Skip to main content

Singapura

analisisBERITA: Umrah di tengah-tengah perang berterusan di Timur Tengah - Apakah kesannya?

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Dengan perang di Timur Tengah dijangka berterusan, kelancaran perjalanan umrah kini menjadi keprihatinan.

Ratusan jemaah Singapura kini berada di Arab Saudi bagi umrah 10 hari terakhir Ramadan.

Menjelang Syawal, dapatkah mereka pulang ke tanah air dengan selamat?

Bagaimana masa depan ibadah tersebut, sekiranya perang di Timur Tengah berpanjangan?

LANGKAH-LANGKAH KESELAMATAN

Perang Amerika-Israel dan Iran tercetus di tengah-tengah kesibukan umat Islam yang berpusu-pusu ke tanah suci bagi ibadah umrah.

Awal bulan Mac, lebih 150 jemaah Singapura tetap meneruskan perjalanan umrah mereka setelah pihak GSA memperkenalkan langkah-langkah untuk memastikan keselamatan jemaah diutamakan.
Related article image
Lebih 150 jemaah Singapura tetap meneruskan perjalanan untuk menunaikan umrah pada awal Mac 2026. (Gambar: BERITA Mediacorp)
Berikut butiran yang dikongsi Pengarah Urusan Shahidah Travels, Ayoob Anggulia,

"Kalau ada keadaan yang tidak diingini di sana, dan pemerintah mahu rakyat pulang ke tanah air, sudah tersedia pelan agar para jemaah mengikut arahan ketua rombongan dan pergi ke tempat yang telah diarahkan oleh pihak kedutaan Singapura atau Kementerian Ehwal Luar (MFA) dan bersedia untuk pulang ke Singapura."

Encik Ayoob menambah sekiranya para jemaah perlu menginap di hotel bagi menunggu penerbangan pulang, mereka perlu menanggung perbelanjaan itu sendiri - sesuatu yang beliau dakwa sudah dipersetujui para jemaah sebelum mereka berangkat.

"Semua butiran jemaah umrah Singapura, ada dalam senarai pendaftaran MFA dengan lokasi jemaah dan bila mereka akan berangkat pulang dicatatkan" tambah Encik Ayoob,

PERLINDUNGAN INSURANS

Daripada ratusan jemaah umrah Singapura yang kini berada di Saudi, sebilangannya akan beraya di Makkah atau Madinah sebelum berangkat pulang ke tanah air selepas 1 Syawal.

Dalam suasana tidak menentu sekarang, insurans perjalanan adalah satu lagi aspek penting, walaupun dengan perlindungan yang terhad.

Encik Ayoob berkongsi, dalam keadaan perang, semua insurans tidak akan menawarkan perlindungan, dari segi pembatalan atau penangguhan pesawat.

Namun yang penting, perlindungan perubatan tetap berkuatkuasa dengan kesihatan jemaah diutamakan.

HANYA SATU PENERBANGAN LANGSUNG KE JEDDAH

Dari sudut perjalanan udara pula, syarikat Saudia Airlines adalah satu-satunya syarikat yang menawarkan penerbangan langsung antara Singapura dengan Jeddah.

Ini sedang penerbangan syarikat Scoot dan SIA ke Timur Tengah masih digantung sehingga 28 Mac.
Related article image
Pesawat Singapore Airlines di landasan Lapangan Terbang Changi pada 3 Mac 2016. (Gambar fail: REUTERS/Edgar Su)
Lantas, pihak Saudia dilaporkan mula menawarkan promosi bagi menarik lebih ramai penumpang.

"Saudia Airlines menawarkan destinasi di banyak negara luar daripada Jeddah. Lapangan terbang di kota Saudi itu kini digunakan sebagai titik transit atau persinggahan ke Eropah dan pelbagai negara lain."

Pemilik Shahidah Travels itu menjelaskan, ini memandangkan Dubai dan Doha, yang sebelum ini menjadi transit utama ke Saudi dan Eropah, masih belum pulih sepenuhnya akibat perang.

Akibatnya, ramai jemaah umrah yang menggunakan penerbangan syarikat seperti Emirates dan Qatar Airways telah terjejas dan mereka membatalkan perjalanan umrah Ramadan mereka.

Menurut laporan Arab News, ini menyebabkan banyak tempahan bilik hotel di sekeliling Makkah dibatalkan pada saat-saat akhir.

KEADAAN MAKKAH & MADINAH TETAP SESAK

Namun begitu, keadaan di Makkah dan Madinah dilaporkan masih sesak seperti biasa dan para jemaah dari merata dunia sibuk menjalankan ibadah pada hari-hari terakhir Ramadan.

Menurut jemaah umrah Singapura, Abdul Azis Ahmad, keadaan di kota Makkah begitu sesak tetapi semua berjalan lancar.

Seorang lagi jemaah Singapura, Khairil Anuar berkata walaupun peperangan sedang berlaku, mereka berasa selamat di Makkah.

Bagi Cik Habiba Syed Ahmed pula, terdapat ramai jemaah dari seluruh dunia yang ke Makkah. Namun mereka tetap ada tempat ruang solat, mereka juga berasa selamat melakukan tawaf selain berasa tenang.

PERJALANAN UMRAH PADA SYAWAL

Maka tidak hairanlah, masih terdapat jemaah Singapura yang akan berangkat mengerjakan umrah pada bulan Syawal nanti, kongsi Encik Ayoob.

"Ada jemaah yang ingin berangkat dan saya sendiri akan berangkat pada 28 haribulan Mac selepas mendapati banyak penerbangan sudah penuh."

Namun tegas Encik Ayoob, sebagai anggota AMTAS, pihak GSA sentiasa mematuhi arahan dari pihak persatuan dan MFA yang memberikan panduan.

Beliau memberi jaminan, bagi perjalanan umrah seterusnya, mereka akan tetap mengutamakan keselamatan jemaah dan mematuhi apa saja arahan pihak berkuasa.
Sumber : BERITA Mediacorp/AA/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita