Skip to main content

Singapura

Ancaman radikalisasi dan pengganasan terus wujud di SG, kata Ustaz Dr Mohamed Ali

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Penahanan terbaru di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menunjukkan bahawa ancaman radikalisasi dan pengganasan masih terus wujud di Singapura.

Pengerusi Bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Ustaz Dr Mohamed Ali, dalam reaksinya terhadap penahanan terbaru itu berkata, “Penahanan ini menunjukkan bahawa kita perlu lebih serius menangani ancaman ini, terutamanya untuk memastikan masyarakat kita tidak terpecah belah.”

Ustaz Dr Mohamed menjelaskan bahawa pengganasan berlaku disebabkan oleh pelbagai faktor.
Related article image
Ustaz Dr Mohamed Bin Ali, Pengerusi-Bersama, Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG).
“Trend radikalisasi yang semakin berkembang pada hari ini wujud ataupun timbul daripada fahaman dan orientasi yang menggugat keharmonian dan kestabilan negara,” katanya.

Beliau menambah bahawa bukan hanya fahaman radikal yang menjadi masalah, tetapi beberapa trend lain juga perlu diberi perhatian.

“Saya kira ada beberapa trend lain yang juga harus kita berikan keprihatinan iaitu ideologi kebencian, perkauman dan ideologi fahaman sayap kanan. Kesemua orientasi ini harus dipandang berat oleh masyarakat kita,” tegas beliau.
Mengulas tindakan anak muda yang terpengaruh dengan ideologi kebencian, seperti yang berlaku dalam kes terbaru, Ustaz Dr Mohamed berkata, “Apa yang jelas dalam tindakan anak muda tersebut adalah beliau mempunyai ideologi kebencian ataupun yang berbentuk ucapan ataupun tindakan yang berunsur kebencian. Dan ini adalah ancaman yang ada potensi untuk menggugat keselamatan dan juga keharmonian agama di sini.”

Beliau juga menegaskan bahawa ideologi kebencian ini memberi kesan besar dalam mencetuskan fenomena Islamofobia.

“Ideologi kebencian ini menjadi antara punca timbulnya fenomena Islamofobia ataupun perasaan takut terhadap agama Islam ataupun terhadap sesuatu agama yang lain,” jelasnya.

Ustaz Dr Mohamed turut memberi amaran mengenai fahaman ekstrem seperti fahaman sayap kanan yang boleh memecah belahkan masyarakat majmuk.

“Fahaman sayap kanan ini adalah fahaman yang boleh memecah belahkan masyarakat majmuk yang mana dalam kita tahu dalam Singapura ini, kita hidup bersama masyarakat yang lain,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa tujuan fahaman-fahaman ekstrem ini adalah untuk memecah belahkan identiti agama, etnik, bangsa dan bahasa yang telah lama menjadi asas kekuatan negara ini.

PENGGUNAAN KEGANASAN TIDAK SELESAIKAN KONFLIK HAMAS-ISRAEL
Mengulas mengenai suri rumah yang menjadi radikal, Ustaz Dr Mohamed mengingatkan bahawa sokongan terhadap kumpulan pengganas, terutama dalam konteks konflik seperti Hamas-Israel, tidak akan menyelesaikan masalah.

“Kita tidak menafikan bahawa konflik Hamas-Israel itu adalah satu konflik yang lama dan telah berlarutan selama beberapa dekad. Hakikatnya, sentimen atau perasaan tidak senang, perasaan marah dan juga simpati terhadap mereka yang tertindas, dibunuh, ia adalah satu sentimen yang sah dan ia adalah sesuatu yang lumrah dan semula jadi,” katanya.

Namun, beliau menegaskan bahawa menyokong keganasan bukanlah penyelesaian yang tepat.

“Apa yang harus ditekankan adalah jalan keganasan seperti mengangkat senjata atau menyokong kumpulan pengganas untuk memerangi penindas itu bukan caranya untuk menyelesaikan konflik. Bahkan, dengan menyokong kumpulan pengganas, ia akan membawa kepada masalah yang lebih besar,” jelas beliau.

Ustaz Dr Mohamed juga mengingatkan bahawa Singapura sangat prihatin terhadap penggunaan pengganasan, termasuk mengangkat senjata.

“Singapura sangat prihatin terhadap penggunaan pengganasan, termasuk mengangkat senjata walaupun niat untuk melakukannya berlaku di Singapura mahupun di luar negara dan tidak kira atas apa sebab sekalipun,” katanya.

“Adalah tidak wajar sama sekali individu ini menyokong pengganasan apatah lagi mengangkat senjata. Dan setiap individu harus sedar bahawa tindakan sedemikian adalah bertentangan dengan undang-undang negara, undang-undang agama dan juga mempunyai kesan yang amat negatif,” tegasnya.

ANCAMAN ISIS BELUM REDA, RADIKALISASI DALAM TALIAN MENINGKAT

Ustaz Dr Mohamed juga menarik perhatian bahawa ancaman yang timbul daripada kumpulan ISIS masih lagi wujud dan berbahaya walaupun telah kehilangan kapasiti fizikal mereka di wilayah Iraq dan Syria,

“Dalam kes pekerja asing yang kita dengar pada hari ini, ia menunjukkan satu perkara yang jelas iaitu ancaman yang timbul daripada kumpulan ISIS yang berpangkalan di Iraq dan Syria itu masih lagi belum reda. ISIS mungkin telah hilang kapasiti mereka untuk menakluki wilayah-wilayah mereka dan banyak kawasan telah hilang, tetapi mereka telah berjaya dalam memastikan bahawa ideologi dan fahaman mereka itu diterima oleh anak-anak muda, tidak kira di mana,” kata Ustaz Dr Mohamed.
Related article image
Gambar fail.
Beliau juga menegaskan bahawa walaupun ISIS tidak lagi wujud secara fizikal, mereka masih kuat dalam penyebaran ideologi mereka.

“Mereka sebenarnya menang dalam bentuk pemasaran ideologi yang mereka pegang dan caranya adalah menggunakan platform media sosial dan internet,” ujarnya.

Menurutnya, hampir 100 peratus (99.9 peratus) kes radikalisasi dalam kalangan anak muda hari ini berlaku dalam talian, dengan mereka terpengaruh oleh maklumat yang mereka temui melalui media sosial dan internet.

“Mereka menjadi radikal dengan apa yang mereka dapati daripada internet dan juga wadah media sosial yang sangat digunakan oleh kumpulan-kumpulan seperti ISIS,” jelas beliau.

Beliau mengingatkan bahawa masyarakat Islam, Singapura, dan dunia secara keseluruhannya tidak boleh beranggapan ancaman ISIS telah reda.

“Kita tidak harus fikir bahawa ancaman ISIS telah reda. Bahkan, kita harus terus memerangi fahaman bukan hanya ISIS tetapi apa sahaja fahaman yang tegar yang dapat merosakkan kestabilan negara kita,” katanya.
Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita