Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Anda kurang pasti kedai mana terima baucar CDC S$100?

Isi rumah rakyat Singapura yang ingin menggunakan baucar CDC mereka yang bernilai S$100 kini boleh melungsuri laman baru CDC Vouchers Merchants Go Where untuk mendapatkan senarai kedai yang menerima baucar tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Isi rumah rakyat Singapura yang ingin menggunakan baucar CDC mereka yang bernilai S$100 kini boleh melungsuri laman baru CDC Vouchers Merchants Go Where untuk mendapatkan senarai kedai yang menerima baucar tersebut.

Dengan mengisi kod postal atau nama jalan, penduduk boleh mendapatkan senarai penjaja dan kedai di kejiranan berhampiran mereka yang menerima baucar tersebut.

Laman CDC Vouchers Merchants Go Where itu dibangunkan dengan kerjasama Agensi Teknologi Pemerintah (GovTech). Ia bagi memudahkan setiap isi rumah untuk menggunakan baucar mereka, menurut Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) dan Persatuan Rakyat (PA) dalam satu kenyataan bersama pada Khamis (23 Dis).

Laman itu akan dikemas kini dari masa ke masa, menurut kenyataan media itu.

Penjaja dan kedai-kedai kejiranan yang menyertai skim itu juga dipamerkan menerusi pelekat dan sepanduk di mana terletaknya kelompok perniagaan yang menyertai skim tersebut, serta di media sosial.

Skim tersebut menawarkan baucar digital CDC bernilai S$130 juta kepada semua isi rumah rakyat Singapura. Ia dilancarkan pada 13 Disember untuk "mengucapkan terima kasih kepada rakyat Singapura atas semangat perpaduan mereka semasa pandemik". Inisiatif itu juga sebagai menyokong penjaja dan kedai-kedai kejiranan, menurut kenyataan media tersebut.

"Sambutan terhadap skim itu amat menggalakkan", kata Pengerusi Jawatankuasa Datuk Bandar Low Yen Ling.

Lebih 830,000 atau dua pertiga isi rumah warga Singapura sudah menebus baucar tersebut dalam masa 10 hari pertama sejak ia dilancarkan dan baucar bernilai lebih S$7 juta sudah dibelanjakan, katanya.

Cik Low menambah bahawa lebih 11,000 cawangan menyertai skim baucar CDC itu setakat ini dan jumlahnya semakin bertambah.

Lebih 82 peratus perniagaan itu sudah menerima sekurang-kurangnya satu urus niaga menggunakan baucar CDC.

"Mari kita terus beri sokongan kepada perniagaan kejiranan menerusi baucar CDC dan menghargai peranan penting yang dimainkan oleh mereka dalam estet perumahan kita dan budaya Singapura," kata Cik Low yang juga merupakan Menteri Negara Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Perdagangan dan Perusahaan.

Penduduk boleh menebus dan menggunakan baucar digital CDC mereka sehingga 31 Disember 2022.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan