analisisBERITA: Yuran platform bagi khidmat kereta sewa privet dinaikkan - bolehkah alasannya diterima?
Mulai 1 Januari 2025 ini, para pengguna perlu bersedia membayar tambang lebih tinggi jika menggunakan khidmat kereta sewa privet ataupun teksi.
Ini menyusuli pengumuman empat syarikat pengendali - ComfortDelGro, Grab, Gojek & Tada - yang akan menaikkan yuran platform masing-masing - naik di antara 20 hingga 50 sen mulai Rabu, 1 Januari.
MENGAPA YURAN PLATFORM DINAIKKAN?
Sebab utama yang diberi adalah bagi menampung biaya yang meningkat disebabkan pelaksanaan Akta Pekerja Platform.
Di bawah Akta tersebut yang berkuat kuasa mulai 1 Januari, para pekerja platform akan menerima perlindungan lebih baik dalam tiga aspek utama, termasuk CPF lebih tinggi dan insurans kecederaan di tempat kerja.
Pengamat sosial Dr Shamsuri Juhari berkata, kenaikan tambang tersebut bukan sesuatu yang mengejutkan sebenarnya.
"Pengumuman ini memang sudah dijangkakan sejak permulaan pembahasan Akta Pekerja Platform tidak lama dulu. Cuma yang kita tunggu sekarang adalah jumlah kenaikan harga.
"Tapi sekarang sudah diumumkan, jadi berdasarkan maklum balas yang saya terima dari responden-responden saya, jumlahnya ini masih belum melampaui batasan keselesaan bagi para pembayar. Jadi rasanya masih boleh diterima oleh pihak masyarakat yang umum," kata Dr Shamsuri, yang merupakan Pengarah Urusan syarikat perundingan penyelidikan Nusantara Connect.
Walaupun kenaikan yuran tersebut tidak terlalu tinggi, Dr Shamsuri akur, ia mungkin lebih terasa bagi golongan yang memang benar-benar perlukan khidmat sedemikian secara kerap.
"Seperti mereka yang kurang berupaya tapi masih memerlukan kenderaan privet seperti ini, mungkin mereka terpaksa berfikir 2-3 kali.
"Kalau saya boleh berkongsi, arwah ibu saya yang perlu tiga kali seminggu untuk ke pusat dialisis, mereka memerlukan kenderaan dan memang susah kalau nak dapatkan teksi dari tepi jalan, jadi mereka terpaksa memanggil kenderaan private seperti ini," ujar penyelidik itu lagi.
"Kalau kos ini naik saya rasa itulah yang akan menjadi beban yang lebih bagi golongan masyarakat seperti begini."
PENINGKATAN YANG PERLU DILAKUKAN PIHAK KERETA SEWA PRIVET, TEKSI?
Kesan tambang lebih tinggi ini perlu diimbangi dengan khidmat yang lebih bermutu dan berkesan.
Lantas, bermula 1 Januari juga, para pengendali kereta sewa privet diwajibkan untuk memenuhi keperluan penumpang yang berkerusi roda serta mereka yang mempunyai anak kecil.
Semasa pemesanan dibuat, para pengguna sedemikian perlu diberitahu, samada kereta yang mereka tempah dapat memenuhi keperluan sebegitu.
Menurut LTA, ini ditetapkan sebagai sebahagian daripada syarat bagi pelesenan baharu.
Dr Shamsuri berharap langkah ini dapat mengurangkan rungutan mengenai yuran platform yang meningkat.
"Yang pentingnya adalah dari segi ketelusan, apa yang jelas dan apa yang diberitahu dan ditonjolkan. Maknanya, mengikut Akta ini adalah apa yang dikatakan bayaran bersama, maknanya pihak masyarakat umum membayar dan juga syarikat platform juga menyumbang.
"Jadi itu yang kita harus lihat dan para masyarakat umum harus melihat itu untuk mereka lebih percayakan yang tambahan itu itu adalah sesuatu yang digunakan untuk apa yang diumumkan."
APA PERANAN MASYARAKAT DALAM HAL INI?
Lantas, peranan agensi pengawal selia penting bagi memberi jaminan kepada masyarakat, bahawa peningkatan kos yang mereka tanggung, memenuhi matlamat di sebaliknya.
Namun bagi memudahkan serta meningkatkan keberkesanan pihak-pihak yang memantau, anggota masyarakat juga perlu memainkan peranan mereka, tambah Dr Shamsuri.
"Peranan badan pemantau atau organisasi yang menjaga kebajikan masyarakat umum dan juga para pekerja ini adalah penting.
"Saya kenal rapat beberapa pegawai mereka, dan memang ada mereka berkongsi tentang penyiasatan mereka, tentang kes-kes tertentu yang mereka adalah sangat efektif, tetapi mereka tidak akan berkesan atau tidak boleh buat kerja dengan lebih berkesan tanpa maklum balas dari masyarakat awam, itu sangat penting," jelas Dr Shamsuri.
Lantaran itu tambah beliau, masyarakat harus bersedia untuk memberi maklum balas.
MENINGKATKAN KEHIDUPAN PEKERJA PLATFORM
Menggulung perbincangan, Dr Shamsuri berharap pelbagai usaha yang dilakukan serta dana yang terkumpul, mampu menggalakkan golongan pekerja platform untuk membina masa depan yang lebih cerah.
Ini supaya mereka boleh mendapat pekerjaan yang lebih stabil dan gaji lebih tinggi untuk meningkatkan kualiti hidup mereka dan keluarga mereka juga.
"Ini adalah salah satu langkah yang kita harus ambil untuk menunjukkan negara kita sebagai negara yang moden, sebagai negara yang berwawasan.
"Terutama tentang menjaga kebajikan para pekerja kita, terutama juga pekerja yang kurang mendapat perlindungan seperti pekerja-pekerja platform kita," terang Dr Shamsuri.
Menurut MOM, lebih 8,000 pekerja platform sudah memilih untuk menerima caruman CPF lebih tinggi di bawah Akta Pekerja Platform.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.