Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

analisisBERITA: Usaha dipergiat untuk galak lebih ramai sertai SG Lebih Sihat, terutama masyarakat Melayu

Anggaran Waktu Membaca:
Ramai yang tentunya sudah maklum tentang program SG Lebih Sihat.

Sepanjang 2024 ini, usaha bakal dipertingkat bagi menggalak penyertaan, termasuk dalam kalangan masyarakat Melayu.

Ini memandangkan pendaftaran yang dilaporkan masih rendah, berbanding kadar nasional. Namun, apakah antara hambatannya?

Doktor keluarga dan pemilik klinik Bartley, Dr Hishamuddin Badaruddin, berkongsi pengamatan beliau dalam analisisBERITA.

PENDEKATAN BARU PROGRAM KESIHATAN NEGARA

Pencegahan, dan bukan rawatan.

Inilah matlamat dasar program kesihatan nasional, SG Lebih Sihat atau 'HealthierSG'.

Ini memerlukan perubahan sikap dan minda dari sudut bagaimana setiap warga menjaga dan menitik beratkan kesihatan masing-masing.

Ia juga dapat bantu mengurangkan biaya kos rawatan perubatan, selain memudahkan jagaan berterusan dan disesuaikan kepada keperluan setiap pesakit, kata Dr Hishamuddin.

"Ada empat asas inisiatif. Pertama, ia bertujuan untuk mewujudkan hubungan yang boleh dipercayai dan berterusan sepanjang hayat antara rakyat Singapura dengan doktor keluarga mereka. Kita akan terus dijaga oleh seseorang doktor yang mengetahui tentang kesihatan kita. Kedua, subsidi yang dipertingkatkan untuk kesihatan pencegahan. Ketiga, pelan kesihatan berbentuk peribadi dengan sasaran,nasihat dan rawatan disambungkan kepada pelbagai aktiviti gaya hidup sihat. Keempat adalah kaedah digital. Inisiatif ini memanfaatkan kaedah digital untuk meningkatkan teknologi dalam jagaan kesihatan dan memanfaatkan analisis data, termasuk alatan digital mudah alih seperti ‘Healthhub’ dan ‘Healthy365’."

'HEALTHIERSG' TERIMA SAMBUTAN MENGGALAK SEKTOR PRIVET

<<pic: patient at clinic>>

Lebih 90 peratus klinik privet kini bergabung dalam program SG Lebih Sihat, termasuk klinik Bartley.

Ini memandangkan pelbagai kemudahan yang boleh diraih para penduduk berhampiran jika mereka berdaftar dengan program tersebut, kata Dr Hishamuddin.

"Antaranya adalah, mulai awal 2024, pesakit CHAS, Generasi Merdeka, Generasi Perintis, mereka boleh menikmati ubat kronik dari klinik GP dengan harga setanding dengan poliklinik. Jadi tidak perlu pergi ke poliklinik, pergi ke klinik GP yang menyertai SG Lebih Sihat dan harga ubat itu akan sama dengan harga di poliklinik. Antaranya juga Medisave tanpa memerlukan pembayaran tunai untuk rawatan penyakit kronik. Jadi ini adalah subsidi-subsidi yang amat menarik."

600,000 WARGA SUDAH DAFTARKAN DIRI SETAKAT DIS 2023

Walaupun SG Lebih Sihat tawarkan pelbagai kelebihan, Dr Hishamuddin akur, masih terdapat sebilangan penduduk yang belum bersedia untuk mendaftar.

Beliau berkongsi pengalaman semasa merawat para pesakit di kliniknya.

"Alasan-alasan yang selalu saya dengar adalah satu...masa. Mereka tidak punyai masa. Atau belum faham lagi, kerana sibuk. Juga kata mereka, perlu berbincang dengan ahli keluarga. Dari sudut pihak doktor pula, mendaftarkan pesakit ke dalam SG Lebih Sihat kadang-kadang ambil masa lebih daripada 30 minit dan ini adalah tekanan untuk doktor kerana kita tidak suka kalau para pesakit yang perlu jumpa doktor, terpaksa menunggu lebih lama.
Tapi ini tidak sepatutnya tidak menghalang kita daripada bercakap dengan para pesakit untuk menyertainya. Saya rasa ini adalah penting kerana ini bukan inisiatif buat sementara, ini inisiatif seumur hidup dan akan meningkatkan lagi mutu hidup mereka."

PENYERTAAN KAUM MELAYU DI BAWAH KADAR NASIONAL
Dari Kiri: Suriani Abdul Rashid, Buang Ahmad Bakri, Norhaya Muhammad Ariffin, Sadiah Binti Ahmad Bakri. (Gambar: Nurfazirah Azman)
Turut menjadi keprihatinan, pendaftaran di kalangan kaum Melayu yang masih rendah.

Oktober lalu, Menteri Kesihatan Ong Ye Kung mendedahkan bahawa kadar pendaftaran bagi SG Lebih Sihat di kalangan penduduk Melayu adalah 11 peratus, lebih rendah berbanding kadar nasional iaitu 15 peratus.

Walaupun ramai yang sedar, kesihatan adalah satu amanah yang harus dijaga, terdapat beberapa faktor yang menghambat, terang Dr Hishamuddin.

"Pertama, faktor sosio-ekonomi. Memang kaum Melayu pada majoritinya punya pendapatan rendah dan mungkin menghadapi lebih banyak cabaran dalam mengakses perkhidmatan penjagaan kesihatan pencegahan. Kedua, mungkin terdapat kekurangan kesedaran tentang program SG Lebih Sihat dan cara mendaftar untuknya. Proses memohon bantuan juga boleh membingungkan sesetengah pihak. Ketiga, saya rasa program kesihatan perlu sesuai dari segi budaya untuk melibatkan kaum Melayu secara berkesan. Masyarakat Melayu mungkin bertindak balas dengan lebih baik jika inisiatif kesihatan mengambil kira amalan budaya dan kepercayaan kita."

Trend ini tentunya membimbangkan, lebih-lebih lagi memandangkan perangkaan agak tinggi beberapa penyakit kronik di kalangan orang Melayu, berbanding kaum-kaum lain.

Jika baru ingin bertindak selepas jatuh sakit, mungkin agak terlambat. Kata orang, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna, kata Dr Hishamuddin.

"Memang ada 'tidak sync', masyarakat Melayu menghidapi penyakit kronik lebih tinggi, tetapi pendaftaran untuk SG Lebih Sihat rendah. Dari pendapat saya, pihak-pihak, badan-badan Melayu dan anggota masyarakat harus ke hadapan dan bekerjasama dengan pihak-pihak kesihatan seperti Kementerian Kesihatan (MOH) ataupun Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) ataupun Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC). Contohnya, membuatkan pameran bergerak, lebih banyak lagi program-program kesedaran seperti yang mana di kelab-kelab masyarakat ataupun di tempat-tempat masyarakat Melayu sering di sana seperti Wisma Geylang."


USAHA RANGKUL GAYA HIDUP SIHAT & AKTIF DIPERTINGKAT
 
Menteri Kedua Kesihatan Masagos Zulkifli bersama Setiausaha Kanan Kesihatan merangkap Undang-undang, Rahayu Mahzam di Festival Keluarga Saham Kesihatan M³. (Gambar-gambar: HPB)
Perlu diakui, para pemimpin politik serta badan-badan Melayu sejak sekian lama sudah mengorak pelbagai langkah bagi menggalakkan amalan serta gaya hidup lebih sihat dan aktif.

Antaranya, program Saham Kesihatan di bawah bidang tumpuan kelima M3, serta perluasan rangkaian Jaga Kesihatan, Jaga Ummah atau JKJU.

Dengan peningkatan usaha sedemikian sepanjang 2024, semoga lebih ramai terdorong untuk menyertai gerakan SG Lebih Sihat, kerana mencegah tentunya lebih baik daripada mengubati.

Namun Dr Hishamuddin mengingatkan, pendaftaran itu hanya tahap permulaan. Justeru sama penting, adalah langkah seterusnya.

"Pertama, pilih klinik SG Lebih Sihat anda dari senarai klinik HealthierSG. Kedua, tempah perundingan pelan kesihatan pertama anda dengan doktor di klinik itu. Perundingan itu akan diberikan subsidi sepenuhnya. Ketiga, berbincang dengan doktor keluarga itu untuk membuat pelan kesihatan peribadi. Keempat, mengikuti plan kesihatan itu dengan sepenuhnya. Jika lebih ramai lagi masyarakat Melayu kita mengikuti inisiatif SG Lebih Sihat ini, Insya Allah kita akan dapat menurunkan jumlah pesakit kronik dalam kalangan kaum Melayu kita. Inilah impian saya untuk 4 atau 5 tahun yang akan datang."
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan