analisisBERITA: Skim elaun bulanan S$300 ikuti kursus sambilan 'berpotensi besar' galak tingkat kemahiran
Mulai awal tahun depan, para pekerja pertengahan kerjaya yang mengikuti kursus sambilan bagi meningkatkan kemahiran, boleh mendapat elaun tetap sebanyak S$300 sebulan, atau hampir S$4,000 setahun.
Insentif tersebut adalah sebahagian peluasan Program Peningkatan SkillsFuture, yang diumumkan Perdana Menteri Lawrence Wong dalam Belanjawan tahun ini.
Ia bertujuan mendorong para pekerja Singapura supaya terus meningkatkan kemahiran agar kekal relevan.
Jadi, sejauh mana inisiatif ini akan mendorong lagi peningkatan kemahiran di kalangan pekerja dan apakah sikap betul yang seharusnya ada dalam memanfaatkan elaun ini?
PROGRAM PENINGKATAN SKILLSFUTURE
Dalam usaha pemerintah mendorong rakyat supaya terus meningkatkan kemahiran, mulai bulan depan seorang individu boleh mendapat elaun latihan sehingga S$3,000 sebulan jika mereka mengikuti kursus peningkatan sepenuh masa.
Mereka boleh menerima elaun itu sehingga selama 24 bulan - bermakna elaun latihan berjumlah S$72,000 kesemuanya.
Inisiatif di bawah Program Peningkatan SkillsFuture itu diumumkan Perdana Menteri Lawrence Wong semasa Belanjawan tahun lalu.
ELAUN LATIHAN S$300 SEBULAN = S$3,600 SETAHUN
Dalam Belanjawan yang dibentangkan PM Wong tahun ini pula (18 Feb), beliau mengumumkan, Program Peningkatan SkillsFuture bakal diperluaskan untuk meliputi juga para pekerja pertengahan kerjaya yang ingin mengikuti kursus sambilan.
Mereka akan diberikan elaun tetap sebanyak S$300 sebulan.
Ini bermakna, mereka boleh menerima elaun berjumlah S$3,600 setahun.
Elaun itu dihadkan kepada tempoh 24 bulan atau maksimum S$7,200.
Menurut Kementerian Pendidikan (MOE), langkah tersebut akan membantu tambahan 10,000 pekerja menampung perbelanjaan pembelajaran mereka.
Dua pengamat yang dihubungi BERITA Mediacorp berkata, langkah tersebut sangat dialu-alukan dan akan mendorong lebih ramai pekerja untuk menjalani kursus sedemikian, khususnya dari sudut meringkan beban kewangan.
"Saya rasa inisiatif ini berpotensi besar untuk menggalakkan pekerja pertengahan kerjaya untuk meningkatkan kemahiran mereka.
"Dengan adanya sokongan kewangan, termasuk subsidi yuran yang sedia ada dan pembayaran daripada akaun SkillsFuture Credit mereka, inisiatif baharu ini sangat membantu," kongsi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SSA Group, Suhaimi Salleh.
Beliau turut meluahkan harapan bahawa lebih ramai pekerja akan berasa lebih yakin dan mampu untuk mengikuti kursus peningkatan kemahiran tanpa terlalu bimbang tentang beban kewangan tambahan.
Naib Presiden NTUC Abdul Samad Abdul Wahab turut berkongsi sentimen yang sama.
"Dengan (langkah baharu) ini, ada kelonggaran. Ia memberi satu lagi peluang untuk mereka yang nak meningkatkan diri dan mencari kemahiran yang baharu, tanpa perlu berhenti kerja.
"Nilai S$300 itu dapat sedikit sebanyak meringankan sebab mereka masih ada lagi kerja semasa mengikuti kursus itukan? Jadi ia menjadi satu galakan - pergi belajar kemahiran dan dapat S$300 setiap bulan," kata Encik Abdul Samad.
Inisiatif itu tambah beliau, diharapkan menjadi pembakar semangat bagi lebih ramai pekerja di luar sana untuk terus memperbaharui kemahiran mereka agar dapat kekal relevan di tengah-tengah ekonomi yang mencabar.
SEJAUH MANA ELAUN SEBANYAK S$300 SEBULAN MENCUKUPI?
Namun masih ada persoalan - adakah elaun ini benar-benar mencukupi?
Walaupun jumlah elaun yang diterima boleh mencecah S$3,600 setahun, Encik Suhaimi menarik perhatian, pada umumnya ia mungkin mencukupi untuk kursus-kursus asas sahaja.
Namun begitu, Encik Suhaimi menganggarkan, sekiranya ada yang memilih untuk melanjutkan pendidikan dalam bidang yang lebih teknikal, ataupun program pensijilan yang memerlukan perbelanjaan yang lebih tinggi, elaun sebanyak S$300 sebulan itu mungkin tidak mencukupi untuk menampung sepenuhnya kos yang terlibat.
Ini terutamanya bagi kursus yang memerlukan pembelian bahan pembelajaran yang agak mahal.
APA YANG PERLU DIFIKIRKAN PEKERJA?
Untuk memastikan usaha tersebut menguntungkan semua pihak - sama ada pekerja, pemerintah atau majikan - Encik Suhaimi menasihatkan, pemilihan kursus harus berasaskan permintaan industri dan keperluan tenaga kerja pada masa akan datang.
Lantaran itu, pemilihan harus tertumpu kepada kursus-kursus dalam sebilangan industri, khususnya yang sedang berkembang dan menawarkan prospek pekerjaan yang kukuh. Antara yang disarankan Encik Suhaimi adalah:
"Yang pertama, sektor teknologi dan digital, iaitu kursus-kursus seperti kecerdasan buatan (AI), sains data dan keselamatan siber.
"Yang kedua, sektor kesihatan dan penjagaan warga emas seperti latihan dalam bidang terapi, kejururawatan dan teknologi kesihatan.
"Yang ketiga ialah sektor kejuruteraan dan tenaga hijau, seperti kursus-kursus dalam teknologi kemampanan dan kejuruteraan mekanikal."
APA PERANAN MAJIKAN DALAM SOAL INI?
Kedua-dua pakar turut menekankan bahawa satu lagi aspek penting dalam mendorong peningkatan kemahiran menerusi laluan kursus sambilan adalah majikan.
Majikan harus bersikap terbuka, memberi ruang dan menggalakkan pekerja mereka untuk terus menimba ilmu.
"Para majikan boleh memberikan peluang kepada para pekerja mereka untuk mengambil kursus-kursus seperti ini, dengan cara memberikan pelepasan semasa waktu kerja untuk mereka menghadiri kursus semasa waktu kerja mereka," saran Encik Suhaimi.
Encik Samad pula menarik perhatian betapa kos kursus yang mungkin tinggi tidak boleh dijadikan alasan bagi para majikan untuk tidak menghantarkan pekerja mereka ke mana-mana kursus.
"Kalau ada kesempatan ada pekerja matang atau berumur, jangan segan-segan untuk hendak sambungkan pekerjaan mereka sebab kita juga harus bertanggungjawab terhadap pekerja yang telah berjasa kepada kita selama ini."
Yang pasti, para pekerja - tidak kira yang matang atau baharu - harus terus memperbaharui kemahiran mereka supaya kekal relevan dalam dunia yang semakin berubah-ubah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.