Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Anda batalkan tempahan Grab? Anda mungkin dikenakan bayaran S$4 mulai 11 Mac

Mulai Isnin (11 Mac), para pengguna khidmat kereta sewa privet Grab akan dikenakan bayaran S$4 jika mereka membatalkan tempahan selepas lebih lima minit mendapat khidmat itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Anda batalkan tempahan Grab? Anda mungkin dikenakan bayaran S$4 mulai 11 Mac

Gambar fail syarikat Grab. (Gambar: Edgar Su/Reuters)

Diterbitkan : 03 Mar 2019 10:20PM Dikemas Kini : 03 Mar 2019 10:23PM

SINGAPURA: Mulai Isnin (11 Mac), para pengguna khidmat kereta sewa privet Grab akan dikenakan bayaran S$4 jika mereka membatalkan tempahan selepas lebih lima minit mendapat khidmat itu.

Bagi khidmat GrabShare pula, para penumpang akan dikenakan bayaran S$4 jika mereka membatalkan tempahan lebih tiga minit setelah mendapatkan khidmat tersebut.

Buat masa ini, para pengguna dikenakan bayaran S$5 jika mereka membatalkan tempahan sebanyak tiga kali dalam tempoh tujuh hari, tanpa mengira bilakah pembatalan itu dilakukan.

Di bawah garis panduan yang dikemas kini, para pengguna tidak akan dikenakan bayaran jika membatalkan tempahan dalam tempoh lima minit. Bagi para penumpang GrabShare pula, pembatalan harus perlu dibuat dalam tempoh tiga minit sebelum dikenakan denda itu.

Pembatalan juga dapat dilakukan secara percuma jika khidmat kereta sewa privet Grab itu tiba lebih lima limit selepas masa tiba yang dijangkakan.

Grab menyatakan kemas kini pada dasar pembatalannya memberikan para penumpang kelonggaran untuk membatalkan tempahan yang dibuat, sementara memastikan para pemandu juga diberi pampasan secara adil bagi masa dan usaha mereka.

Para pemandu akan menerima 100 peratus bayaran itu sebagai pampasan.

Para penumpang yang mengambil terlalu lama sebelum tiba di lokasi juga akan dikenakan bayaran $4. Para pemandu dibenarkan untuk membatalkan tempahan itu setelah menunggu selama lebih lima minit, ataupun tiga minit bagi khidmat GrabShare.

"Jika pemandu anda memutuskan untuk menunggukan anda menjangkaui tempoh tersebut, bayaran bagi waktu menunggu tambahan akan dikenakan," menurut Grab.

Syarikat itu menambah bahawa para penumpang tidak akan didenda sebanyak dua kali bagi tempahan yang sama.

Bayaran itu akan dipotong secara langsung daripada GrabPay ataupun kad kredit/debit para penumpang. Bagi mereka yang memilih untuk membayar menggunakan wang tunai, bayaran itu akan secara automatik ditambahkan pada tambang tempahan seterusnya.

LANGKAH-LANGKAH PELINDUNGAN DIKUATKUASAKAN

Memberi respons kepada pertanyaan Mediacorp, Grab menyatakan bahawa ia sudahpun menguatkuasakan teknologi bagi memastikan para penumpang dan pemandunya dilindungi.

"Para penumpang tidak akan dikenakan bayaran pembatalan selepas lima minit jika data lokasi para pemandu menunjukkan bahawa mereka masih lagi jauh daripada lokasi penumpang, meskipun ia menunjukkan bahawa pemandu sudahpun tiba," menurut syarikat tersebut.

Para penumpang yang berpendapat mereka dikenakan bayaran secara salah ataupun tidak adil digalak membuat aduan kepada Grab melalui pusat bantuan yang disediakan dalam aplikasi khidmat tersebut. 

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan