Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

analisisBERITA: Sikap dan pemikiran betul berhubung skim 'faedah pengangguran' S$6,000

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pemerintah baru-baru ini mengumumkan, bermula April tahun depan, mereka yang diberhentikan atau dibuang kerja atas sebab-sebab bukan secara sukarela - termasuk kerana perniagaan ditutup; atau kerana sakit - boleh mendapat bantuan kewangan sehingga S$6,000.

Anda hendaklah berpendapatan S$5,000 ke bawah.

Di bawah Skim Bantuan Pencari Kerja SkillsFuture ini, anda boleh mendapat sehingga S$1,500 pada bulan pertama. Pada bulan kedua hingga bulan keenam, anda diberi bantuan antara S$750 sehingga S$1,250 sebulan.

Bermakna mendapat bantuan maksimum S$6,000 bagi tempoh maksimum enam bulan.
Semasa mengumumkan butirannya pada Selasa (27 Ogos), Menteri Tenaga Manusia Dr Tan See Leng menyifatkan inisiatif ini sebagai satu "anjakan paradigma" yang penting bagi pihak pemerintah. Ini kerana sejak sekian lama, pemerintah menolak untuk memberikan 'faedah pengangguran'.

Justeru, timbul persoalannya - mengapa baru sekarang skim 'faedah pengangguran' ini mahu dilaksanakan?
Naib Presiden NTUC, Abdul Samad Abdul Wahab. (Gambar: NTUC)
Setiausaha Agung Kesatuan Sekerja Tenaga dan Gas (Upage) Abdul Samad Abdul Wahab berkata, pemerintah akhirnya mengorak langkah sedemikian setelah menerima banyak maklum balas.

"Kita juga tahu sebelum ini telah berulang kali perkara ini telah disuarakan oleh wakil-wakil gerakan buruh dalam Parlimen. Ini merupakan permohonan daripada pekerja-pekerja yang terjejas.

"Pemerintah telah mempelajari permohonan ini, saya rasa sudah begitu lama dan mungkin mereka rasa sudah sampai waktunya untuk melakarkan skim sebegini," jelas pemimpin kesatuan sekerja veteran itu.
MUNGKINKAH TIMBUL FENOMENA BERHENTI KERJA UNTUK RAIH MANFAATNYA?

Pastinya skim baharu ini disambut baik orang ramai.

Mentelah lagi dengan sesetengah pakar ekonomi menyatakan, ada kemungkinan ekonomi akan lebih mencabar tahun depan, dengan kemelesetan ekonomi mungkin berlaku.

Namun satu keprihatinan adalah, walaupun skim ini baik, mungkinkah akan berlaku fenomena di mana sesetengah pekerja berhenti kerja semata-mata untuk meraih bantuan kewangan ini?

Encik Abdul Samad mengajak orang ramai agar mempunyai pemikiran yang betul mengenai skim ini.

"Ia tidak harus menjadi sesuatu tiket untuk 'tak payah kerjalah, mesti ada (bantuan) kewangan'. Tidak.

"Ia adalah satu kelebihan yang diberi sepanjang kita jalani latihan. Bukan setakat nak beri bantuan sahaja, itu akan menimbulkan satu sifat dalam diri yang hanya nak berpeluk tubuh, tak perlu nak berusaha," tegas Encik Abdul Samad kepada BERITA Mediacorp.

Encik Abdul Samad berharap, skim bantuan ini tidak akan menjadi satu sasaran bagi sesetengah orang untuk dibuang kerja semata-mata kerana ingin mendapatkan S$6,000.

PERI PERLUNYA PEMIKIRAN DAN SIKAP YANG BETUL

Yang pasti, menurut Encik Abdul Samad, jumlah S$6,000 itu tidak mencukupi untuk jangka panjang dan sebenarnya tidak begitu tinggi.

Lantaran itu, ia juga harus dianggap sebagai satu bantuan peralihan, sementara berusaha mendapatkan pekerjaan baharu.

Encik Abdul Samad menambah, skim ini boleh meringankan beban golongan yang terjejas pada jangka pendek tetapi mereka harus cepat mendapatkan pekerjaan.

"Kalau kita lihat S$6,000 dalam masa enam bulan bukan sesuatu nilai yang tinggi.

"Jangan jadikan skim sebegini menjadi punca untuk kita 'tak apalah hilang pekerjaan'. Ini S$6,000 untuk hendak dapat pekerjaan lagi satu bukanlah mudah dapat S$6,000, lepas itu cari kerja terus dapat kerja lagi satu."

"Dan pekerja itu tahu, dalam masa enam bulan, saya harus cari kerja, sebab bantuan saya hanya setakat enam bulan sahaja," tambah Encik Abdul Samad.

ADA SYARAT UNTUK TERUS TERIMA BANTUAN INI

Pemerintah pula setakat ini sudahpun menekankan, bahawa antara syarat-syarat untuk terus menerima bantuan kewangan ini adalah dengan membuktikan bahawa penerima berusaha mencari kerja baharu dan terlibat dalam usaha-usaha yang akan membantunya mendapatkan pekerjaan baharu.

Ini termasuk menjalani bengkel mencari kerja ataupun menyertai kursus-kursus latihan dan peningkatan kemahiran.

Menurut Encik Abdul Samad, mereka yang diberhentikan kerja tetapi menjalani latihan di bawah SkillsFuture, sebenarnya akan mendapat dua elaun atau faedah.

Iaitu elaun latihan sehingga S$2,500 sebulan, campur elaun Skim Bantuan Pencari Kerja antara S$750 hingga S$1,500 sebulan.

Ini bermakna, dalam satu bulan, mereka boleh menerima antara S$3,250 hingga S$4,000.

"Seperti saya katakan kepada para pekerja di sana, sekiranya dia hilang pekerjaan, kalau beliau pergi belajar, menjalani latihan, mereka boleh menerima sehingga S$3,000 untuk dua tahun. Itu besar nilainya," kongsi Encik Abdul Samad.

Justeru, beliau menekankan, pekerja, pemerintah dan gerakan buruh semuanya harus memainkan peranan.

"Anda harus jalankan tugas anda dan kami akan bantu anda, sama ada pemerintah mahupun gerakan buruh."

Apabila dilaksanakan mulai tahun depan, Skim Bantuan Pencari Kerja ini layak bagi warga Singapura dan Penduduk Tetap (PR) berusia 21 tahun ke atas.

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan