analisisBERITA: Sudah terlalu lambat untuk bina penguasaan Bahasa Melayu di kalangan anak-anak masa kini?
Matlamatnya adalah menjadikan pengajaran dan pembelajaran Bahasa ibunda lebih berkesan.
Namun begitu, untuk betul-betul memupuk minat pelajar kepada Bahasa Melayu, melibatkan pelbagai pihak, khususnya ibu bapa.
Demikian menurut pendidik dan Pengarah Pusat Bahasa NUSA, Cikgu Hayati Abdullah.
Bermula minggu ini, kohort Darjah 1 akan menggunakan kurikulum baharu Bahasa Ibunda yang memaparkan beberapa ciri baharu.
Ini termasuk lebih banyak penggunaan unsur-unsur gamifikasi, video, muzik dan realiti tambahan demi merangsang penguasaan Bahasa Melayu.
Kaedah interaktif ini diharap menjadikan Bahasa Melayu lebih seronok dan lebih sesuai dengan kanak-kanak hari ini.
Kurikulum baharu yang dirintis di 35 sekolah rendah tahun lalu, direka ekoran hasil dapatan tinjauan yang dilakukan oleh Institut Kajian Dasar (IPS).
Lebih sepertiga rakyat Singapura didapati lebih serasi dengan bahasa Inggeris dan semakin kekok menggunakan Bahasa Ibunda dalam kehidupan harian mereka.
Menteri Pendidikan Chan Chun Sing kemudian melahirkan kebimbangan bahawa keupayaan dan "kelebihan dwibahasa" yang menjadi "ciri penting rakyat Singapura" kini terancam.
"TIDAK TERLALU TERLAMBAT" ASAH KEMAHIRAN BAHASA MELAYU
Semasa ditemui BERITA Mediacorp pada Khamis (4 Jan), Cikgu Hayati berkata, penyegaran pengajaran bahasa ibunda ini amat dialukan-alukan dan menganggapnya "tidak terlalu lambat" untuk membina penguasaan Bahasa Melayu di tengah asakan Bahasa Inggeris.
"Tidak ada isu terlambat sebab mungkin untuk generasi ini, pada peringkat inilah, mereka mula mempelajari atau menguasai Bahasa Melayu itu.
"Kita tentunya tidak dapat bandingkan dengan keadaan zaman kita dahulu. Memang penguasaan kanak-kanak sekarang jauh lebih rendah berbanding dengan kita pada zaman dahulu. Namun ini bukan salah mereka kerana ia berlaku dengan peredaran zaman," ujar Cikgu Hayati.
Malah kata beliau, memandangkan para pendidik kini memahami profil pelajar, usaha yang dilaksanakan akan lebih sesuai dan bersasar mengikut keperluan dan kemahiran mereka.
Ini lebih-lebih lagi semakin ramai yang tidak mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu di peringkat prasekolah.
Kurikulum baharu ini menyertakan pengetahuan asas pembelajaran Bahasa Melayu untuk memastikan hampir semua pelajar Darjah 1 berada di tahap yang sama sebelum kemahiran mereka diasah pada tahap seterusnya.
BERCERITA - SALAH SATU TUMPUAN UTAMA PENDEKATAN BAHARU
Kaedah baharu pembelajaran Bahasa Melayu ini mengutamakan kemahiran berkarya dan bercerita, kongsi Cikgu Hayati.
"Sekarang ini, guru-guru akan memperkenalkan lebih kepada unsur penceritaan. Jadi dalam setiap unit itu, akan ada satu cerita dengan watak magika yang merupakan sesuatu yang diminati oleh para pelajar kini."
Dengan adanya jalan cerita dan watak-watak yang ikut cita rasa mereka, tambah beliau, ia akan menarik perhatian pelajar dan memastikan perkataan-perkataan yang diperkenalkan itu lebih mudah diingat. Rasa minat terhadap sesuatu hanya akan timbul jika pelajar rasa seronok melakukannya.
Oleh itu, dengan kaedah baharu ini - di mana pembelajaran Bahasa Melayu dilakukan melalui wadah yang berbeza - beliau berharap pengalaman yang lebih seronok ini akan mengalakkan murid-murid untuk menggunakan Bahasa Melayu bukan sahaja di dalam bilik darjah, tetapi juga dalam kehidupan seharian mereka.
IBU BAPA MAIN PERANAN UTAMA
Peranan ibu bapa kata Cikgu Hayati cukup genting dalam pembelajaran Bahasa Melayu kerana pelbelajarannya harus diteruskan di rumah setelah anak-anak pulang dari sekolah.
Lantaran itu ibu bapa harus bersikap proaktif untuk mempelajari dan menyesuaikan diri dengan pendekatan baharu ini.
"Memandangkan cara pengajaran bahasa kali ini adalah lebih kepada penceritaan, kalau di sekolah, kanak-kanak belajar tentang cerita. Apabila mereka pulang, kita hendak tingkatkan rasa seronok itu dan tanya, Oh lepas itu apa jadi? Apa yang jadi pada arnab ekor biru itu?" cadang Cikgu Hayati.
Dengan anak berusaha menceritakan semula sesuatu kisah, menurut Cikgu Hayati, ini penting kerana ia mengasah penguasaan bahasa dari segi kosa kata. Hasilnya, penyusunan ayat pertuturan mereka juga diperkukuhkan lagi.
PERANAN PUSAT TUISYEN SEIRING KEMENTERIAN
Cikgu Hayati, yang menubuhkan pusat tuisyen menawarkan kelas-kelas pengayaan Bahasa Melayu sejak 2012, berkata pusat-pusat tuisyen bergerak seiring dengan Kementerian Pendidikan (MOE).
Maka itu, pusat-pusat tuisyen sudah memperkenalkan langkah-langkah dalam kurikulum baharu ini seperti pembelajaran menerusi lagu, muzik dan lukisan.
Bukan itu sahaja, pusat tuisyen ini juga sedang berusaha untuk menghasilkan portal gamifikasi mereka tersendiri.
"Kami lihat sudah ada lebih banyak unsur gamifikasi di sekolah-sekolah. Jadi di kelas tuisyen kami juga, para pelajar mempunyai akses kepada portal pembelajaran online, di mana mereka boleh menjawab sendiri kuiz untuk mengukuhkan kosa kata yang telah mereka pelajari," kongsi Cikgu Hayati kepada BERITA Mediacorp.
Buat masa itu, Pusat Bahasa NUSA memanfaatkan aplikasi-aplikasi percuma yang sedia ada.
ANAK SEKARANG TIDAK MINAT BAHASA MELAYU?
Menurut Cikgu Hayati lagi, adalah tidak adil untuk mengukur kanak-kanak ini sebagai tidak minat Bahasa Melayu dan mempelajarinya semata-mata untuk lulus peperiksaan.
Hakikatnya, mereka lahir dalam era sangat berbeza dan hanya pendekatan menyeluruh boleh membantu mereka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.