Skip to main content

Singapura

Ancaman bom palsu di Sekolah Menengah Evergreen; pelajar dan kakitangan diarah kosongkan bangunan

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 21 Jul 2022 01:49PM Dikemas Kini : 21 Jul 2022 08:50PM
SINGAPURA: Para pelajar dan kakitangan Sekolah Menengah Evergreen diarah mengosongkan bangunan sekolah pada pagi Khamis (21 Jul) selepas sekolah tersebut menerima ancaman bom.

Ancaman itu ternyata palsu, kata Menteri Pendidikan, Chan Chun Sing.

"Pihak polis bertindak pantas dan melakukan pemeriksaan menyeluruh di pekarangan sekolah tersebut. Pihak polis sudah selesai menjalankan pemeriksaan keselamatan mereka dan menentukan bahawa ia adalah ancaman palsu," kata Encik Chan dalam hantaran Facebook beliau.
"Kakitangan sekolah dan pelajar kekal tenang dan menjalankan protokol mengosongkan bangunan seperti yang dirancangkan."

Ibu bapa pelajar dimaklumkan melalui aplikasi Parents Gateway untuk tidak menghantar anak mereka ke sekolah.

"Semua pelajar yang sudah berada di sekolah pagi ini selamat dan mereka diminta pulang ke rumah sebagai langkah berjaga-jaga," kata menteri itu.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, Pasukan Polis Singapura (SPF) menyatakan pihaknya dimaklumkan mengenai satu ancaman bom sekitar pukul 7.40 pagi di 11 Woodlands Street 83.

Seorang remaja lelaki sedang membantu siasatan, menurut polis.

SPF menambah kes disiasat di bawah Peraturan 2001 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Langkah-Langkah AntiPengganasan).

"Polis memandang serius semua ancaman terhadap keselamatan dan akan menyiasat mereka yang sengaja menyebabkan kebimbangam awam," kata SPF.

Encik Chan berkata guru di sekolah sedang memeriksa kesejahteraan pelajar. Kaunselor sekolah juga bersedia untuk menghulurkan bantuan kepada pelajar jika perlu.

"Saya bersyukur kerana semua pelajar dan kakitangan selamat. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak polis atas tindakan pantas mereka," kata Encik Chan.

"Keselamatan kesemua pelajar dan kakitangan adalah sangat penting kepada Kementerian Pendidikan(MOE). Kami tidak akan bertolak ansur dengan sebarang ancaman atau tindakan yang membahayakan sekolah-sekolah kami," tambah beliau.

"Bersama dengan polis, kami akan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap sesiapa yang menyebabkan kebimbangan awam."
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita