Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Anda kini boleh beli lauk Siput Sedut, Sambal Sotong di mesin layan diri...

Tahukah anda, anda kini boleh membeli lauk-pauk Melayu seperti Siput Sedut dari ‘vending machine’ atau mesin-mesin layan diri? Ya, siput sedut. Lauk yang sukar dicari dan tidak banyak kedai makan menjualnya. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Tahukah anda, anda kini boleh membeli lauk-pauk Melayu seperti Siput Sedut dari ‘vending machine’ atau mesin-mesin layan diri? Ya, siput sedut. Lauk yang sukar dicari dan tidak banyak kedai makan menjualnya.

Selain itu, lauk-pauk seperti Sambal Sotong dan Ayam Masak Merah juga sudah mula dijual di mesin-mesin layan diri.

Inilah inisiatif yang diusahakan syarikat perniagaan Boon Lay Power Nasi Lemak sebagai sebahagian daripada rancangan meluaskan perniagaannya di Singapura dan di luar negara.

Meskipun cukup terkenal dengan hidangan nasi lemaknya - yang kini juga dijual di mesin-mesin layan diri itu - syarikat yang mempunyai empat cawangan di Singapura itu jelas mahu mengembangkan jenamanya menjual lauk-pauk Melayu kepada orang ramai menerusi kaedah mesin layan diri tersebut.

(Gambar: BERITAmediacorp)

Baru dilancarkan November tahun lalu, mesin-mesin layan diri Boon Lay Power Nasi Lemak kini terletak di tiga lokasi - HeartBeat@Bedok, International Plaza dan Kampus Mediacorp.

Setiap hidangan di mesin layan diri Boon Lay Power Nasi Lemak dijual dengan harga antara S$5.50 hingga $7.90.

20 MESIN JELANG BULAN JUN

Berkongsi matlamat seterusnya, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Boon Lay Power Nasi Lemak, Encik Badrol Hisam Ramli berkata sehingga 20 mesin layan diri Boon Lay Power Nasi Lemak itu akan wujud di serata Singapura menjelang Jun ini.

Ia sudahpun mendapat permintaan dari pihak-pihak seperti syarikat Rolls Royce, Akademi Home Team dan Singapore Yacht Club.

Encik Badrol menambah: "Sebenarnya hidangan Melayu tak ramai orang dapat menikmati seperti Siput Sedut, Ayam Masak Merah, Daging Rendang di mesin layan diri. Terutama sekali Singapura adalah hab perniagaan, jadi ramai pendatang dan golongan karyawan datang. Mungkin mereka tidak pergi ke pusat penjaja makanan, tapi di mesin layan diri, mereka nampak dan akan cuba dan merasa makanan Melayu.

(Gambar: BERITAmediacorp)

"Dari situ mungkin kalau sesuai dengan cita rasa mereka mereka akan syorkan buka di negara masing-masing."

SUATU PELABURAN AWAL S$80,000

Strategi pengembangan perniagaan Boon Lay Power Nasi Lemak jelas berbeza. Sedang syarikat nasi lemak seperti Crave selesa mengembangkan perniagaan dengan membuka puluhan cawangan di serata negara, syarikat Encik Badrol pula mahu berkembang menerusi mesin.

Lantaran itulah, dengan kerjasama rakan-rakan syarikat lain, Boon Lay Power Nasi Lemak melaburkan sekitar S$80,000 bagi Kajian dan Pengembangan (R&D), mesin-mesin pengeluaran baru, bahan bungkusan dan mesin-mesin layan diri tersebut.

Encik Badrol Hisam berkongsi beberapa manfaat menggunakan mesin layan diri untuk menjual produk-produk makanannya: "Satu daripadanya adalah pembayaran tanpa tunai, di mana kita tak payah bimbang pasal pembayaran atau duit hilang mahupun kekurangan kakitangan.

(Gambar: BERITAmediacorp)

"Kita juga memantau makanan di dalam mesin layan diri, sama ada jumlahnya cukup atau tidak melalui sistem 'cloud' kami, jadi mengendalinya tak berapa rumit. Semuanya dihantar mengikut jadual."

IDEA TERCETUS 5 TAHUN LALU

Idea mahu menjual Nasi Lemak dan hidangan Melayu lain melalui mesin layan diri sebenarnya tercetus lima tahun lalu, menurut Encik Badrol.

Namun R&D bagi inisiatif itu hanya dijalankan sekitar dua tahun lalu, dengan kerjasama syarikat penasihat perniagaan global, Vibes Mastery.

Disediakan daripada dapur pusat di Hab Makanan Jurong, Boon Lay Power Nasi Lemak membungkus makanan-makanan tersebut dua hingga tiga kali seminggu. Ia kemudian akan dibekukan sebelum dihantar ke mesin-mesin layan diri tersebut.

(Gambar: BERITAmediacorp)

Vibes Mastery turut membantu mengendalikan operasi dan penyeliaan mesin-mesin bagi Boon Lay Power Nasi Lemak itu, di bawah naungan mesin layan diri One Halal Nation.

“Menjadi... syarikat pertama Power Nasi Lemak yang menyediakan Siput Sedut, Rendang, Ayam Masak Merah, Nasi Lemak Ikan, Nasi Lemak Ayam, Sambal Sotong, Sambal Udang, adalah sesuatu yang menarik dan ia berteraskan teknologi. Bererti kita mengikut perkembangan teknologi dan mesin ini semua 24 jam, bila-bila masa orang boleh datang.

"Kami ingin membantu syarikat –syarikat Melayu Islam untuk memperkasakan jenama mereka tapi dengan proses yang mengikut piawai atau mengikut kesesuaian daripada pihak pemerintah atau badan-badan agensi tajaan,” kata pegawai penasihat dari Vibes Mastery, Cik Amanda A Atan.

PERMINTAAN DI UAE DAN AUSTRALIA

Encik Badrol berkata pihak mereka kini sudahpun mendapat ‘lamaran' daripada orang-orang Melayu yang berada di Dubai, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan di Perth, Australia.

"Kita boleh bekukan makanan daripada Singapura, buat penghantaran ke Dubai, gunakan wadah yang sama menggunakan mesin layan diri sebagai saluran pengedaran.

"Bererti orang nak beli senang dan tidak perlulah kakitangan untuk jaga gerai," cadang Cik Amanda.

Meskipun rancangan membawa mesin layan diri Boon Lay Power Nasi Lemak ke luar negara masih dalam perbincangan, syarikat tersebut jelas sudahpun mencapai tahap baru dalam dunia penjaja.

Bermula sebagai penjaja biasa, ia kini menganjak setapak dengan mendakapi teknologi dan menjual hidangannya di mesin layan diri.

Yang pasti, dengan keberanian dan kecekalan, penjenamaan makanan Melayu bukan sahaja boleh diperluas, malah mungkin lebih hadir di persada antarabangsa.

“Kalau boleh, kalau satu dunia nak mesin layan diri nasi lemak, mengapa tidak, saya akan cuba,” ujar Encik Badrol. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan