analisisBERITA: Taman Warisan Melayu berwajah baharu pemangkin bagi pelestarian budaya & tradisi Melayu SG?
Pusat budaya itu diharap dapat menjadi pemangkin bagi usaha melestarikan warisan dan tradisi orang Melayu Singapura.
Persoalannya, adakah tugas merancakkan budaya dan warisan Melayu wajar dipikul TWM sahaja?
Dan sejauh mana ini menandakan pelestarian mendalam identiti Melayu Singapura?
Selain memaparkan sejarah serta perkembangan pelbagai suku rumpun Melayu di Singapura, pusat budaya itu juga membawa pengunjung menelusuri kejayaan demi kejayaan yang diraih masyarakat Melayu Singapura.
Kesemua ini disajikan dalam bentuk yang lebih segar dan dinamik, kongsi Dr Imran Tajudeen yang turut hadir di majlis pelancarannya.
"Ada beberapa ciri baharu yang agak menarik yang mungkin dari segi pemaparan kolonialisme secara kritis dan juga bagaimana masyarakat dan kebudayaan Melayu pada satu waktu dahulu dipaparkan. Satu lagi yang sangat dialu-alukan ialah penglibatan wanita Melayu di dalam sejarah dan pelbagai bidang budaya, ekonomi dan seterusnya," kata Dr Imran.
Selain itu, cara pelbagai artifak dan informasi dipersembahkan turut menambah daya tarikan TWM kepada para pengunjung, tambah Dr Imran.
"Beberapa pameran yang menggunakan aspek digital dan juga interaktif media. Jadi, ini salah satu usaha untuk merangsang pelibatan pengunjung, yang dapat membuat beberapa kegiatan yang juga berunsurkan pembelajaran. Jadi, ini salah satu usaha yang baik untuk memupuk minat dan juga cara untuk menarik minat kanak-kanak dan juga penglibatan belia," kata Dr Imran.
Kerencaman budaya orang Melayu SG yang unik perlu ditonjolkan
Ini juga sesuai dengan tema dan mesej cukup simbolik yang disampaikan sempena pelancarannya - 'Dari Rantau Ke Rumah'.
Perkara tersebut turut disentuh Perdana Menteri Lawrence Wong semasa berucap di majlis tersebut.
"Apa yang kita ada hari ini bukan sekadar mana-mana budaya Melayu, tetapi budaya Melayu Singapura. Ia diraih daripada kekayaan alam Melayu yang lebih luas - tradisinya, adat dan kepercayaannya - yang diturunkan daripada rantau ini kepada negara kita dan merentas generasi," kata PM Wong.
Dr Imran akur dengan apa yang dikongsi PM Wong itu, jika dilihat pada sejarah perkembangan masyarakat Melayu di sini.
"Kerana di Singapura, Melayu itu dijadikan sebagai isyarat induk untuk merangkumi kepelbagaian suku-suku yang sudah membaur ke dalam kebudayaan majmuk Melayu di Singapura. Orang Jawa yang paling ramai saya kira. Boyan, ada juga yang ramai, orang Bugis. Jadi, ini suku-suku yang sebetulnya bukannya Melayu tapi kerana di Singapura, sudah membaur menjadi budaya Melayu. Jadi, di situlah keunikannya."
Malah tambah beliau, usaha untuk mengenal pasti jati diri orang Melayu Singapura, telah wujud sejak sekian lama.
"Misalnya, Allahyarham Pak Zubir Said pernah memberikan penafsirannya sendiri melalui lagu 'Orang Singapura' yang diterbitkan di antara 10 buah lagu dalam buku 'Lagu-Lagu Kita'. Jadi, bermakna, usaha untuk membina ataupun untuk melahirkan suatu jati diri yang terbina dari Singapura sendiri itu sudah lama wujud."
Melestarikan budaya Melayu SG tanggungjawab semua, bukan TWM semata
Pelbagai pihak diharap dapat digembleng bagi mencapai matlamat tersebut, termasuk pelbagai pertubuhan Melayu.
"Taman Warisan Melayu harus terus memainkan peranan sebagai salah satu penaung dan peranan untuk menghubungkan pihak-pihak lain. Misalnya, penggiat seni, pencinta sejarah, mungkin Taman Warisan dapat terus mendukung dan menyediakan prasarana untuk kegiatan, persembahan, bengkel dan sebagainya."
Ini terutama dengan semakin pudarnya peranan dan sumbangan badan-badan peneraju utama warisan dan budaya Melayu masa lalu, contohnya Majlis Pusat.
"Yang penting, kalau ada rangkaian jalinan antara satu sama lain, dan juga siapa yang mengolah kesemua kegiatan-kegiatan ini, supaya tidak bertumpang tindih, serta bagaimana ada pengemblengan usaha supaya menyatu dan juga ada kegiatan yang berkesinambungan."
Ini lebih-lebih lagi dengan pelibatan lebih aktif golongan muda, kata Dr Imran.
"Sejak sekitar lima tahun lalu, timbul minat yang meluas di kalangan anak-anak muda dan belia Melayu dalam kebangkitan semula ataupun 'revival' ciri-ciri kebudayaan. Terutamanya minat terhadap fesyen, pakaian atau busana, pemakanan, dan sebagainya. Unsur-unsur warisan Melayu yang penting untuk dikekalkan dalam penafsiran belia dan anak-anak muda ini sangat menarik. Mereka mempunyai cita rasa dan juga semangat tersendiri."
Lantas, beliau berharap, Taman Warisan Melayu dapat berganding dengan bakat-bakat muda ini untuk melestarikan warisan dan budaya Melayu Singapura yang unik dan tersendiri.
"Jadi ada penerus, tetapi penerusan tidak kaku dan tidak terbatas untuk waktu tertentu. Pengolahan yang timbul sekarang wujud di persekitaran Singapura yang sangat global dan sejagat, berbilang kaum, tetapi anak-anak mudanya punya kepekaan terhadap jati diri. Ini walaupun mereka hidup di arus perkembangan yang sangat pesat."
Namun, ia hanya akan berjaya jika semua pihak memainkan peranan masing-masing, tegas beliau.
"Pusat ini milik masyarakat dan kejayaan pusat ini bergantung pada kita semua. Saya harap kita semua akan terus menyokong Taman Warisan Melayu dan menjadikannya ruang yang menghidupkan warisan kita sekali gus memberi inspirasi kepada generasi akan datang."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.