Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ancaman bom palsu di Sekolah Menengah Evergreen: Ibu bapa lega ada tindakan pantas

Anggaran Waktu Membaca:
Ancaman bom palsu di Sekolah Menengah Evergreen: Ibu bapa lega ada tindakan pantas

(Gambar: Try Sutrisno Foo/CNA)

SINGAPURA: Sesetengah ibu bapa pelajar Sekolah Menengah Evergreen di Woodlands berasa bimbang dan resah apabila anak-anak mereka menerima mesej daripada sekolah berkenaan pada pagi Khamis (21 Jul) supaya kekal di rumah. 

Mesej itu dihantar selepas sekolah tersebut menerima ancaman bom dan para pelajar serta kakitangan diarah mengosongkan bangunan sekolah. 

Ia merupakan ancaman bom palsu, kata Menteri Pendidikan Chan Chun Sing dalam hantaran Facebook beliau sekitar pukul 12.30 petang. 

"Pihak polis bertindak pantas dan melakukan pemeriksaan menyeluruh di pekarangan sekolah tersebut. Pihak polis sudah selesai menjalankan pemeriksaan keselamatan dan menentukan bahawa ia adalah ancaman palsu," kata Encik Chan dalam hantarannya itu. 

"Kakitangan sekolah dan pelajar kekal tenang dan menjalankan protokol mengosongkan bangunan seperti yang dirancang." 

Seorang remaja lelaki sedang membantu siasatan, menurut polis. 

RASA "TIDAK SEDAP HATI"

Seorang ibu berusia 34 tahun, yang hanya ingin dikenali sebagai Nur, berkata anak perempuan beliau menghubunginya sekitar pukul 9.20 pagi untuk memberitahu dia sedang dalam perjalanan pulang. 

"Semua diberitahu untuk bersurai kerana terdapat situasi kecemasan di sekolah. Dia tidak pasti apa yang berlaku, tetapi melihat beberapa kereta dan van polis di sekolah. Dia juga ternampak polis dengan anjing K9 yang sedang menjalankan rondaan di sekeliling sekolah," katanya kepada Mediacorp. 

Cik Nur berkata, beliau berasa tidak sedap hati apabila menerima panggilan anak perempuannya, 16 tahun, pada waktu sekolah. 

"Sangat pelik. Saya ingatkan mungkin dia sakit dan perlu diambil dari sekolah, tetapi saya terperanjat apabila dia cakap semua orang dibenarkan pulang. Kerana saya rasa bimbang tentang keselamatannya, saya membuat panggilan video untuk menemaninya pulang ke rumah, yang perjalanannya kira-kira 15 minit," katanya. 

"Saya memberitahu anak saya supaya berjaga-jaga dengan persekitarannya kerana saya asyik terkenangkan kes Sekolah Tinggi River Valley." 

Setelah mendapat tahu ia merupakan ancaman bom palsu, Cik Nur berkata, beliau berasa lega. 

"Guru kelas anak perempuan saya mengirimkan mesej bahawa mereka semua boleh pulang ke sekolah pada Jumaat (22 Jul).

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua guru, pengetua dan kakitangan sekolah kerana mengambil tindakan pantas untuk memastikan semua pelajar selamat. Mereka juga mengadakan pertemuan di Zoom untuk memastikan pelajar-pelajar sudah selamat di rumah." 

Seorang lagi ibu, Cik Jamilah Ali, yang tinggal di hadapan sekolah itu berkata anak lelakinya, 14 tahun, menerima mesej daripada sekolah sekitar pukul 8.30 pagi untuk kekal di rumah. 

"Sejurus selepas itu, saya menerima mesej di aplikasi Parents Gateway. Jadi saya rasa ia amat serius. Tingkap saya di hadapan pintu sekolah dan saya ternampak beberapa kereta polis.

"Saya agak risau. Bagi saya, keselamatan anak-anak lebih penting," kata wanita berusia 52 tahun itu, yang bekerja sebagai Pengurus Jawatankuasa Penduduk di Persatuan Rakyat (PA). 

Cik Jamilah menyedari bahawa terdapat ancaman bom palsu apabila membaca hantaran Encik Chan di Facebook. 

"Bagi saya, perkara bom ini agak serius. Bagaimana mesej ini boleh bocor sehingga membuat seorang cemas?" katanya. 

"Saya senang hati Pemerintah, guru dan kakitangan semua memandang serius perkara sebegini. Saya boleh melihat anjing meronda mengelilingi sekolah itu sekitar pukul 9.00 pagi. Sangat pantas." 

Encik Chan dalam hantarannya menambah, guru-guru sedang menghubungi pelajar untuk mendapat tahu keadaan mereka, dan kaunselor sekolah sudah bersiap sedia untuk membantu mana-mana pelajar jika diperlukan. 

PELAJAR DIBENARKAN KE SEKOLAH BAGI  PEPERIKSAAN LISAN PERINGKAT 'O'

Para pelajar yang dijadual menduduki peperiksaan lisan Inggeris Peringkat 'O' pada Khamis (21 Jul) dibenarkan kembali ke sekolah, kata seorang jurucakap Kementerian Pendidikan (MOE) semasa menjawab pertanyaan Mediacorp. 

Guru-guru di premis itu akan mengendalikan pemeriksaan tersebut dan kelas akan diadakan seperti biasa pada Jumaat (22 Jul), tambah jurucakap tersebut. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan