Ancaman COVID-19 mungkin akan lenyap dengan peredaran masa seperti H1N1
Penularan virus korona COVID-19 mungkin akan terus menular seperti influenza H1N1 di Mexico lebih sedekad yang lalu. Ia mungkin akan reda dan berubah menjadi sesuatu yang kurang serius kelak, menurut pakar-pakar penyakit berjangkit.
SINGAPURA: Penularan virus korona COVID-19 yang pertama kali dikesan di Wuhan, China sudah menular ke hampir 30 negara lain termasuk Singapura dan ia mungkin akan terus menular seperti influenza H1N1 di Mexico lebih sedekad yang lalu. Ia mungkin akan reda dan berubah menjadi sesuatu yang kurang serius kelak, menurut pakar-pakar penyakit berjangkit.
Pada awal Mac 2009, Mexico mengalami penularan penyakit pernafasan dan jumlah pesakit yang dilaporkan mengalami simptom-simptom serupa selesema itu terus meningkat di beberapa bahagian negara tersebut.
Jenis baru H1N1 yang menjejas manusia berasal daripada selesema babi yang menular ke merata dunia. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan virus itu menyebabkan lebih 18,000 kematian di merata dunia semasa wabak itu menular pada 2009.
HANYA SATU LAGI JENIS SELESEMA
WHO mengisytiharkan virus itu sebagai darurat kesihatan awam pada 24 April 2009. Empat hari kemudian, Singapura menaikkan Sistem Keadaan Penularan Penyakit (DORSCON) dari Hijau kepada Kuning. Tahap amaran itu dinaikkan kepada warna Jingga pada 30 April apabila WHO menaikkan tahap amaran penularan wabak dari fasa 4 kepada fasa 5.
Namun, Singapura hanya mengesahkan kes pertama jangkitan H1N1 di negara ini pada 26 Mei 2009, 15 hari selepas Kementerian Kesihatan (MOH) menurunkan tahap amaran DORSCON kepada warna Kuning. Seorang mahasiswa berusia 22 tahun mula menunjukkan simptom-simptom semasa dalam penerbangan pulang dari New York dan kemudian diuji positif virus itu.
Penularan di Singapura memuncak pada Ogos 2009 dan negara ini menyaksikan 18 kematian akibat jangkitan H1N1 pada tahun itu. Apabila, tahap amaran DORSCON diturunkan dari Kuning kepada Hijau pada 21 Februari 2010, sekitar 415,000 orang di merata Singapura sudah dijangkiti virus itu dengan sebahagian besar daripada mereka mengalami sakit ringan.
VIRUS-VIRUS MENJADI LEBIH RINGAN SABAN HARI: PAKAR-PAKAR
Menurut Dr Leong Hoe Nam, seorang pakar penyakit berjangkit di Hospital Mount Elizabeth Novena, ada empat jenis virus korona yang menyebabkan selesema, dan salah satu daripadanya boleh menyebabkan radang paru-paru yang serius.
"Saya percaya kewujudannya lebih kurang seperti COVID-19 sekarang. Ia meragut nyawa ramai orang dan virologi atau teknologi pada masa itu belum cukup untuk mengenal pasti punca penyakit tersebut. Namun, ia menjadi semakin lemah saban hari," kata Dr Leong.
"COVID-19 akan melalui proses yang sama. Apa yang kita perlukan adalah masa untuk virus itu menjalani proses mutasi dan kesan jangkitannya kemudian akan menjadi lebih ringan.
Dr Leong menambah, ada "kecenderungan secara semula jadi" untuk virus-virus menjalani proses mutasi sebelum ia bertukar menjadi lebih ringan.
Jika virus itu terlampau patogenik, ia akan membunuh hosnya dan tidak dapat terus menular. Namun jika ia ringan, virus itu boleh terus menular ke individu lain, lama-kelamaan mencapai tahap mutasi yang dapat mengurangkan keupayaan virus itu untuk membawa penyakit, kata Dr Leong.
Beliau menarik perhatian bahawa kesedaran terhadap rawatan H1N1 dan vaksin-vaksin yang ada sekarang turut membantu mengurangkan ancaman virus sedemikian.
Menurut para pakar, H1N1 buat masa ini adalah jenis selesema yang dominan di Singapura, meskipun ia mungkin berbeza dari musim ke musim dan vaksin-vaksin selesema menawarkan kekebalan terhadap selesema itu.
Negara-negara di rantau ini berdepan dengan situasi yang serupa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.