Ancaman pengganasan terhadap Singapura kekal tinggi; pelonggaran sekatan COVID-19 berpotensi galak unsur radikal

(Gambar: Calvin Oh/CNA)
SINGAPURA: Pelonggaran sekatan perjalanan COVID-19 berpotensi menggalak kumpulan pengganas untuk mempertimbang semula rancangan untuk melakukan serangan yang tidak dapat dilaksanakan sewaktu pandemik.
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) menyatakan ini termasuk komplot terhadap Singapura.
Dalam laporan tahunan terbarunya mengenai ancaman pengganasan, ISD memberi amaran ancaman terhadap Singapura kekal tinggi, meskipun tiada risikan khusus akan berlaku serangan pengganas di negara ini dalam masa terdekat.
Laporan itu juga menarik perhatian ancaman yang ditimbulkan individu-individu yang menjadi radikal secara sendiri.
Ini didorong lagi dengan ideologi-ideologi radikal yang terdapat online.
Sejak 2015, 45 individu, termasuk 33 warga Singapura, yang menjadi radikal secara sendiri ditangani di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atas tindakan mereka yang berhubung kait dengan pengganasan.
Antaranya, seorang warga Singapura berusia 29 tahun yang ditahan pada April lalu kerana merancang untuk mengambil bahagian dalam keganasan bersenjata di luar negara.
Pada masa yang sama, kumpulan pengganas seperti ISIS masih memberi ancaman keselamatan.
Penyokong tegar mereka tertarik dengan naratif ganas, meskipun pertubuhan tersebut mengalami kekalahan dari segi wilayah dan anggota.
Menurut ISD, perkembangan di negara-negara lain juga berpotensi menimbulkan kesan yang lebih besar terhadap keselamatan Singapura.
Kemunculan fahaman pelampau kanan di sesetengah negara Barat, misalnya, menyebabkan serangan di pasar raya New York yang meragut 10 nyawa pada Mei.
Perang di Ukraine juga menjadi wadah sokongan dan inspirasi pelampau sayap kanan.
Sekitar 20,000 orang menyahut panggilan Ukraine untuk menyertai pasukan antarabangsanya sebagai pejuang asing.
ISD menyatakan pihaknya kekal berwaspada meskipun tiada tanda mengenai ancaman serangan pengganas terhadap Singapura dalam masa terdekat ini.
Ia turut menekankan pentingnya mengekalkan pendirian tidak bertolak ansur terhadap semua jenis ucapan yang boleh mencetus kebencian dan retorik pelampau.
ISD tegasnua sedang meningkatkan usaha untuk memupuk kesedaran dan melindungi masyarakat daripada ideologi-ideologi radikal.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.