banyak kapasiti.
Bahkan, harga tambang penerbangan ke bahagian lain di Asia sudah turun hampir 30 peratus sejak dua suku lalu, sedang syarikat penerbangan tambang rendah di rantau ini mula meningkatkan operasi, kata Lavinia Rajaram.
Harga purata tiket penerbangan ke destinasi popular, seperti Bangkok dan Kuala Lumpur, sudah stabil dan kini "sama" seperti sebelum pandemik, tambahnya.
Namun keadaan ini akan mengambil masa kerana syarikat penerbangan kekal berhati-hati terhadap kemungkinan masa hadapan. Ini bermakna tambang yang lebih tinggi mungkin akan bertahan untuk satu tempoh masa lebih panjang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.