Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ancaman pengganasan masih wujud, SG tidak boleh leka banteras ideologi ekstremis: PM Lee

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Usaha memerangi pengganasan dan ekstremisme, belum lagi nampak penghujungnya.

Ancamannya masih wujud, malah berubah kepada bentuk-bentuk baru.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata Singapura tidak boleh berputus asa dan Pemerintah akan berusaha sedaya mungkin untuk menanganinya.

PM Lee berkata demikian semasa merasmikan Galeri Majulah Pusat Sumber dan Kaunseling (RCC) Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) pada Rabu (3 Mei).

TIDAK BOLEH LEKA MENENTANG PENGGANASAN

Dalam ucapannya, PM Lee menegaskan bahawa Singapura tidak boleh leka dalam perjuangannya untuk memerangi pengganasan dan ekstremisme.

PM Lee berkata: “Kumpulan-kumpulan pengganas di luar Singapura seperti ISIS, al Qaeda dan Jemaah Islamiyah (JI) terus aktif dan masih mempengaruhi para pengikutnya di merata dunia untuk melakukan serangan.”

“Singapura terus menjadi sasaran utama kumpulan-kumpulan pengganas dan masih disebut dalam propaganda mereka,” tambah beliau.

Di dalam negara pula, jumlah individu yang menjadi radikal sendiri semakin bertambah.

PM Lee berkata: “Sejak kebangkitan ISIS pada 2015, seramai 49 individu telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Ini adalah empat kali ganda lebih banyak daripada bilangan kes dalam tempoh sebelumnya, dari 2007 hingga 2014.

"Daripada 49 individu yang menjadi radikal sendiri, 37 adalah warga Singapura. Mereka termasuk wanita dan yang membimbangkan, ramai belia. 11 daripada mereka di bawah usia 20 tahun. Lima daripada belia itu mahu melancarkan serangan di Singapura," dedah beliau.
Lantaran itu, PM Lee menggesa semua anggota masyarakat untuk memainkan peranan dalam usaha membanteras pengganasan, demi keharmonian kaum dan agama di Singapura.

PM Lee berkata: “Pemerintah sedang mempertingkatkan usaha untuk membanteras ancaman pengganasan. Ini meliputi usaha mempertingkatkan usaha pendampingan masyarakat untuk menangani ideologi yang melampau.Benteng pertahanan paling kuat kita menentang pengganasan adalah kewaspadaan bersama kita,” jelas PM Lee.

Beliau menggesa masyarakat melaporkan sesiapa yang menunjukkan tanda-tanda menjadi radikal.

"Jika anda mendapati sesiapa yang menunjukkan tanda-tanda menjadi radikal, anda perlu segera melaporkannya kepada pihak berkuasa. Inilah benteng pertama kita. Kita juga perlu memperkukuhkan keharmonian kaum dan agama yang sudah lama kita pelihara," kata beliau

IKTIRAF SUMBANGAN RRG, SANJUNG SUMBANGAN BESAR ALLAHYARHAM USTAZ ALI HAJI MOHAMED

PM Lee turut mengiktiraf sumbangan RRG dalam membanteras ancaman pengganasan di Singapura sepanjang dua dekad lalu.

Dan ia terus memainkan peranan besar dalam menggalak dan mengukuhkan ikatan serta perpaduan antara agama dalam masyarakat majmuk Singapura.

“Sepanjang beberapa tahun lalu, RRG telah mempertingkatkan keupayaannya untuk menyediakan kaunseling dan bimbingan. Ia juga telah mengukuhkan hubungan dan rangkaian dengan rakan kongsi asing. Pada masa yang sama ia terus memastikan ia mengikuti perkembangan terkini dan berkesan dalam menangani ancaman ideologi ekstremis dalam masyarakat," kata beliau.

Sebagai mengiktiraf ulang tahun ke-20 RRG, PM Lee turut menyanjung sumbangan besar Allahyarham Ustaz Ali Haji Mohamed yang meninggal dunia pada Mac lalu.

Menurut PM Lee, sebagai pengasas bersama RRG, Ustaz Ali telah memberikan kepimpinan dan bimbingan yang kukuh kepada para pegawai dan sukarelawan kumpulan itu.

“Ustaz Ali telah berkhidmat kepada masyarakat melalui kaedah berbeza-beza, termasuk menggalas tanggungjawab selaku Pengerusi Masjid Khadijah selama 30 tahun. Beliau juga telah memperluaskan khidmat masjid tersebut untuk menyediakan khidmat keagamaan dan sosial kepada masyarakat Muslim setempat,” kata PM Lee.”

Allahyarham Ustaz Ali, menurut beliau turut terlibat dalam pembangunan Galeri Majulah Pusat Sumber dan Kaunseling (RCC) Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) yang baru dirasmikan.

GALERI MAJULAH DILANCARKAN

Galeri Majulah Pusat Sumber dan Kaunseling (RCC) Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) itu terletak di tingkat empat bangunan tambahan Masjid Khadijah.

Ia adalah sebahagian usaha meluaskan pusat sumber dan kaunseling RRG sempena ulang tahunnya yang ke-20.
"
Galeri itu diharap dapat memberi kefahaman yang lebih mendalam tentang bahaya ideologi dan fahaman radikal.

Selain itu, ia turut memaparkan peranan dan usaha penting RRG dalam memerangi keganasan dan ekstremisme.

Pusat sumber di tingkat dua yang dinaik taraf pula kini menggabungkan pelbagai ciri teknologi demi memberikan pengalaman pameran yang lebih imersif.

Dengan adanya infrastruktur yang lebih luas dan canggih, RRG berharap dapat menarik lebih ramai anak muda dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan keamanan dan hidup harmoni dalam masyarakat majmuk.

RRG turut melancarkan logo barunya di majlis tersebut.
"
Logo barunya itu melambangkan kebanggaan RRG terhadap warisannya, serta mencerminkan keteguhan dan sifat berpandangan jauh kumpulan itu dalam melaksanakan matlamatnya untuk berkhidmat kepada masyarakat dan negara.

Menurut RRG, lebih 20,000 pengunjung telah meraih manfaat daripada galeri RRG sejak RCC ditubuhkan.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan