Skip to main content

Singapura

analisisBERITA: Sudah tiba masanya takrifan meritokrasi diperluas; individu harus dinilai secara menyeluruh

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Perdana Menteri Lawrence Wong dalam ucapan sulungnya pagi penggal Parlimen ini menyeru masyarakat untuk berganjak daripada meritokrasi sempit yang berdasarkan gred semata-mata, kepada sebuah meritokrasi yang lebih luas dan lebih inklusif.

Beliau menerangkan, dalam beberapa sektor perkhidmatan awam seperti GovTech, pemerintah tidak lagi membawa masuk bakat berdasarkan keputusan peperiksaan semata-mata, tetapi bakat-bakat baharu akan diuji berdasarkan kemahiran menciptkan kod dan menghuraikan masalah.
MENILAI KEBOLEHAN INDIVIDU SECARA MENYELURUH

Semasa ditemui BERITA Mediacorp Zamil Kanan ISEAS-Institut Yusof Ishak Dr Norshahril Saat berkata, sudah tiba masanya untuk mengorak langkah sedemikian yang disifatkan beliau sebagai satu isyarat positif daripada PM Wong dan pasukan beliau, kerana mengambil kira keperluan semasa.
Related article image
Pelajar dalam bilik darjah di SG. (Gambar: TODAY)
"Kalau kita lihat, keadaan global sekarang ini sudah berubah di mana kita perlukan kemahiran-kemahiran baharu dan ini tidak hanya boleh diukur menerusi pencapaian akademik."

Lantas, ukurtaran lain diperlukan, tambah Dr Norshahril.

"Misalnya kita perlu lihat ketahanan mental seseorang tersebut. Bagaimana seseorang itu berupaya untuk berubah mengikut peredaran zaman dan mungkin satu lagi ukuran lain ialah kebolehan-kebolehan lain di luar bidang akademik," jelas pengamat politik mapan itu.

Justeru dengan memperluaskan lagi takrifan meritokrasi, kebolehan seseorang individu itu dilihat secara menyeluruh.
Related article image
Program pelatih akan menyediakan peluang latihan untuk para lulusan dari Institut Pendidikan Teknikal (ITE), politeknik dan universiti. (Gambar: Mediacorp)
Menurut Dr Norshahril, ini penting kerana kemahiran insaniah seperti sama ada individu itu boleh bekerja secara berpasukan dan cara dia berinteraksi dengan orang lain, tidak boleh dilihat menerusi keputusan peperiksaan dan pencapaian akademik sahaja.

PEPERIKSAAN TUNGGAL TIDAK BOLEH JADI KAYU UKUR KEBOLEHAN PELAJAR

Di samping itu, mentafsir ulang meritokrasi sekali gus bermakna penekanan kepada satu ujian tunggal, contohnya Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE), bagi menentukan kejayaan seseorang pelajar perlu disemak semula.

Langkah ini lebih-lebih lagi penting sedang golongan belia hari ini menurut PM Wong, berasa semakin gelisah, seolah-olah sering terkejar-kejar dari bilik darjah ke tempat kerja.
Related article image
Para pelajar sedang belajar di dalam bilik darjah di Singapura. (Gambar fail: CNA/Raj Nadarajan)
Dr Norshahril berkata, penilaian sedemikian juga tidak adil kerana mengukur keupayaan seseorang itu harus meliputi aspek-aspek lain.

"Peperiksaan itu adalah satu ujian yang dilakukan mungkin pada satu masa, satu tempat dan satu hari. Mungkin kemungkinan besar prestasi seseorang itu tidak mungkin ideal pada hari tersebut. Justeru, kita menghukum seseorang itu berdasarkan kebolehan seseorang itu pada hari tersebut. Jadi kita perlukan satu mekanisme yang lebih menyeluruh untuk menilari seseorang."

MASYARAKAT PERLU BERGANJAK DARIPADA TAKRIFAN KEJAYAAN YANG LAPUK, MESKI SUDAH SEBATI

Namun Dr Norshahril akur, mengukur pencapaian berdasarkan hasil peperiksaan sudah begitu sebati dengan budaya penduduk Singapura, khususnya dalam kalangan ibu bapa.

Sehinggakan, terdapat hierarki ilmu dan pekerjaan, di mana bidang-bidang yang memerlukan markah tinggi dianggap mulia dan bernilai.

Beliau menekankan, inilah cabaran besar yang perlu ditangani jika Singapapura ingin memperluaskan definisi kejayaan dan membangunkan negara secara holistik.

"Kita dibesarkan dengan menyatakan bahawa pekerjaan-pekerjaan seperti kedoktoran ataupun kejuruteraan ataupun menjadi seorang peguam, saintis dan sebagainya, inilah pekerjaan yang dianggap sebagai lebih baik berbanding dengan pekerjaan-pekerjaan lain.

Ini lebih-lebih lagi di dekad-dekad awal pembangunan Singapura, akur Dr Norshahril.

"Kita (juga) terbiasa dengan mengatakan bahawa demi penakatan negara Singapura ini, kita perlu melebihkan subjek-subjek STEM berbanding dengan bukan STEM."
Related article image
Gambar fail pelajar sekolah menengah di Singapura. (Gambar: TODAY)
Lantas, beliau cadangkan, mungkin masanya sudah tiba untuk mengiktiraf bidang-bidang lain yang sama penting.

"Bagaimana mungkin aspek-aspek sastera, kesenian, bidang agama, komunikasi serta sains masyarakat, seperti belajar politik, ekonomi, sosiologi juga sama tarafnya dengan bidang-bidang yang kita anggap sebagai bidang-bidang yang lebih baik.

"Sudahkah kita bersedia untuk mengubah naratif bahawa ekonomi kita ini tidak terkait pada aspek teknologi sains dan kejuruteraan sahaja, tetapi juga boleh merangkumi aspek-aspek lain, dan kita boleh terus maju dan hidup dalam persekitaran yang lebih luas?", soal Dr Norshahril.

JANGAN TERBAWA-BAWA DENGAN RANKING DUNIA, KEBAJIKAN RAKYAT HARUS DIUTAMAKAN

Menyentuh kebimbangan sama ada perubahan landskap pendidikan Singapura yang disarankan boleh menjejaskan mutunya di mata dunia, Zamil Kanan ISEAS-Institut Yusof Ishak itu menegaskan, masyarakat tidak perlu terlalu terbawa-bawa dengan kedudukan atau ranking antarabangsa.

Yang lebih penting, tambah beliau, adalah bagaimana sistem pendidikan memenuhi keperluan masyarakat sendiri serta menyumbang kepada kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita