Anda bercadang melancong cuti Jun ini? Ini cara untuk pastikan rumah anda tidak jadi tempat biak nyamuk
Gambar: CNA/Jeremy Long
SINGAPURA:Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menggariskan langkah-langkah yang boleh diambil oleh mereka yang merancang untuk bercuti ke luar negara pada cuti Jun ini untuk memastikan rumah mereka tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk, sekali gus membantu menghentikan penyebaran denggi.
Langkah-langkah yang dikongsi dalam laman web NEA itu menekankan lagi peranan individu dan pemilik rumah untuk mengambil "tindakan segera" dalam melawan denggi.
Sebanyak 1,461 kes denggi dilaporkan antara 29 Mei dengan 4 Jun, 108 kes lebih rendah daripada minggu sebelumnya, menurut jumlah terbaru di laman web NEA pada Selasa (7 Jun).
Jun merupakan permulaan musim puncak denggi, dan jumlah kes mingguan mungkin melebihi 2,000 pada bulan ini, melepasi angka mingguan tertinggi iaitu 1,787 kes yang dilaporkan pada 2020, menurut agensi itu.
Setakat 4 Jun, lebih 13,000 kes denggi dilaporkan tahun ini - naik lebih seganda daripada 5,258 kes yang dicatatkan sepanjang tahun lalu.
Rekod yang dicatatkan ialah 35,315 kes pada 2020.
Pada minggu lalu, NEA memberi amaran bahawa Singapura sedang berada dalam "situati denggi yang serius", dengan jumlah kes mingguan meningkat secara mendadak.
Sebahagian besar tempat pembiakan nyamuk dikesan dalam kawasan kediaman, dengan sebahagian lebih kecil di kawasan awam, diikuti dengan tapak binaan.
Setakat 6 Jun, terdapat 408 kelompok denggi yang aktif, dengan 122 kawasan dianggap berisiko tinggi dengan 10 kes atau lebih.
Virus denggi serotaip 3 (DENV-3) dikesan di kebanyakan kelompok amaran warna merah.
Jumlah nyamuk Aedes aegypti yang banyak, bersama dengan virus DENV-3, akan menyebabkan peningkatan kes denggi dalam beberapa bulan akan datang, menurut NEA.
APA YANG BOLEH ANDA BUAT
Bagi mereka yang merancang bercuti semasa cuti sekolah Jun ini, mereka harus menjalankan langkah-langkah pencegahan sebelum melakukan perjalanan, tambah NEA.
Mereka juga harus meminta saudara-mara atau kawan rapat untuk memeriksa rumah mereka dengan kerap untuk mengesan sebarang air bertakung sekiranya mereka akan keluar negara untuk jangka masa yang lama.
Senarai pencegahan pembiakan nyamuk:
1. Tutup semua mangkuk tandas di rumah
2. Tutup paip tangki
3. Tutup semua tempat perangkap
4. Letak racun serangga di kawasan di mana air yang bertakung tidak boleh dibuang dengan mudah
5. Bersihkan kawasan tersumbat dan bubuh racun serangga BTI di alur bumbung
6. Terbalikkan semua bekas simpanan air dan pastikan ia kering
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.