Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ancaman serangan 9/11 terhadap S'pura dibuat penyokong pendakwah Indonesia: Shanmugam

Para penyokong pendakwah yang dilarang masuk Singapura mengancam untuk melancarkan serangan serupa 9/11, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 23 May 2022 07:07PM Dikemas Kini : 23 May 2022 10:25PM

SINGAPURA: Para penyokong pendakwah yang dilarang masuk Singapura mengancam untuk melancarkan serangan serupa 9/11, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam pada Isnin (23 Mei).

Pendakwah Indonesia Abdul Somad Batubara dan enam lagi orang yang datang bersamanya tiba di Terminal Feri Tanah Merah pada 16 Mei dilarang masuk dan dihantar pulang semula ke Batam.

Kementerian Ehwal Dalam Negeri Singapura (MHA) pada keesokan harinya menyatakan bahawa Somad dikenali dengan ajarannya yang bersifat "pelampau dan pengasingan", yang "tidak boleh diterima dalam masyarakat Singapura yang berbilang kaum dan agama."

(Petikan dari Instagram)

Bercakap kepada pihak media pada Isnin (23 Mei), Encik Shanmugam memberi contoh ancaman yang dimuat naik di Instagram yang menyifatkan Singapura sebagai "negara Islamofobik" dan berkata para pemimpinnya mempunyai 48 jam untuk meminta maaf kepada masyarakat Muslim dan penduduk Indonesia.

Pengguna Instagram itu juga mengancam untuk mengusir Duta Besar Singapura ke Indonesia dan menghantar para penyokong termasuk kumpulan tegar Front Pembela Islam untuk menyerang Singapura "seperti serangan 9/11 di New York pada 2001" jika tuntutan mereka tidak diendahkan.

Instagram sudah memadamkan pos tersebut dan akaun berkenaan digantung kerana melanggar standard masyarakat.

Menjawab pertanyaan pihak media sama ada rakyat Singapura perlu bimbang, Encik Shanmugam berkata ugutan sedemikian tidak boleh dipandang ringan.

"Persamaan dibuat dengan serangan 9/11, bahawa rakyat Singapura mempunyai pemimpin bukan Islam dan rakyat Singapura patut diserang, kepentingan mereka patut diserang. Jadi saya tidak akan memandang ringan komen-komen itu," kata beliau.

Menyusuli keputusan untuk melarang Somad masuk ke Singapura, para penunjuk perasaan berkumpul di kedutaan Singapura di Jakarta dan Konsulat-Jeneral Singapura di Medan pada Jumaat (20 Mei).

Para penunjuk perasaan di Jakarta, yang terdiri daripada anggota Pertahanan Ideologi Sarekat Islam (Perisai), menuntut agar Kedutaan Singapura supaya menjelaskan kejadian itu dan meminta maaf secara terbuka.

Kumpulan itu juga mahu Duta Besar Singapura ke Indonesia meninggalkan negara itu.

Di Medan, para penunjuk perasaan berkumpul di sebuah masjid dan berarak ke arah Konsulat-Jeneral Singapura, menuntut Singapura dipertanggungjawabkan atas "pengusiran" Somad.

Encik Shanmugam berkata larangan masuk Somad ke Singapura telah memberi publisiti kepada pendakwah Indonesia itu yang mempunyai jumlah pengikut dalam talian yang ramai.

"Dia menggunakan publisiti itu secara maksimum dan dia kini, pada pandangan saya, terlibat dalam banyak lagi aksi publisiti," kata Encik Shanmugam.


(Gambar: @ustadzabdulsomad/Instagram)

Minggu lalu, Somad berkata bahawa beliau tidak akan berputus asa untuk cuba melawat Singapura sambil menyifatkan Singapura sebagai tanah Melayu, serupa Riau di mana beliau berasal. Dalam satu video di YouTube, beliau berkata orang Riau melihat Singapura sebagai sebahagian tanah mereka kerana Singapura di bawah pemerintahan Temasek selepas pemerintah Melayu Temasek berpindah ke Melaka.

"Kami bukan negara yang berasingan daripada perspektif beliau dan ramai penyokongnya, kebanyakannya di Indonesia, sudah pun diapi-apikan," kata Encik Shanmugam.

"Mereka berkata Singapura, saya petik apa yang mereka katakan, tidak menghormati orang Islam dan para ulama Islam," kata beliau.

"Mereka membanjiri halaman media sosial agensi pemerintah Singapura, termasuk penjawat politik, termasuk saya, dengan ancaman-ancaman.

"Para penyokongnya menggesa dilakukan serangan siber ke atas Singapura di laman web pemerintah, akaun media sosial, memboikot produk-produk Singapura - semuanya kerana kami menggunakan hak kami untuk melarang seseorang daripada memasuki Singapura."

TIDAK ADA TOLERANSI TERHADAP SEBARANG UCAPAN BERBENTUK KEBENCIAN

Encik Shanmugam menarik perhatian bahawa Singapura mengambil pendekatan "toleransi sifar" dan pendekatan "saksama" terhadap sebarang bentuk ucapan kebencian dan ideologi yang memecahbelahkan.

“Ia tidak ditujukan kepada individu, agama atau warganegara tertentu. Kedudukan kami serupa untuk semua.”

Beliau memberi contoh pendakwah asing termasuk pendakwah Amerika Lou Engle dan dua lagi pendakwah Kristian asing yang dilarang berdakwah di Singapura kerana mereka telah membuat komen-komen yang menghina agama lain termasuk Islam dan Buddha.


Awal bulan ini, Singapura mengumumkan bahawa ia sudahpun mengharamkan filem mengenai penghijrahan penganut Hindu dari wilayah Kashmir yang dipertikaikan yang majoritinya Islam kerana memberi gambaran provokatif terhadap umat Islam.

"Ramai orang di India mengkritik kami kerana mengharamkan filem itu, tetapi saya tidak akan memohon maaf atas pendekatan kami," kata Encik Shanmugam.

"Kami tidak akan memberi orang seperti Somad peluang untuk menarik pengikut tempatan, atau melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang mengancam keselamatan dan keharmonian masyarakat kami.”

RESPONS PEMERINTAH INDONESIA "SANGAT WAJAR"

Mengulas tentang respons pemerintah Indonesia menyusuli tindakan Singapura untuk melarang kemasukan Somad, Encik Shanmugam berkata ia "sangat wajar".

"(Pemerintah Indonesia) menerima bahawa Singapura yang menentukan siapa yang boleh masuk ke Singapura, sebagaimana hak Indonesia menentukan siapa yang boleh masuk ke negara itu," katanya.

"Ia adalah hak setiap negara untuk memutuskan siapa boleh memasuki negara itu - aspek asas kedaulatan. Anda tidak boleh melarang dan mengugut," tambah beliau. "Jadi tindakan pemerintah Indonesia berhubung hal ini "sangat, sangat tepat."

Beliau berkata bahawa majoriti rakyat Indonesia tahu apa Somad dan penyokongnya "sedang lakukan".

"Saya bersyukur kerana ramai pegawai Indonesa dan Singapura termasuk para pengulas yang menolak dakwaan tersebut dan telah mempertahankan Singapura. Mereka tahu tuduhan terhadap Singapura adalah palsu,” katanya.

Menyusuli insiden itu, agensi anti-pengganas Indonesia memberitahu Mediacorp bahawa keputusan Singapura untuk menafikan kemasukan ke Somad adalah pengajaran penting bagi Indonesia untuk mengambil langkah berjaga-jaga dalam melarang pandangan radikal.

Mediacorp difahamkan bahawa pemerintah Indonesia sudahpun mengesahkan hak kedaulatan Singapura untuk memutuskan siapa yang akan dibenarkan masuk, dan Duta Besar negara itu ke Singapura Suryopratomo berkata pada 19 Mei bahawa pemerintah Indonesia "tidak boleh campur tangan" berhubung keputusan Singapura.

Beliau turut menyeru rakyat Indonesia agar memahami bahawa dalam hubungan antarabangsa, hak untuk memasuki sesebuah negara ditentukan oleh negara penerima. Oleh itu, "tiada asas untuk meminta Singapura memohon maaf".

Sumber : CNA/NJ/im

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa