Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

analisisBERITA: WMS mungkin perlu kumpul S$250 juta demi biaya keperluan lebih luas sosioagama masyarakat Melayu/Islam

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) mungkin perlu mengumpul jumlah dana atau korpus sebanyak $250 juta demi membiayai keperluan lebih luas sosioagama masyarakat Melayu/Islam tempatan.

Di samping itu, sumbangan derma dari pihak luar negara juga dijangka boleh meningkatkan profil WMS di peringkat antarabangsa.

Demikian buah fikiran tokoh masyarakat veteran serta pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SSA Group, Suhaimi Salleh, mengenai penubuhan wakaf baharu yang diluluskan Parlimen pada Isnin (5 Feb).

WMS antara lain bertujuan membiayai pembaharuan pajakan tanah masjid atau madrasah dan keperluan keagamaan seperti pembangunan asatizah dan masyarakat.

Buat masa ini, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mempunyai dana tertentu termasuk Dana Pembinaan Masjid dan MENDAKI (MBMF) serta kutipan zakat dan wakaf-wakaf sedia ada. Badan-badan Melayu/Islam lain pula mengumpul dana untuk keperluan masing-masing yang tersendiri.

Namun, bagi membiayai keperluan lebih luas sosioagama masyarakat Melayu/Islam tempatan yang terus berubah-ubah, pendapatan lebih mampan perlu dijana, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli.

WMS mempunyai peranan dalam usaha itu.

BERAPA BESAR DANA WMS YANG HARUS DIKUMPULKAN?

Encik Suhaimi menjelaskan, ia bertujuan digunakan untuk bidang-bidang yang tidak disokong oleh mana-mana dana yang sedia ada seperti pembaharuan pajakan tanah masjid dan madrasah.

Memperbaharui pajakan tanah-tanah masjid dalam beberapa dekad akan datang, misalnya, memerlukan dana yang besar.

"Jangkaan aliran tunai yang diperlukan untuk membiayai projek-projek yang disasarkan, perlu diambil kira. Misalnya jika projek-projek tersebut memerlukan biaya sebanyak $10 juta setahun, kadar pulangan pelaburan adalah 4 peratus setahun.

"Maka, jumlah korpus ataupun dana yang perlu dikumpulkan adalah sebanyak $250 juta.

"Saya fikir jumlah ini agak tinggi dan mungkin memakan masa yang agak lama untuk mengumpulkan jumlah korpus seperti itu," kata beliau.

Encik Suhaimi berkata, antara cabaran menjana dan mengekalkan dana itu adalah dalam aspek mendapatkan sokongan masyarakat, yang mungkin kurang sedar atau faham tentang WMS.

Selain itu, keadaan ekonomi yang tidak menentu juga, tambah beliau, boleh memberi kesan terhadap sumbangan dan pelaburan wakaf.

ADAKAH FOKUS KEPADA WMS AKAN JEJAS DERMA KEPADA BADAN MELAYU/ISLAM LAIN?

Dengan penubuhan wakaf baharu ini serta usahanya mengumpul dana, adakah ini juga berpotensi menjejas kutipan derma oleh badan-badan Melayu/Islam lain?

Ini penjelasan Encik Suhaimi: "Saya fikir penubuhan dan pengembangan Wakaf Masyarakat Singapura yang berjaya mungkin memberikan kesan kepada derma-derma yang diterima oleh pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam yang lain, terutama jika terdapat persaingan untuk sumber kewangan dari masyarakat penderma yang sama.

"Namun saya fikir kejayaan WMS tidak semestinya bermakna bahawa derma kepada pertubuhan-pertubuhan itu akan berkurangan secara automatik.

"Masyarakat penderma seringkali mempunyai banyak kepentingan dan nilai yang berbeza, dan mereka mungkin akan terus menyokong pelbagai pertubuhan yang mereka percayai, memberikan kesan positif kepada masyarakat dalam bidang yang berbeza."

SEJAUH MANA WMS WAJAR TERIMA SUMBANGAN DARI PIHAK LUAR NEGARA?

Menurut Encik Suhaimi lagi, projek WMS ini adalah projek yang baik bagi manfaat jangka panjang masyarakat Islam Singapura.

Sama ada badan-badan Melayu/Islam (MMO) harus menjadi antara penerima awal bantuannya, beliau berkata ini belum lagi menjadi keutamaan dan WMS hendaklah dibiarkan stabil dahulu.

Tambahnya, usaha perlu ditumpukan kepada mengumpul dana yang agak banyak bagi tahun-tahun awal penubuhan WMS demi menjana pulangan yang sesuai untuk menampung keperluan yang diutamakan.

Walaupun WMS adalah projek Singapura, timbul persoalan sama ada ia patut menerima sumbangan dari luar negara jika ada, dan apakah implikasinya?

Ini pandangan Encik Suhaimi: "Saya fikir menerima sumbangan asing boleh meningkatkan jumlah dana yang tersedia untuk projek-projek WMS. Ia boleh membuka pintu kepada peluang kerjasama antarabangsa dan juga rangkaian global.

"Ia juga dapat meningkatkan profil WMS di peringkat antarabangsa serta membantu menarik perhatian kepada projek dan usaha yang dilakukan oleh WMS.

"Namun, menerima sumbangan asing juga boleh menimbulkan beberapa isu keselamatan. Maka itu, sumber sumbangan harus diselidik secara teliti, sesuai dengan peraturan perundangan mengenai antipengubahan wang haram dan pembiayaan pengganasan."

Pada akhirnya, kata Encik Suhaimi, keputusan yang dibuat haruslah demi kepentingan masyarakat Melayu/Islam Singapura.
Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan