analisisBERITA: Tanda-tanda stres peperiksaan berlebihan perlu diperhatikan pada anak anda

(Gambar: iStock)
BERITA Mediacorp: Stres peperiksaan ataupun "exam stress" mungkin adalah antara kata-kata yang kita sering dengar sedang pelajar tempatan kita menimba ilmu dalam persekitaran yang kompetitif.
Ini tidak menghairankan setelah satu kajian Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) pada 2017 mendapati bahawa 76 peratus pelajar di Singapura berasa "sangat cemas" menjelang peperiksaan, walaupun sudah cukup bersedia untuk mendudukinya.
Perangkaan ini jauh lebih tinggi berbanding purata OECD iaitu 55 peratus.
Malah, 86 peratus pelajar Singapura bimbang mendapat gred rendah, sedangkan purata OECD ialah 66 peratus.
Ini jelas menunjukkan bahawa stres yang dihadapi pelajar Singapura cukup tinggi dan stres jika tidak ditangani dengan betul boleh menjejas keputusan peperiksaan.

SIMPTOM TEKANAN PEPERIKSAAN BERLEBIHAN
Bagi kaunselor dari BAY's Training Consultancy (BTC), Dr Bibi Jan Ayyub, ada beberapa simptom yang menunjukkan seseorang pelajar sedang mengalami tekanan peperiksaan berlebihan.
Ini termasuklah apabila pelajar:
1. Menjadi mudah tersinggung atau lebih sensitif terhadap kritikan
2. Sukar untuk fokus kepada pembelajaran atau tugasan
3. Mempamerkan perasaan cemas atau tegang yang berterusan
4. Bertambah perasaan putus asa atau putus harapan terhadap prestasi mereka dalam peperiksaan
"Kalau dia sendiri tidak mengesan perubahan yang berlaku dari segi fizikal, minda, psikologi, jadi maknanya dia sendiri tidak dapat mengetahui bahawa dia dalam keadaan kecemasan dan sebab itu, mengetahui diri sendiri sangat penting bagi seseorang pelajar," tekan Dr Bibi Jan.
Beliau turut menerangkan bagaimana kadangkala para pelajar akan mempunyai tanda-tanda psikosomatik di mana mereka rasa sakit kepala, sakit tengkuk dan sakit perut dan penting bagi pelajar-pelajar ini mempunyai kesedaran diri tentangnya.
"Ini memang bukan dibuat-buat, ini merupakan respons fizikal kerana stres yang amat sangat dan kalau pelajar mengalami perubahan-perubahan fizikal dan mental seperti ini, dia boleh bertemu dengan ibu bapanya atau kaunselor di sekolah," tambah Dr Bibi Jan lagi.
GEJALA PENGELAKAN
Menurut pemerhatian Dr Bibi Jan, yang lebih 40 tahun berpengalaman sebagai guru dan kaunselor sekolah, ekoran tertekan, pelajar juga mungkin menunjukkan "gejala pengelakan".
Seseorang pelajar itu mungkin akan cuba mengelak daripada peperiksaan atau tugasan, atau tidak datang ke sekolah sama sekali.
SIKAP SENANG PUTUS ASA
Dr Bibi Jan turut menerangkan tentang sikap senang putus asa dan putus harapan dalam kalangan pelajar Melayu.
"Belum masuk peperiksaan sudah putus asa, itu sedih bagi saya, belum ujian, mereka tahu mereka akan gagal," ujar beliau.
Maka itu, Dr Bibi Jan berpendapat, ibu bapa boleh memainkan peranan penting dalam mempersiapkan keadaan fizikal dan minda para pelajar, kerana guru-guru hanya dapat menyediakan persiapan akademik.
"Anak-anak Melayu kita tidak mempunyai sikap mencari bantuan yang baik jadi apabila mereka tidak mempunyai masalah, mereka tidak mahu cari, lebih-lebih lagi kalau sudah lambat-lambat, di tahap-tahap akhir, mereka fikir bahawa mereka akan gagal dan mendapatkan bantuan pun tiada bezanya," jelas Dr Bibi Jan,
Lantaran itu, amat penting untuk mempertingkatkan daya bingkas atau "state of resilience" dalam kalangan pelajar kita.
AMALAN BELAJAR HINGGA LARUT MALAM
BERITA Mediacorp juga mendapatkan pandangan Dr Bibi Jan sama ada amalan belajar sehingga larut malam adalah amalan yang tidak memanfaatkan.
Menurut beliau, kita tidak boleh membuat andaian bahawa semua pelajar akan terjejas jika berbuat demikian kerana ada pelajar yang berupaya berbuat demikian.
Sungguhpun demikian, beliau tidak menggalakkan pelajar untuk mengorbankan waktu tidur semasa menjalani peperiksaan.
"Kadang-kadang kita dapati bahawa ada anak, kerana mereka kurang tidur pagi hendak pergi sekolah lambat, jadi di situ sudah kelam-kabut dan bila kelam-kabut untuk masuk kelas, untuk menghadapi peperiksaan dalam dewan, ini akan mewujudkan satu suasana keraguan dalam diri sendiri," kata Dr Bibi Jan.
Rasa kurang yakin ini, pada pendapatnya, boleh menjejas keberkesanan pencapaian pelajar semasa menghadapi peperiksaan.
BAGAIMANA UNTUK KAWAL STRES?
Kaunselor sekolah yang baharu bersara ini turut memberikan saranannya tentang beberapa kaedah untuk menangani dan mengawal rasa tertekan dan stres menjelang peperiksaan, demi memastikan pelajar berada dalam keadaan optimum untuk menjawab soalan peperiksaan.
"Kadang-kadang anak-anak kita selalu tidak memperhalusi soalan dengan rapi dan betul," katanya.
Oleh itu, mempunyai kemahiran peperiksaan yang baik, penting baginya.

"Ada pelajar yang mendapat markah yang tinggi mungkin tidak belajar sebanyak pelajar lain, tapi dia mempunyai keupayaan menjawab soalan dengan tepat, khusus dan ringkas," jelasnya.
Kemahiran peperiksaan yang baik, menurut Dr Bibi, berupaya merangsang markah yang akan diperolehi pelajar.
Kesimpulannya, Dr Bibi Jan menekankan bahawa guru-guru hanya mampu memberikan sokongan dari segi akademik, tetapi ibu bapa dan para pelajar sendiri perlu mempersiapkan diri mereka dari segi fizikal dan mental.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.