Ancaman pengganasan di SG kekal tinggi, radikalisasi belia membimbangkan: ISD
Ancaman pengganasan terhadap Singapura kekal tinggi, dengan konflik yang berterusan di Timur Tengah menyumbang kepada persekitaran keselamatan global yang tidak menentu dan meningkatkan ancaman pengganasan di seluruh dunia, menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) pada Khamis (10 Sep).
- Singapore's ISD reported that the terrorism threat remains high due to the conflict in the Middle East and the influence of groups such as the IRGC, Hamas and ISIS.
- Self-radicalisation, especially among youths under 21, is increasing with the spread of extremist ideologies through social media and online games.
- ISD has taken firm action under the ISA against individuals involved, with eight Singaporeans dealt with since July 2025, most of them youths.
- Authorities stressed the importance of community cooperation in reporting suspicious activities and curbing the spread of extremism in Singapore.
- ISD Singapura melaporkan ancaman pengganasan kekal tinggi akibat konflik Timur Tengah dan pengaruh kumpulan seperti IRGC, Hamas, dan ISIS.
- Radikalisasi sendiri, terutama dalam kalangan belia bawah 21 tahun, meningkat dengan penyebaran ideologi ekstremis melalui media sosial dan permainan online.
- ISD mengambil tindakan tegas di bawah ISA terhadap individu yang terlibat, dengan lapan rakyat Singapura dikenakan tindakan sejak Julai 2025, kebanyakannya belia.
- Pihak berkuasa menekankan pentingnya kerjasama masyarakat untuk melaporkan aktiviti mencurigakan dan mengekang penyebaran ekstremisme di Singapura.
Walaupun ketika ini tiada risikan khusus berhubung serangan pengganas yang bakal berlaku di Singapura, negara ini dan kepentingannya kekal menjadi sasaran menarik bagi unsur-unsur pengganas, menurut ISD dalam Laporan Penilaian Ancaman Pengganasan Singapura tahun ini.
Ini disebabkan oleh tanggapan bahawa Singapura mempunyai hubungan muhibah dengan negara-negara Barat, termasuk Amerika Syarikat dan Israel; kewujudan mercu tanda ikonik di negara ini; serta kedudukannya sebagai sebuah masyarakat sekular dan berbilang budaya, menurut ISD.
Dalam menghadapi landskap ancaman luar yang semakin rumit ini, radikalisasi yang berlaku dengan sendirinya kekal sebagai pendorong utama ancaman pengganasan domestik Singapura, dengan individu semakin dipengaruhi oleh pelbagai ideologi ekstremis yang saling bertindih, menurut ISD.
Radikalisasi belia juga menjadi kebimbangan mendesak, menurut jabatan tersebut, sambil menarik perhatian kepada peningkatan ketara dalam kes radikalisasi belia yang ditangani di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Lebih membimbangkan, mereka yang menjadi radikal juga semakin muda, tambah ISD.
Jabatan itu turut menarik perhatian kepada kemunculan Ekstremisme Ganas Komposit (CoVE) – yang turut dikenali sebagai ekstremisme "salad bar" – dalam kalangan individu yang menjadi radikal dengan sendirinya, khususnya golongan belia.
KONFLIK LUAR NEGARA TINGKAT ANCAMAN SERANGAN
Singapura dan Asia Tenggara terus merasakan kesan daripada ketegangan geopolitik dan ketidakstabilan di Timur Tengah, menurut ISD, sambil merujuk kepada kegiatan Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) dan proksi bersenjatanya, seperti Hamas, Hezbollah dan Houthi.
Rangkaian itu "meningkatkan ancaman pengganasan sehingga melangkaui kawasan konflik di Timur Tengah".
Ketegangan akibat konflik Israel-Palestin serta perang Amerika Syarikat-Israel dengan Iran turut menyumbang kepada peningkatan antisemitisme, retorik anti-Muslim dan Islamofobia di banyak bahagian dunia, yang didorong oleh naratif pelampau sayap kanan.
"Dalam sesetengah kes, kebencian sedemikian telah mencetuskan keganasan," menurut ISD.
Jabatan itu menyatakan, terdapat risiko lebih tinggi bagi serangan oleh IRGC dan rangkaian proksinya, termasuk Harakat Ashab al-Yamin al-Islamiya (HAYI) yang baru muncul dan dikaitkan dengan serangan di Kanada, Perancis dan Britain.
Seorang anggota utama Kata'ib Hizballah di Iraq yang disokong Iran dan HAYI, warga Iran-Iraq Mohammad Baqer Saad Dawood Al-Saadi, pernah memohon visa untuk mengunjungi Singapura sebanyak tiga kali pada 2023 dan 2024, tetapi tidak melakukan perjalanan ke Singapura. Dia dipercayai pernah melakukan perjalanan ke Asia Tenggara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Encik Baqer dipercayai mengarahkan sekurang-kurangnya 20 serangan dan percubaan serangan yang dikaitkan dengan HAYI terhadap kepentingan Amerika Syarikat dan Yahudi di Eropah, Amerika Syarikat dan Kanada.
Dia diberkas di Turki pada Mei 2026 dan didakwa di Amerika Syarikat kerana merancang untuk menyerang sebuah rumah ibadat Yahudi di New York City serta dua lagi pusat Yahudi di Los Angeles dan Scottsdale, Arizona.
"Kami tidak menolak kemungkinan perjalanan Baqer ke rantau ini mungkin bertujuan melakukan kegiatan pengganasan dan dia mungkin menyasarkan Singapura, termasuk kepentingan Amerika Syarikat dan Israel/Yahudi di sini," menurut ISD. "Sekiranya dia cuba memasuki Singapura, kemasukannya akan ditolak."
ISD turut memberi amaran bahawa landskap ekstremisme ganas di Asia Tenggara semakin rencam, dengan ekstremisme sayap kanan, Ekstremisme Ganas Nihilistik (NVE) dan budaya sampingan berkaitan seperti True Crime Community (Komuniti Jenayah Sebenar) semakin bertindih antara satu sama lain di online.
Sebagai contoh, ISD merujuk kepada kejadian pada November 2025 apabila seorang peserta True Crime Community berusia 17 tahun meletupkan empat alat letupan buatan sendiri di sekolah menengahnya di Jakarta, menyebabkan sekurang-kurangnya 96 orang cedera. ISD menambah bahawa remaja itu mendapat inspirasi daripada simbol, slogan dan pelaku serangan pelampau sayap kanan.
Pada Jun 2026, dua remaja berusia 14 dan 15 tahun turut melakukan serangan tembakan di sebuah sekolah di Tacloban City, Filipina, yang dikaitkan dengan NVE, menyebabkan tiga orang terbunuh dan 20 yang lain cedera, menurut ISD.
RADIKALISASI SENDIRI "ANCAMAN PENGGANASAN UTAMA" DI SINGAPURA
Radikalisasi yang terjadi dengan sendirinya kekal sebagai pendorong utama ancaman pengganasan domestik Singapura, menurut ISD.
Sejak laporan Penilaian Ancaman Pengganasan ISD sebelum ini dikeluarkan pada Julai 2025, lapan rakyat Singapura sudah dikenakan tindakan di bawah ISA. Daripada jumlah tersebut, tujuh menjadi radikal dengan sendirinya.
"Propaganda dan naratif ekstremis yang berasal dari luar negara boleh sampai dengan pantas kepada para individu di Singapura menerusi platform online, manakala konflik di luar negara boleh menjadi cetusan yang kuat bagi radikalisasi," menurut ISD.
Pada masa yang sama, pengaruh ekstremis dan dorongan untuk melakukan keganasan di Singapura semakin pelbagai, dengan pertindihan yang semakin ketara.
Tiga rakyat Singapura yang dikenakan tindakan di bawah ISA sepanjang setahun lalu berubah menjadi radikal disebabkan oleh CoVE.
Kumpulan ISIS terus meradikalisasi rakyat Singapura memandangkan propaganda pengganasan kumpulan tersebut masih mudah diakses online.
Daripada lapan rakyat Singapura yang dikenakan tindakan di bawah ISA sepanjang setahun lalu, lima merupakan penyokong ISIS. Kesemua mereka pertama kali terdedah kepada bahan pro-ISIS di platform media sosial.
RADIKALISASI BELIA "KEBIMBANGAN MENDESAK"
Terdapat "peningkatan ketara" dalam kes radikalisasi belia yang ditangani di bawah ISA, dengan enam daripada lapan kes sepanjang setahun lalu sahaja melibatkan belia berusia bawah 21 tahun.
Jumlah kes ISA melibatkan belia sepanjang lima tahun kebelakangan ini meningkat hampir empat kali ganda, menurut ISD, daripada empat kes antara 2017 dengan 2021 kepada 15 kes dari 2022 hingga kini.
Apa yang amat membimbangkan ialah mereka yang menjadi radikal semakin muda. Sejak Jun 2024, empat remaja berusia 14 tahun dikenakan perintah di bawah ISA, menjadikan mereka individu termuda yang dikenakan tindakan di bawah akta tersebut.
Kesemua lima penyokong ISIS yang dikenakan tindakan sepanjang setahun lalu berusia bawah 21 tahun, dengan tiga daripada mereka merancang untuk melakukan serangan yang diilhamkan ISIS di Singapura menggunakan senjata ringkas yang mudah diperoleh.
Kesemua tiga kes CoVE yang ditangani turut melibatkan belia berusia bawah 21 tahun, dengan ISD menyatakan bahawa perkara itu mencerminkan kebimbangan lebih luas di peringkat global berhubung kerentanan golongan belia terhadap radikalisasi oleh CoVE.
Platform online, khususnya platform permainan, memainkan peranan ketara dalam kes radikalisasi secara sendirinya dalam kalangan belia di Singapura kerana ia membolehkan kandungan ekstremis tersebar dengan pantas.
"Golongan belia yang menghabiskan banyak masa online mungkin terdedah kepada kandungan ekstremis ganas dalam komuniti online atau menerusi saranan algoritma di media sosial," menurut ISD.
"Pendedahan berulang kepada kandungan sedemikian boleh mengukuhkan kepercayaan ekstremis dan mewujudkan ruang yang mengukuhkan pandangan sehaluan online."
Dengan menggunakan permainan online untuk mensimulasikan serangan pengganas atau kejadian tembakan rambang, golongan belia juga berulang kali terdedah kepada keganasan grafik yang boleh menyebabkan mereka menganggap keganasan sebagai sesuatu yang biasa dan mengukuhkan ketaksuban mereka terhadap pelaku keganasan.
"Lama-kelamaan, fantasi keganasan yang berulang kali dilakukan dalam ruang maya boleh berkembang menjadi niat atau rancangan untuk melakukan keganasan di dunia sebenar," menurut amaran ISD.
Bercakap dalam satu temu bual ringkas mengenai tiga belia yang mengalami radikalisasi dengan sendirinya pada 27 Julai, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara K Shanmugam berkata: "ISD dan MHA perlu bertindak tepat setiap kali. Individu yang mahu melakukan serangan hanya perlu berjaya sekali sahaja."
"Sebaik sahaja anda melihat sesuatu yang tidak kena, sila laporkan. Jangan hanya menyerahkannya kepada ISD dan polis ... setakat ini, setiap kali, kami berjaya campur tangan. Tetapi jangan anggap perkara itu akan sentiasa berlaku," kata beliau sebagai peringatan.
"Pemerintah memandang serius sebarang bentuk sokongan terhadap pengganasan atau ideologi ekstremis di Singapura, sama ada oleh rakyat Singapura mahupun warga asing," menurut ISD.
"ISD akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu di Singapura yang menyokong, mempromosikan, melakukan atau membuat persiapan untuk melakukan keganasan bersenjata, tanpa mengira bagaimana mereka memberikan alasan bagi keganasan tersebut atau di mana keganasan itu berlaku."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.