Skip to main content

Singapura

analisisBERITA: Tiada siapa kebal radikalisme tapi apa cirinya hingga mudah terpengaruh?

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Awal minggu ini, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) mengumumkan tiga individu yang menjadi radikal secara sendiri dikenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Dalam kalangan mereka ialah suri rumah warga Singapura, Hamizah Hamzah, berusia 56 tahun.

Dia dikenakan Arahan Sekatan (RO) bulan lalu setelah menjadi radikal angkara konflik Israel-Hamas.
Persoalannya, bagaimana profil sedemikian boleh menjadi radikal?

Apakah keadaan persekitaran atau unsur-unsur yang bermain di minda dan benak hati individu sehingga membawanya untuk berfahaman lampau?

Setiausaha dan Kaunselor Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Dr Mohamed Feisal Mohamed Hassan, berkata pendedahan kepada deras maklumat menerusi wadah online - dalam kes suri rumah itu, mengenai gejolak politik di Timur Tengah yang membinasakan penduduk Gaza - boleh menjentik emosi individu sehingga dia berasa terdorong untuk membuat perubahan.

Beliau berkata kandungan yang diambil itu, seperti dalam bentuk gambar dan video, serta pendedahan secara berterusan kepada berita berunsur negatif boleh merangsang emosi pengguna yang kemudian mendorongnya untuk bercita-cita membuat suatu perubahan.

"Namun dalam keinginan mereka tersebut, mereka tidak dapat membezakan naratif-naratif ekstremisme, naratif radikalisme yang membawa ataupun memudahcarakan isu-isu global politik, isu-isu yang amat kompleks.

"Puak-puak radikal ini, mereka kadang-kadang memudahcarakan begini sehinggakan dengan tujuan ingin menarik individu-individu sebegini, yang mereka itu tertekan dengan maklumat-maklumat dan sebagainya, untuk sebenarnya bersama-sama menambahkan golongan radikal itu sendiri, bukan memberi jawaban kepada masalah yang sedang dihadapi," ujar Dr Mohamed Feisal, yang juga Zamil Penyelidik di Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam (RSIS).

Kepesatan teknologi dan akses kepada kandungan yang tersedia cuma di wadah online, kata Dr Mohamed Feisal, bermakna sesiapa sahaja boleh menjadi radikal.

Maka ia bukan tentang profil individu yang menjadi radikal tetapi sebaliknya, tegas beliau, adalah cara masyarakat menerima dan mengemudi maklumat yang didapatkan secara online mahupun daripada sumber-sumber lain agar tidak terjerumus ke kancah ekstremisme.


"Yang perlu kita betul-betul fahami adalah tidak ada satu profil yang tetap - dia begitu atau dia begini. Tapi yang kita lihat ada beberapa perkataan orang putih itu 'vulnerabilities' atau kerentanan. Jadi kerentanan ini termasuk seperti bagaimana kita menganalisis informasi, contohnya. Bagaimana kita mengisi kekosongan. Isu-isu seperti ini perlu kita mengambil sebagai isu yang penting dalam kita menangani kemampuan puak-puak yang radikal dan ekstrem ini untuk menarik seseorang ke dalam kancah mereka.

"Jadi itu sebagai permulaan untuk kita memahami bahawa kerentanan yang beginilah yang mungkin dapat membawa seseorang untuk merasakan minat untuk mengetahui lebih tentang isu-isu radikal dan sebagainya," kata Dr Mohamed Feisal.

Suri rumah yang dikenakan RO itu seorang penyokong tegar operasi ketenteraan Paksi Penentangan atau 'Axis of Resistance', iaitu sebuah rangkaian pertubuhan militan yang menentang Israel dan Amerika Syarikat.

Dia kerap membaca kandungan tentang penderitaan warga Palestin dan mewajarkan tindakan ganas anggota paksi itu serta memuat naik kandungan yang mengagungkan keganasan bersenjata dan mati syahid.

Walapun dia tidak berniat untuk membabitkan diri dengan keganasan bersenjata, ISD menyatakan sokongan padu wanita berkenaan terhadap AOR dan operasi ganasnya serta kesediaan wanita itu untuk menyebarkan propaganda tersebut menjadikannya satu keprihatinan terhadap keselamatan Singapura.

PERLU RASIONAL, BIJAK TANGANI EMOSI

Nasib yang menimpa Gaza dan masa depannya terus menjadi perhatian dunia.

Lagikan pula sekarang timbulnya percaturan politik baharu setelah Presiden Trump mencanangkan ura-ura bagi Amerika Syarikat mengambil alih wilayah Palestin itu dan "memindahkan" rakyatnya dari tanah air sendiri.

"Kita harus memerhatikan, menyaksikan perubahan-perubahan secara politik yang sedang diadakan di sana dalam sudut bentuk yang amat perlu dikaji dengan rasional, dengan jiwa yang lebih tenang daripada kita cepat bereaksi terhadap sesuatu kenyataan yang dikeluarkan pada satu hari.

"Sebab setiap kenyataan yang kini sedang dikeluarkan adalah suatu kenyataan yang sedang dipelajari untuk dijadikan polisi terhadap bagaimana mereka ingin mencapai jalan keluar," jelas Dr Mohamed Feisal.

Pucuk pangkalnya, di pihak individu, sikap ekstrem dan mengangkat senjata bukan huraian dalam menghadapi isu geopolitik seperti isu Gaza.

Dr Feisal menekankan pentingnya untuk individu pandai menangani emosi kerana jika perasaan mengarah kepada tingkah laku yang berbaur permusuhan dan keganasan, ia boleh menggugat keharmonian Singapura, yang sepatutnya dijaga bersama.
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita