Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

analisisBERITA: WFL beri jaminan tiada tempat untuk diskriminasi di SG

Rang Undang-Undang Keadilan di Tempat Kerja (WFL) sudah diluluskan pada Rabu (8 Jan) dan diharap membina tempat kerja yang adil dan harmoni.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Rang Undang-Undang Keadilan di Tempat Kerja (WFL) sudah diluluskan pada Rabu (8 Jan) dan diharap membina tempat kerja yang adil dan harmoni.

Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia merangkap Pertahanan Zaqy Mohamad berkata rang itu suatu jaminan bahawa "tiada tempat untuk diskriminasi" di Singapura.

Di bawah WFL, majikan kini dilarang daripada membuat keputusan mengenai menggajikan seseorang pencari kerja, penilaian prestasi, latihan, kenaikan pangkat dan pemecatan. Ini berdasarkan lima kategori ciri iaitu (a) usia; (b) kerakyatan; (c) jantina, status perkahwinan dan kehamilan serta tanggungjawab sebagai penjaga; (d) kaum, agama serta keupayaan bahasa; (e) serta ketidakupayaan dan keadaan kesihatan mental.

Sebab-sebab tersebut, kata Encik Zaqy, membentuk 95 peratus daripada jumlah aduan melibatkan diskriminasi yang diterima oleh Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil dan Progresi (TAFEP) dan Kementerian Tenaga Manusia (MOM).

CONTOH ADUAN DISKRIMINASI YANG LAZIM DITERIMA

Dalam wawancara bersama BERITA Mediacorp, Encik Zaqy berkongsi antara contoh-contoh aduan melibatkan diskriminasi yang biasa diterima.

"Jika seorang pencari kerja yang ditemu duga untuk suatu pekerjaan seperti di bengkel prasekolah misalnya. Apabila beliau mengatakan bahawa beliau berusia lebih 50 tahun dan si penemu duga mengatakan bahawa pihaknya memerlukan seseorang yang lebih muda atas sebab ia sebuah prasekolah dan memerlukan seseorang lebih bertenaga. Ini dikatakan diskriminasi oleh kerana dia tidak dipertimbangkan berdasarkan merit dan kelayakan dan juga dikirakan sebagai seorang yang berumur. Jadi bagi kami, ini tidak boleh diterima," kata beliau.

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri
Memberi contoh kedua, Encik Zaqy menyebut seorang pencari kerja yang menjalani temu duga bagi jawatan sebagai seorang eksekutif di sebuah firma.

Beliau mungkin seorang rakyat Singapura yang mempunyai kelayakan, kepakaran teknikal dan semua keperluan yang dikehendaki. Tetapi tidak diterima.

"Oleh kerana si penemu duga lebih percaya kepada seseorang yang sama kerakyatan dengannya ataupun tidak mempertimbangkan rakyat Singapura, tapi mahukan seorang lain. Ini juga boleh dianggap sebagai diskriminasi," terang beliau.


Encik Zaqy kemudian berkongsi satu lagi contoh seorang majikan yang mengambil pekerja yang berbangsa atau beragama yang sama atas sebab-sebab keselesaan. Tetapi tidak menimbangkan merit mahupun kepakaran mereka.

Jadi di sini, WFL akan memberikan panduan dan perlindungan untuk memastikan pekerja dinilai berdasarkan merit dan kelayakan, bukan berdasarkan ciri-ciri yang tidak relevan.

Namun, Encik Zaqy berkata ada situasi tertentu di mana keperluan unik sesuatu jawatan pekerjaan membolehkan pengecualian, seperti pekerjaan membawa senjata api, yang memerlukan kesihatan mental yang baik.

TIDAK BOLEH AMBIL RINGAN SITUASI WALAU ADA KEMAJUAN

Encik Zaqy menekankan Singapura sudah mencapai kemajuan dalam menangani diskriminasi di tempat kerja serta mewujudkan persekitaran yang lebih adil dan harmoni.

Ini jelas kelihatan menerusi jumlah aduan mengenai diskriminasi yang menunjukkan trend merosot sejak 2022.

"Hari ini, kita mempunyai suasana tempat kerja yang baik, di mana kita melihat kebanyakan majikan menjaga dan memelihara pekerja kita dengan baik dan adil.

"Jika dilihat trend seperti dalam sedekad lalu, dari 2014 hingga ke 2021, purata aduan dianggarkan sebanyak 379 setiap tahun. Pada 2022, jumlah itu turun kepada 264 dan pada 2023, kita melihat jumlah itu turun lagi kepada 220," kongsi Encik Zaqy.

Walaupun Singapura sudah mencapai kemajuan dari segi menangani diskriminasi di tempat kerja, Encik Zaqy memberi amaran supaya perkara itu tidak diambil ringan.
(Gambar: iStock)
Maka itu, WFL menyediakan lebih banyak perlindungan terhadap pekerja yang tampil membuat aduan mengenai diskriminasi di tempat kerja, dan pada masa yang sama, menggalak pekerja dan majikan menghuraikan isu secara damai.

PERLINDUNGAN BAGI PEKERJA YANG BUAT ADUAN

Selain diwajibkan untuk menyiasat dan menyemak aduan yang dibuat, majikan juga perlu melaksanakan proses 'grievance handling' atau pengendalian rungutan yang memastikan identiti pengadu dilindungi.

"Apa yang penting adalah kita mempunyai proses pengendalian rungutan di mana di dalam syarikat itu, kita mempunyai pelbagai peraturan daripada TAFEP (Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil dan Progresif), di mana kita menyediakan sumber-sumber untuk majikan membuat pengendalian rungutan ataupun mempunyai proses untuk mendengar, untuk cuba menyelesaikan masalah itu dengan pekerja tanpa memasuki perantaraan.

"Jika ia tidak dapat diselesaikan, kita boleh melibatkan TAFEP dan cuba menyelesaikannya melalui perantaraan. Jika ia tidak dapat dihuraikan melalui perantaraan dengan TAFEP, ia boleh dirujuk kepada Tribunal Tuntutan Pekerjaan (ECT). Terdapat pelbagai keputusan yang boleh dijatuhkan oleh ECT. Ini adalah salah satu ciri WFL," jelas Encik Zaqy.

Pada akhirnya, Encik Zaqy berkata adalah penting untuk mengekalkan kepercayaan antara majikan dengan pekerja.

PENDIDIKAN SEBAGAI PENDEKATAN TANGANI DISKRIMINASI

Walaupun Rang Undang-Undang Keadilan di Tempat Kerja menyediakan perlindungan tambahan, lebih banyak lagi yang boleh dilakukan demi menangani diskriminasi di tempat kerja.

Satu faktor penting dalam usaha terus mewujudkan keadilan di tempat kerja adalah pendidikan.

Menurut Encik Zaqy, setakat ini, kebanyakan kes yang dilihat dapat diselesaikan menerusi perantaraan.

Kebanyakan kes disebabkan oleh salah faham antara majikan dengan pekerja, kata beliau, termasuk dari segi apa yang dibolehkan undang-undang atau peraturan.

"Jika boleh, kita mahu meningkatkan kesedaran (syarikat-syarikat) di mana berdasarkan pengalaman kami, kebanyakan kes-kes aduan selalunya disebabkan oleh seseorang majikan, pemimpin dalam syarikat ataupun pengurus yang mungkin tidak memahami undang-undang di Singapura.

"Kita mahu membawa kesedaran kepada mereka dan kita mahu memberi sumber (kepada mereka).

"Dengan kemasukan undang-undang WFL ini, kita juga mempunyai peluang untuk membawa pendidikan lebih kepada syarikat-syarikat besar ataupun lebih kecil," ujar Encik Zaqy.

SEJAUH MANA WFL SESUAI BAGI ISU LIBATKAN AGAMA?

Soal diskriminasi dan fleksibiliti dalam soal keagamaan, termasuk fleksibiliti untuk menyertai solat Jumaat dan memakai tudung semasa bekerja, turut menjadi pertimbangan.
Seorang wanita di Singapura kelihatan memakai tudung (Gambar: Nuria Ling/TODAY)
Isu itu ditimbulkan Anggota Parlimen Parti Pekerja Faisal Manap dalam sesi parlimen.

Berucap kepada Parlimen pada Rabu (8 Jan), Datuk Bandar Daerah Tenggara Mohd Fahmi Aliman berkata cara terbaik adalah mengendalikannya secara kolektif dan sensitif, bukan menerusi tuntutan diskriminasi.

"Kami bimbang tentang pendekatan yang dicadangkan – untuk menyelesaikan isu sensitif ini melalui tuntutan diskriminasi di bawah perundangan. Pendekatan berasaskan tuntutan mungkin tidak mencukupi untuk menangani sensitiviti isu yang terlibat, di luar individu yang terjejas.

"Menyelesaikan isu melalui tuntutan diskriminasi di bawah perundangan tidak akan membawa kepada matlamat untuk mencapai tempat kerja yang harmoni, pelbagai dan
produktif untuk menggerakkan ekonomi Singapura," kata Encik Fahmi.

Akta Keadilan di Tempat Kerja dijangka dilaksanakan pada 2026 atau 2027.
Sumber : BERITA Mediacorp/AI/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan