Skip to main content

Singapura

Ancaman bom palsu, kereta rosak dan potong barisan punca kesesakan Koswe

Kesesakan di Koswe yang dialami para pelancong antara 14 hingga 16 Dis disebabkan ancaman bom palsu, kerosakan kenderaan dan sesetengah pihak yang asyik memotong barisan, menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) hari ini (19 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 20 Dec 2018 01:48PM Dikemas Kini : 20 Dec 2018 09:27PM

SINGAPURA: Kesesakan di Koswe yang dialami para pelancong antara 14 hingga 16 Dis disebabkan ancaman bom palsu, kerosakan kenderaan dan sesetengah pihak yang asyik memotong barisan, menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) hari ini (19 Dis).

Kedua-dua laluan masuk dan keluar Singapura terjejas, tambah ICA dalam kenyataan medianya.

Namun, ICA menambah bahawa kesesakan biasanya dijangka pada waktu ini setiap tahun, disebabkan lebih ramai orang yang melalui Pusat Pemeriksaan Woodlands dan Tuas sempena musim perayaan dan cuti sekolah.

Kesesakan di dua pusat pemeriksaan itu dijangka berterusan sehingga akhir tahun ini, menurut ICA.

Bagi memastikan para pelancong dapat melalui kedua-dua pusat pemeriksaan dengan lebih pantas, ICA menyatakan ia memantau aliran trafik laluan masuk dan keluar Singapura bagi semua kenderaan, di samping mengambil "pendekatan menyeluruh" dalam pengurusan trafik.

"Ini termasuk mengerahkan para pegawai bagi pelbagai tugas dan membuka laluan-laluan supaya kenderaan-kenderaan dapat melalui pusat pemeriksaan dengan lebih pantas," menurutnya.

"Kami ingin meyakinkan para pelancong bahawa pegawai kami sedang melakukan yang terbaik untuk memenuhi keperluan para pelancong tanpa menjejas keselamatan.

"Pada tempoh sibuk ini, para pegawai ICA bekerja lebih masa. Semua sumber sedia ada dikerahkan."

ICA menambah: "Dari semasa ke semasa, sewaktu pertukaran syif atau pengerahan semula pegawai ke kawasan-kawasan sesak, beberapa kaunter mungkin akan ditutup buat sementara waktu."

ICA menasihati para pelancong supaya memeriksa terdahulu laman Facebook ICA dan Sistem Pemantauan dan Makluman Ekspreswe (EMAS) yang dipasang di BKE dan AYE bagi membolehkan mereka merancang perjalanan dengan lebih baik.

Pada 11 Dis, ICA menasihati para pelancong supaya mengelak ke Pusat Pemeriksaan Woodlands pada 13 Dis kerana pihak berkuasa Malaysia mengadakan satu latihan di Kompleks Kastam, Imigresen Dan Kuarantin dan Stesen Keretapi KTM di Johor Bahru Sentral.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita