Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

analisisBERITA: Siapa akan jadi orang No. 2 selaku DPM, selepas Lawrence jadi PM?

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Dengan Encik Lawrence Wong rasmi menjadi Perdana Menteri baharu Singapura kurang sebulan dari sekarang, muncul rentetan persoalan yang menanti jawapan.

Misalnya, siapakah nanti yang bakal memegang jawatan nombor dua terpenting selaku Timbalan Perdana Menteri? Serta, bilakah Pilihan Raya Umum akan diadakan?

Bakal Perdana Menteri ke-4 Singapura itu sudahpun mengumumkan pada Selasa (16 Apr) bahawa beliau akan mengekalkan sebahagian besar anggota kabinet sedia ada, dengan ada yang mungkin dinaikkan pangkat.

Beberapa Anggota Parlimen biasa pula, mungkin diambil sebagai penjawat politik, kata beliau.

Satu persoalan yang belum DPM Wong sentuh adalah siapakah yang akan beliau angkat menjadi Timbalan Perdana Menteri dalam pasukan beliau.
SIAPA AKAN MENJADI DPM - CHAN CHUN SING, ONG YE KUNG?

Mengulas persoalan tersebut, Zamil Kanan ISEAS - Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat, berpendapat bahawa Encik Wong mungkin ada formula beliau sendiri.

"Kita tidak pasti kerana buat masa ini kita sudahpun ada seorang lagi Timbalan Perdana Menteri iaitu Encik Heng Swee Keat dan mungkin beliau (Encik Wong) mahu mengekalkan stabiliti pemerintahan sekarang ini dengan mengekalkan hanya seorang Timbalan Perdana Menteri," kata Dr Norshahril.
(Gambar: CNA)
Menurutnya, sebelum ini sudahpun berlaku senario di mana Singapura hanya mempunyai seorang Timbalan Perdana Menteri sahaja dan ini sudah mencukupi.

Walaupun siapa yang akan menyandang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri Kedua masih menjadi satu tanda tanya, Dr Norshahril menambah apa yang pasti adalah DPM akan datang nanti akan datang dari pasukan kepimpinan Generasi Ke-4.
Dari kiri: Menteri Kesihatan Ong Ye Kung, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Lawrence Wong dan Menteri Pendidikan Chan Chun Sing. (Gambar: TODAY)
"Nama-nama yang sering kali dikatakan mungkin Encik Chan Chun Sing, Encik Ong Ye Kung," tambah Dr Norshahril lagi.


KEMUNGKINAN BERLAKU PILIHAN RAYA PADA SEP 2024?

Dengan Encik Wong juga mengatakan bahawa rombakan kabinet lebih besar akan hanya berlaku selepas Pilihan Raya Umum nanti, persoalan seterusnya adalah - bila Pilihan Raya akan diadakan dan apa pertimbangan beliau?

Sebagaimana sebilangan pakar politik lain, Dr Norshahril berpandangan bahawa pilihan raya mungkin diadakan seawal September tahun ini.

Ini kerana Ogos bakal menjadi kali pertama Encik Wong memanfaatkan sepenuhnya wadah Rapat Umum Hari Kebangsaan.

Rapat tersebut lazimnya menjadi pentas besar untuk Perdana Menteri membentangkan serta meyakinkan rakyat tentang hala tuju, dasar-dasar serta inisiatif-inisiatif utama yang ingin dijalankan pemerintah.
(Gambar: Lim Li Ting/TODAY)
PILIHAN RAYA SELEPAS FEB 2025?

Satu lagi kemungkinan tentang bila pilihan raya akan diadakan adalah selepas Belanjawan Negara 2025, kata Dr Norshahril.

Ini memandangkan semasa Belanjawan, pemerintah lazimnya juga berkongsi hala tuju dari segi kewangan, dasar-dasar, serta keutamaan yang ingin diketengahkannya.

"Pemerintah tidak selalunya mahukan satu senario di mana mereka dipaksa mengadakan pilihan raya kerana mereka perlu mengadakan satu pilihan raya di mana mereka berasa selesa dengan sokongan rakyat," kongsi Dr Norshahril.

Yang jelas kata pengamat politik ini, garis masa pilihan raya bukan sahaja ditentukan oleh peralihan kepimpinan tetapi juga sentimen rakyat.

RAPAT UMUM HARI KEBANGSAAN OGOS 2025

Dengan Encik Wong rasmi menjadi Perdana Menteri 15 Mei ini, ini juga bermakna beliau akan mempunyai platform nasionalnya yang terbesar pada Ogos ini iaitu Rapat Umum Hari Kebangsaan (NDR) untuk menambat hati dan meraih perhatian rakyat.

Tidak seperti ucapan-ucapan lain, ucapan NDR disiarkan secara langsung oleh semua saluran televisyen tempatan dan perhatian rakyat akan tertumpu selama beberapa jam kepada beliau.

Ditanya apakah yang mungkin menjadi rangka dan inti ucapan pertama Encik Wong nanti dalam Rapat tersebut, Dr Norshahril berpendapat, ia merupakan peluang untuk Encik Wong memperkenalkan cara kepimpinan 4G yang diterajui beliau.

"Mungkin apa yang rakyat tertanya-tanya sekarang ini adalah apakah perbezaan di antara kepimpinan Generasi Ke-4 (4G)dengan Generasi Ke-3 (3G) dan apakah yang kita boleh lihat dari segi kepimpinan, dasar-dasar dan dari segi hala tuju," komen Dr Norshahril.

Pada setiap peralihan kuasa, seorang pemimpin akan cuba memperkenalkan gaya yang berbeza, menurut Dr Norshahril.

"Jika tidak, kenapa kita perlu adakan satu pemilihan kepimpinan?" terang beliau.

Tambah Dr Norshahril lagi, pasukan kepimpinannya sekarang akan berdepan dengan banyak sekali cabaran baharu, yang berbeza dengan keprihatinan generasi Ke-3.

"Antaranya adalah isu domestik memandangkan ramai yang mempersoalkan tentang kos harga, kos kehidupan yang meningkat yang menjadi salah satu keprihatinan," tambah Dr Norshahril lagi.

Isu-isu lain termasuklah soal kompak sosial, perubahan iklim, media sosial dan pendigitalan.

Sepatah yang dinyatakan Encik Wong sendiri hari ini (16 Apr), beliau akan mengamalkan prinsip "kesinambungan dan perubahan progresif" dalam pemerintahannya.
Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan