Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ancaman terhadap S'pura akan berkembang, penduduk perlu terus punyai 'semangat juang': Edwin Tong

Ancaman terhadap Singapura "akan terus berkembang" dan rakyat Singapura "harus mempunyai semangat perjuangan untuk terus bertahan meskipun di tengah-tengah masa sukar", kata Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong hari ini (15 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Ancaman terhadap Singapura "akan terus berkembang" dan rakyat Singapura "harus mempunyai semangat perjuangan untuk terus bertahan meskipun di tengah-tengah masa sukar", kata Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong hari ini (15 Feb).

"Dengan lebih banyak pendigitalan, kita perlu mengatasi kempen-kempen menyebarkan maklumat palsu, serangan siber dan tentu sekali, baru-baru ini yang menjadi tajuk utama berita, skim penipuan," kata Encik Tong yang berucap di sebuah acara di Pentas Terapung @ Marina Bay bagi meraikan Hari Pertahanan Mutlak.

"Kita harus berwaspada tentang bagaimana operasi ini boleh menimbulkan rasa tidak percaya dan menghakis hubungan yang terjalin dalam masyarakat kita dalam kalangan rakyat Singapura, antara satu sama lain dan juga bersama institusi-institusi kita di Singapura.

"Pertahanan sosial kita justeru bergantung kepada diri kita untuk kekal bersatu, sedang kita memperkukuh kepercayaan antara satu sama lain.

"Kita harus terus mempunyai semangat perjuangan untuk berpegang teguh di tengah-tengah masa sukar, dengan berdaya bingkas dan bersatu untuk menangani krisis."

Pertahanan Mutlak "adalah lebih daripada setakat melindungi negara kita daripada konflik pertahanan", dan ia juga tentang para penduduk yang bersatu demi menyumbang kepada kebaikan bersama, mengharungi cabaran dan menyedari bahawa "kuasa tentera dan senjata canggih" bukanlah satu-satunya ancaman terhadap Singapura, katanya.

Encik Tong menarik perhatian bahawa ancaman-ancaman yang dihadapi oleh Singapura sebelum ini datang dalam pelbagai bentuk, dari Krisis Kewangan Asia pada 1997 kepada serangan keganasan pada 11 September 2001. Terdapat juga pandemik SARS pada 2003 dan pandemik COVID-19 yang masih berlaku.

"Sekalipun demikian, semangat perpaduan dan kekuatan di sebalik Pertahanan Mutlak sudah menjadi, dan akan terus menjadi, kunci dalam perjuangan kita mengatasi cabaran dan kita terus maju sebagai sebuah negara," kata Encik Tong.

Misalnya, COVID-19 menyaksikan orang ramai berganding bahu untuk melindungi dan menjaga satu sama lain, "mengutamakan keperluan golongan mudah terjejas, warga emas dan golongan lemah sebelum diri sendiri," katanya.

Sementara tempoh "pemutus rantaian jangkitan" dan Kewaspadaan Dipertingkat menguji daya ketahanan mental, para penduduk tetap memberi sokongan antara satu sama lain.

"Kita mengukuhkan semula pertahanan psikologi dengan mengambil bahagian dalam pelbagai kegiatan untuk melambangkan perpaduan kita, seperti menyanyi lagu Hari Kebangsaan bersama-sama dan memberi dorongan kepada para petugas barisan hadapan menerusi kata-kata semangat dan sokongan," kata Encik Tong.

"Saya tahu ia satu perjuangan yang p;anjang, namun selagi kita terus mengambil berat tentang individu di sekeliling kita, kita akan bangkit lebih kukuh bersama. Saya yakin, bahawa bersama, kita dapat mengatasi COVID-19."

Beliau juga menarik perhatian bahawa Singapura berada di bawah penjajahan Jepun 80 tahun lalu pada hari ini semasa Perang Dunia Kedua.

"Apa yang menyusul adalah penderitaan selama tiga tahun dan tujuh bulan. Walaupun berdepan segala rintangan, keazaman dan keberanian memberi dorong kepada generasi perintis untuk meneruskan kehidupan semasa Penjajahan Jepun," katanya.

Bercakap kepada anggota kerahan dari Pusat Latihan Asas Tentera yang menerima senapang SAR21, beliau menggesa mereka supaya "bekerja keras" dan "terus berazam".

FORT SILOSO DIWARTAKAN SEBAGAI MONUMEN NEGARA

Encik Tong juga berkata Fort Siloso akan diwartakan sebagai sebuah monumen negara.

"Dibina untuk mempertahankan Singapura daripada serangan dari bahagian laut di selatan, ia bagaimanapun tidak mencukupi untuk menghalang penjajahan daripada bahagian utara. Ia adalah peringatan bahawa lebih banyak harus dilakukan untuk mempertahankan Singapura daripada serangan dari semua arah," kata Encik Tong.

"Ia juga satu peringatan bahawa harus ada pertahanan daripada segala jenis ancaman dan sebab itu kita mempunyai Pertahanan Mutlak."

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan